Thursday, February 15, 2018

Kamarudin - Selepas 8 Tahun Menyepi, Kini Calon PPBM Pasir Puteh


Selepas  lapan tahun menyepi daripada politik, bekas ketua UMNO bahagian Pasir Puteh selama 15 tahun, Kamarudin Mohd Noor kini menyertai PPBM dan bakal menjadi calon Parlimen Pasir Puteh dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya terpanggil untuk menyertai PPBM selepas ia ditubuhkan dengan satu alasan, berkhidmat untuk negara, kerana melihat apa yang berlaku kepada negara ketika ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau membuat keputusan itu apabila melihat pemimpin UMNO yang giat mengkritik 1Malaysia Development Bhd (1MDB), bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan juga bekas timbalan presiden UMNO Muhyiddin Yassin kini bersama PPBM.

"Kalau rakan rapat saya Muhyiddin rela dipecat kerana mengkritik 1MDB dan Dr Mahathir yang sudah 92 aktif kembali, kenapa tidak saya," kata bapa kepada 10 anak ini yang rapat dengan bekas timbalan perdana menteri yang dipecat, Muhyiddin.

Kamarudin, 70, dijangka berdepan dengan tokoh-tokoh besar dari UMNO dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti di kawasan Parlimen Pasir Puteh.

PAS dijangka meletakkan Nik Zawawi Salleh, setiausaha Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam parti itu manakala UMNO dijangka akan meletakkan Ashraf Wajdi Ahmad Dasuki, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kelebihan saya adalah, hanya saya orang tempatan Pasir Puteh manakala kedua-dua calon PAS dan BN itu orang luar," kata Kamarudin penuh yakin.

Ashraf dari Tumpat.
Nik Zawawi berasal dari Besut, Terengganu daerah berjiran dengan Pasir Puteh manakala Ashraf berasal dari Tumpat, Kelantan.

Sejak tiga pilihan raya umum lalu, calon PAS sentiasa menang di parlimen Pasir Puteh mengalahkan calon UMNO. Dalam PRU13, calon PAS, Nik Mazian Nik Mohamad menang mengalahkan calon BN, Tuan Mustaffa Tuan Mat dengan majoriti 1,888 undi.

Walaupun tidak terlibat dengan prapenubuhan PPBM, Kamarudin adalah antara pimpinan awal yang dinamakan PPBM. Beliau dilantik sebagai ketua penerangan parti itu di peringkat nasional di samping pengerusi PPBM Kelantan dan ketua PPBM bahagian Pasir Puteh.

Menurut beliau, sehingga kini, PPBM sudah mengenalpasti 40% calon daripada 52 kawasan Parlimen yang diperuntukkan Pakatan Harapan (PH) kepada parti itu.

Beliau menjangka, 50% daripada calon PPBM nanti adalah bekas pemimpin UMNO yang menyertai PPBM sebagaimana beliau.

"Hanya satu kebimbangan saya iaitu logo. Tanpa penggunaan satu logo, ia akan memberikan masalah kepada pengundi," katanya merujuk kepada tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang masih belum meluluskan logo PH.

Kamarudin, bekas naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),  menyertai UMNO pada 1986, selepas empat tahun rakan rapat beliau, Anwar Ibrahim berbuat demikian. 

Sehingga kini beliau masih dianggap rakan rapat Anwar walaupun tidak menyertai PKR yang ditubuhkan Anwar dan kekal bersama Dr Mahathir dalam UMNO ketika rakan rapatnya itu dipecat.

Beliau menang dua kali dalam pilihan raya iaitu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di Pasir Puteh. Namun, usahanya untuk bertanding di parlimen Pasir Puteh pada 1990 dan 1999 tidak berjaya.

Kamarudin dianggap antara pemimpin UMNO yang mempunyai nilai agama yang tinggi sesuai dengan penglibatan beliau dengan Abim, sebuah NGO Islam yang dihormati di negara ini.

Menurut Mohamad Zainal Abidin Hussin, seorang bekas penyelidik di Pusat Kajian Strategik (PKS), faktor Kamarudin itu cukup besar. 

"Bagi saya, faktor Kamarudin sendiri akan menyebabkan PH boleh mendapat separuh dari undi UMNO sebelum ini, khasnya golongan terpelajar dan juga undi PAS sebelum ini," kata bekas penyelidik di badan bawah kerajaan negeri Kelantan itu.

Sebelum berehat daripada politik mulai 2008, Kamarudin dikira pemimpin UMNO paling berpengaruh di Pasir Puteh selepas 15 tahun menjadi ketua UMNO bahagian itu.

Zainal yang juga berasal kawasan DUN Semerak yang pernah diwakili Kamarudin, mengakui pemimpin PPBM ini mempunyai pengaruh besar di Pasir Puteh.

"Beliau bekas Adun kawasan saya. Walaupun dia tidak kenal saya tetapi orang kampung saya sangat suka kepada dia," kata Zainal yang kini menyertai Amanah.

Tambahnya, beliau yakin kehadiran Kamarudin akan menambahkan nama baik PH Kelantan di mata pengundi negeri itu yang cenderung untuk menyokong pemimpin dengan latar belakang agama yang baik.

PKR Berhasrat Tanding Banyak Kerusi Di Kelantan Tetapi???



Seorang pemimpin cawangan PKR di Kelantan mempertikaikan hasrat partinya mahu bertanding di 15 kerusi negeri pada pilihan raya umum ke-14 yang akan datang, dengan berkata parti itu merupakan anggota paling lemah Pakatan Harapan di negeri itu.

Ahmad Syauqey Abdul Ghani, yang mengetuai jentera pilihan raya PKR Kota Bharu, berkata parti itu juga tidak sepatutnya tamak dalam menuntut kerusi di Kelantan.
“Itu bagi saya melampau, tidak perlu jadi jaguh berebut kerusi,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir.

Bulan lalu, Aziz berkata PKR berhasrat bertanding di 15 daripada 45 kerusi di Kelantan.
Syauqey mengkritik PKR peringkat negeri, dengan menuduhnya cuba “berebut kerusi”.

Menurutnya, PKR perlu memberi keutamaan kepada Amanah dan PPBM di Kelantan.

Beliau juga membayangkan parti itu juga ketinggalan di belakang DAP dalam aspek kekuatan jentera pilihan raya, walaupun pemimpin tempatan PKR diangkat dalam jawatan kerajaan dan lantikan politik.

“PKR adalah parti paling lemah di Kelantan. Amanah dan PPBM paling kuat dan ke-3 DAP,” katanya.

Aziz...mahu 15 kerusi DUN
Menurutnya, PKR juga tidak mempunyai sokongan kewangan seperti PPBM, yang menurutnya disertai “tauke-tauke” yang berpengaruh dari UMNO.

“Kita tidak boleh nafi kekuatan mereka,” katanya.

“Parti lain dah ada bilik gerakkan dan bendera, tapi PKR bendera pun tidak ada, bilik gerakan tiada. Jadi kami bimbang kelemahan itu akan menyebabkan PKR menjejaskan kemenangan PH di Kelantan,” katanya.

Sebaliknya, Syauqey mendakwa PKR sebuah parti miskin di mana pemimpinnya merupakan penerima skim tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau kita tengok PKR Kelantan separuh daripada jawatankuasanya penerima BR1M, itu kita kena tahu dari segi kekuatan baik dari segi kewangan, pengaruh, sokongan serta jentera parti,” katanya.

Syauqey berkata PKR selayaknya bertanding paling banyak 4 kerusi negeri dan 2 kerusi Parlimen berdasarkan prestasi parti itu di Kelantan.

Pada pilihan raya lalu, PKR bertanding 5 kerusi negeri dan 3 kerusi Parlimen. Parti itu hanya menang di Guchil di peringkat negeri.

Manakala di peringkat Parlimen, PKR tewas di kesemua 3 kawasan. Bagaimanapun, satu-satunya ahli Parlimen tunggal PKR di Kelantan ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, selepas wakil rakyat PAS itu menyertai PKR.

Syauqey berkata selain Guchil yang dimenangi PKR, 3 lagi kerusi DUN yang layak ditandingi PKR ialah Nenggiri, Pengkalan Pasir dan Tanjong Mas.

Pakatan Harapan sebelum ini memperuntukkan 7 kerusi Parlimen di Kelantan kepada PPBM, Amanah (5) dan PKR (2) iaitu Tanah Merah dan Pasir Mas, sementara kerusi negeri belum dimuktamad.

Sementara itu, Aziz ketika dihubungi FMT berkata keputusan akhir mengenai jumlah kerusi ditandingi PKR terserah kepada pucuk pimpinan.

Beliau juga menerima kritikan ahli terhadap cadangannya supaya PKR bertanding di 15 kerusi negeri.

“Kalau cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad pun dipertikai, apatah lagi pandangan saya,” kata Aziz.


Monday, October 23, 2017

BN Atau HARAPAN - PAS Tiada Peluang Di Kelantan


PAS tidak ada peluang di Kelantan.

Harapan PAS untuk kekalkan kerajaan yang sedia akan berkecai kerana akan berlaku tsunami politik di ngeri berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali meramalkan tsunami politik tidak mustahil bakal melanda Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ibrahim menjelaskan, berdasarkan senario semasa pemerintahan Kelantan,  ia sudah bertapak lama dan kini tiada impak atau perubahan besar ditunjukkan.

Keadaan itu katanya mungkin mendatangkan rasa cemuh kepada rakyat.

"Tok guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun dah tak ada dan orang pun dah mula bercakap sejak PAS memerintah selama lebih suku abad, tak ada apa (di Kelantan).
"Pendapatan kerajaan negeri tak bertambah, asyik tebang balak saja. Pekerjaan kurang, rakyat Kelantan ramai berhijrah ke luar," katanya.

Beliau mengatakannya pada sidang media selepas program ramah mersa dan agihan sumbangan kepada penduduk di Kampun Hutan Chengal Tendong, Pasir Mas, semalam.

"Kalau rakyat rimas sekarang, saya tidak tolak kemungkinan mereka akan balik pada BN. Begitu juga dengan (peluang) HARAPAN, tapi bukan pada PAS, " tegasnya yang berkecimpung dengan politik Kelantan sejak 1974.


Di sebalik itu sejarah membuktikan PAS cukup kuat di Kelantan namun akhirnya tumbang dalam PRU kelima yang diadakan pada 1978.

"Itulah tsunami politik yang boleh berlaku pada bila-bila masa jika rakyat mahukannya.

"Begitulah pada 1990 apabila BN tumbang di Kelantan," katanya merujuk kepada detik PAS kembali mentadbir negeri itu.

Beliau yang dikenali sebagai ‘Tok Him’ berkata tsunami itu kemungkinan berlaku  selepas negeri itu diperintah PAS sejak 27 tahun lalu.

Bagi beliau, tsunami berkenaan hanya akan berpihak sama ada kepada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Walaupun tsunami dijangka berlaku kali ini, bekas timbalan menteri itu menegaskan, PAS tidak akan mendapat manfaat daripadanya.

Ibrahim adalah bekas anggota UMNO  yang pernah menjadi wakil rakyat bagi Pasir Mas pada PRU ke-12 lalu.

Ibrahim bertanding menggunakan tiket PAS ketika menyertai pilihan raya pada 2008. Ia berikutan pendiriannya yang tidak merestui cara kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kemudian menubuhkan PERKASA.


Ibrahim gagal mempertahankan kerusi Pasir Mas pada PRU ke-13 lalu selepas kecundang kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti 8,047 undi.

Mengambil kira sejarah politik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Ibrahim menegaskan BN pula sudah lama tidak mentadbir Kelantan, dan harus diingat rakyat juga pernah selesa dengan parti berkenaan.

"Dulu BN pernah menang di Kelantan dan memerintah hampir 18 tahun. Rakyat tahu keupayaan parti BN.

Untuk rekod PAS berjaya merampas Kelantan pada PRU ke-8 dengan bantuan Parti Semangat 46 yang diketuai Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ibrahim sendiri adalah salah seorang pemimpin utama parti berkenaan.

Menurut Ibrahim semua perkembangan politik Kelantan yang disebutnya itu berlaku ketika beliau terlibat dalam politik.

Sementara itu mengulas pengamatan melalui faktor atas kertas, Ibrahim berkata, kemungkinan besar wujudnya pertandingan tiga penjuru pada PRU ke-14 dan ia bakal menguntungkan BN.

"Saya bagi contoh mudah. Sekarang ini BN ada lima parlimen iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.

"Di Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin kalah 200 undi sebelum ini.

Maknanya kalau tiga penjuru nanti, undi PAS akan pergi pada HARAPAN dan BN akan menang," katanya sambil menyifatkan PAS mungkin hanya berjaya mempertahankan beberapa kawasan yang memang kubu kuat mereka saja.

(Sumber- Malaysiakini - Tajuk asal – ‘Tok Him ramal tsunami landa Kelantan lagi’)

Wednesday, August 9, 2017

Pegawai Menteri Bertindak Ganas: UMNO Kelantan Didesak Bertanggungjawab


Pemuda Pakatan Harapan (PH) mahu UMNO Kelantan dan Pengerusi badan perhubungannya, Datuk Seri Mustapha Mohamed bertanggungjawab terhadap tindakan pegawai khas Datuk Ahmad Jazlan mencederakan dua pemimpin mereka Ahad lalu.

"Kita tidak mahu budaya politik samseng kembali menyerap dalam situasi kini yang telah lama ditolak masyarakat.

"Ingatlah bahawa langit tidak selalunya cerah dan tindakan samseng penyokong Umno itu sememangnya ditolak oleh seluruh rakyat yang bertamadun," kata Ketua Armada Bersatu Kelantan, Asran Alias.

Mustapa perlu bertanggungjawab
Kenyataannya dibuat  pada sidang media di sebuah hospital tempat beliau masih di rawat semalam.

Menurutnya pemimpin pemuda semua parti gabungan PH bersetuju membuat kenyataan bersama membantah tindakan pihak Umno itu dan bersedia untuk mengambil tindakan bersepadu dalam menghadapi isu berkenaan.

"Di sini saya kemukakan kenyataan yang dipersetujui Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Zulhazmi Hasan, Ketua AMK PKR Kelantan, Hafidz Rizal. DAP Kelantan Mohd Fauzi Mohd Azmi dan saya sendiri mewakili Armada," katanya.

Menurutnya, pihak pemuda PH amat kesal apabila tindakan pemuda PH Kelantan yang membuat laporan itu berlandaskan semangat Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sebagaimana yang digariskan dalam Rukun Negara, dibantah dan dikasari oleh Pegawai Khas Timbalan Menteri tersebut dan para pengikutnya apabila mereka bertindak memukul dan menyepak Setiausaha Pemuda Amanah Kelantan Syahidul Amri Khairuddin.

"Memandangkan tindakan samseng yang dilakukan oleh pegawai khas timbalan menteri tersebut terhadap pemuda PH Kelantan, maka satu laporan polis telah dibuat terhadap mereka atas tindakan ganas,tidak bertamadun, kasar dan jenayah seperti yang dilakukan oleh pengikut timbalan menteri tersebut," katanya.

Beliau mengingatkan kepada pengikut timbalan menteri yang telah bertindak samseng dan ganas sehingga memukul wakil pemuda bahawa langit tidak selalunya cerah.

"Tindakan samseng penyokong Umno itu sememangnya ditolak oleh seluruh rakyat yang bertamadun.

"Pemuda Pakatan Harapan Kelantan mengecam sekeras-kerasnya tindakan samseng ala Pemuda Tahan Lasak seperti yang telah berlaku dalam arena politik tidak bertamadun pada puluhan tahun lampau oleh Umno Barisan Nasional," katanya.

Tuesday, July 4, 2017

Kit Siang Noktahkan PH, Karier Husam Dalam Politik Kelantan?


Pakatan Harapan (PH) Kelantan semalam dan kelmarin menerima sindiran dan kata-kata pedas daripada dua pemimpin PAS negeri itu.

Ini berikutan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Kelmarin, PAS menyifatkan PH yang dikatakan diketuai DAP tidak sesuai menggantikan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara selagi mereka tidak mengubah sikap.

Semalam pula Dewan Pemuda PAS Kelantan secara sinis mengucapkan tahniah kepada bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa kerana dipilih oleh ‘ketua’ Pakatan Harapan, DAP sebagai bakal Menteri Besar negeri ini sekiranya gabungan pakatan pembangkang tersebut menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Bagaikan melepaskan geram kepada Husam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sikap sering bersaing untuk me­nunjukkan kekuatan masing-masing dan tidak menghormati parti-parti lain dalam gabungan telah menyukarkan hasrat tersebut.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan apabila DAP tanpa menghiraukan sekutunya untuk menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Itulah sikap sebenar DAP yang telah difahami oleh Pas sejak sekian lama. Sebab itu kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini apabila merasakan dia kuat, dia akan menguasai.

“Kalau DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak akan mudah untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi Menteri Besar.

“Jadi, apa yang Pas kata sebelum ini telah terbukti berlaku dalam PH. Sekarang PH dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka PAS Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu awal minggu ini,  Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari pula berkata, pengumuman oleh Kit Siang mengenai pemilihan Husam itu adalah satu pengiktirafan dan penghormatan yang besar.

Beliau berkata, pemilihan Husam itu juga jelas menunjukkan bahawa DAP mempunyai kuasa untuk menentukan siapa pemimpin di negeri ini manakala parti lain seperti AMANAH dan PPBM hanya ‘pak turut’.

“Kami Pemuda Pas Kelantan merakamkan ucapan ‘tahniah’ kepada Husam kerana bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan kerana bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan daripada pemimpin agung itu sekali gus penghormatan daripada DAP.
“Jarang anak Melayu menerima pengiktirafan seperti ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir DI Pasir Mas semalam.

Ahmad Fadhli berkata, agak mustahil untuk Husam menjadi Menteri Besar di negeri ini kerana rakyat sudah membuat keputusan untuk menolak pemimpin atau mana-mana pihak yang bersekutu dengan DAP.

Katanya, malah pengumuman Kit Siang itu bertambah sukar untuk direalisasikan kerana Husam dikatakan ditolak oleh Istana Kelantan untuk dilantik dalam kerajaan negeri sebelum ini.


 “Bagi saya, pengumuman yang dibuat oleh Kit Siang ini akan menoktahkan karier Husam dalam politik Kelantan kerana rakyat negeri ini jelas menolak kepemimpinan DAP,” katanya.

Monday, June 12, 2017

Rakyat Akan Jatuhkan PAS Kelantan, Bukan AMANAH - Husam


Rakyat Kelantan sudah cukup hujah untuk menjatuhkan PAS pada pilihan raya akan datang dan AMANAH hanyalah berusaha mengganti bagi meneruskan pentadbiran Islam yang diasaskan oleh almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu.

Naib presiden AMANAH Datuk Husam Musa berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya beliau mendapat dana dari seorang Cina untuk menjatuhkan PAS Kelantan.

"Seorang pengguna facebook yang menggunakan nama Wan Zawawi W Ismail telah memfitnah saya dalam status yang dimuatkannya.

"Ini satu fitnah dan saya sedang menyiasat akaun sebenar pemilik fb ini walaupun ramai memberitahu akaun ini milik ketua eksekutif PKINK, Datuk Wan Zawawi." katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Wisma Tok Guru, Salor, semalam.

Menurut Husam, pelbagai tindakan yang dilakukan kerajaan PAS sekarang sudah cukup untuk ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Pengendalian pembangunan dibuat dengan cara merugikan rakyat dan begitu menyebelahi pihak pemaju.

"Di Lembah Sireh perjanjian untuk kemudahan rakyat dilupuskan begitu saja.

"Di Kampung Laut, rakyat tidak dirundingi dahulu sebelum tanah mereka diambil.

"Kini di Lembah Binjai pula kerajaan terang-terang menipu apabila memberitahu tuan-tuan tanah telah bersetuju tanah mereka diambil sedangkan sebenarnya mereka tidak pun diberitahu di peringkat awal," katanya.

Kerajaan juga katanya gagal merancang untuk menjaga kebersihan dan alam sekitar.

"Pengurusan sampah begitu teruk dan keluhan orang ramai tidak dipeduli malah diancam kononnya mereka yang mempersoalkan hal sampah akan masuk neraka.

"Orang Asli dilayan dengan buruk semata-mata cuba mempertahankan hutan sekitar mereka dan air sungai yang bersih untuk meneruskan kehidupan.

"Pemerintahan yang jadikan rakyat musuh seperti ini tentu akan jatuh dan jangan salahkan parti seperti AMANAH.

"Sebagai parti Islam AMANAH memikul tanggungjawab untuk memastikan pentadbiran Islam berdsarkan al-Quran dan memihak kehendak rakyat terus kekal di negeri ini selepas pilihan raya nanti," katanya.

(malaysiadateline.com)

Monday, June 5, 2017

Apakah Pertandingan Tiga Penjuru Di Kebanyakan Kerusi DUN Kelantan?


Kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob bahawa  Pas akan bertanding 100 peratus di Kelantan akan membuka kepada pertandingan tiga penjuru di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bermakna pada kesemua 45 kerusi DUN, PAS akan bertanding. Ketika ini PAS memiliki 32 kerusi DUN, UMNO/BN 12 dan PKR hanya satu sahaja.

Ini jika tiada kerjasama antara PAS dan UMNO. Sebaliknya jika mereka ‘tidur sebantal’, bagaimana pula?

Apakah UMNO sanggup melepaskan 12 kerusi miliknya sekarang atau bagaimana?

Sebagai parti pemerintah negeri, PAS wajar memaklumkan demikian tetapi pertanyaan ialah apakah PAS Kelantan tidak akan bekerjasama dengan UMNO Kelantan jika berpendirian sedemikian?

Apakah PAS yakin menang jika tidak bekerjasama dengan UMNO/BN atau parti lain, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Atau apakah PAS sudah nekad ia mahu bersendirian?

Atau  apakah kenyataan Ahmad ini hanya gimik pilihan raya sedangkan sudah ada kesepakatan antara PAS dan UMNO ‘di balik tabir’.


Kenyataan Ahmad yang memaklumkan bahawa parti Islam itu akan bertanding di semua kerusi di Kelantan  dalam PRU14 akan datang menguatkan lagi spekulasi mengenai apa yang diperkatakan di Kelantan sekarang.

Cakap-cakap bahawa untuk kerusi DUN, PAS akan bertanding semua sementara untuk kerusi Parlimen pula, UMNO akan bertanding di kebanyakan kerusi untuk menjamin Barisan Nasional (BN) terus memerintah di Putrajaya.

Pakatan dan ‘perjanjian di balik tabir’ ini bukan  lagi sesuatu yang menjadi rahsia. Ini kerana gerakan-gerakan UMNO menggunakan ustaz PAS untuk tujuan tazkirah dan ceramah agama pada majlis-majlis UMNO pada Ramadan ini sudah menggambarkan segala-galanya.

Sejauh mana dan sebanyak mana PAS akan menyerahkan kerusi Parlimennya kepada UMNO/BN untuk bertanding di Kelantan masih jadi tanda tanya.

Ketika ini PAS memiliki sembilan (9)  kerusi Parlimen dan UMNO/BN hanya ada lima (5) kerusi dan apakah PAS akan berkompromi jika UMNO/BN memberikan laluan kepadanya?

Namun daripada kenyataan Ahmad ini, amat nyata PAS akan pertahankan apa sahaja yang tinggal baginya di Kelantan kerana agak sukar untuk PAS pada pilihan raya kali ini, termasuk di Terengganu dan Kedah.

Dengan terputusnya tahaluf siyasi antaranya dengan PKR, PAS juga terpaksa ‘berlakon’ di Selangor dan apa yang dapat dilihat, PAS mengamalkan ‘cara berpolitik mengikut negeri’.
Ketika ia mengatakan kerjasama politiknya dengan PKR sudah putus, di Selangor dan Kelantan, masih berlaku.


EXCO PAS masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan pegawai PKR yang dilantik ooleh kerajaan Kerajaan masih berkedudukan dalam jawatan masing-masing.

Mungkin kerana kedudukan ini Ahmad menegaskan bagi kerusi PKR di Kelantan pihaknya akan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

“Pas akan bertanding di semua kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini dan untuk kerusi PKR, kita akan lihat dulu sama ada ingin letak calon atau pun tidak," katanya selepas Program Ihya’ Ramadhan Bersama Anak Perantauan Kelantan, malam tadi.

Masa masih ada untuk melihat sandiwara PAS di Kelantan dan walaupun melihat dirinya kuat, PAS tentunya tetap bimbang bahawa ia mungkin akan kehilangan kerajaan negeri jika percaturannya salah.

Peringatan ialah, Jangan sekali-kali PAS perkecilkan kekuatan AMANAH dan PPBM di Kelantan!


Tuesday, May 2, 2017

Sukar Bagi UMNO-BN Rampas Semula Kelantan Daripada PAS


Sekalipun ‘cakap-cakap tidak puas hati’ terhadap kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS sedang menular, namun bagi bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, UMNO-BN tidak mampu merampas negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ibrahim yang pernah menang kerusi berkenaan atas tiket UMNO dan juga sebagai calon BEBAS tetapi melalui sokongan PAS, berkata, meskipun rakyat semakin gelisah dengan tindak tanduk pentadbiran PAS, namun mereka telah sebati dengan PAS serta menolak UMNO.

"Rata-rata cakap tak puas hati dengan PAS tetapi orang Kelantan majoriti yang juga atas pagar terutama yang merantau dari Kuala Lumpur balik tetap mengundi PAS, sebab mereka pemikiran tak nak UMNO, tak terima kepimpinan UMNO.

"Jadi, walaupun keadaan (tak puas hati) ini wujud di Kelantan, rakyat tak senang hati dengan PAS di kelantan, tetapi tidak mudah untuk UMNO untuk merampasnya dari PAS," kata Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata UMNO Kelantan tidak perlu berada dalam kedudukan selesa walaupun terdapat pihak membayangkan BN mempunyai peluang cerah untuk kembali mentadbir negeri itu.

Beliau berkata, UMNO Kelantan sepatutnya perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya ke-14 yang mesti diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

Selain Annuar, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut membayangkan BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan.

Presiden PERKASA itu berkata, rakyat Kelantan adalah unik di mana mereka tidak pernah kisah dengan kegagalan pentadbiran PAS dalam membangunkan negeri itu khususnya ekonomi.

“Rakyat ada satu sifat ulat dalam batu pun boleh hidup, cakaplah soal pembangunan, cakap apa pun mereka undi PAS," kata Ibrahim.

Bagi sesetengah penganalisis dengan ketiadaan bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang telah berkhidmat sebagai menteri besar Kelantan selama 23 tahun, pilihan raya akan datang adalah peluang terbaik bagi UMNO merampas semula negeri itu.

Ibrahim pada awal tahun ini mendedahkan dirinya akan bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU14.

Beliau juga mengumumkan jika ada tawaran daripada mana-mana parti, beliau sedia mempertimbangkannya.

Tuesday, April 18, 2017

Bantahan Arahan 'Rehat Maghrib' - Zaid Mahu Bantu BN Tawan Kelantan?

Abdul Fattah...Berehat dan menunaikan solat
Apa yang berserabut di kepala bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim?

Pengumumannya  yang akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Kelantan hanya akan menyemarakkan ‘permusuhan dalam’ pembangkang.

Memang PAS dan DAP berada dalam ruang yang berlainan dalam kelompok pembangkang, namun tindakan Zaid akan menjejaskan persefahaman dan perkiraan politik dalam berdepan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Zaid pastinya akan menyebabkan PAS Kelantan marah dengan bantahannya di atas arahan kepada peniaga pasar malam supaya menghentikan perniagaan ketika solat Maghrib.

Apa yang sedang dilakukan Zaid ada kesan buruk terhadap persefahaman pembangkang, apalagi dalam menjamin Barisan Nasional (BN) ditewaskan di Kelantan.
  
"Saya akan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan minggu ini.

"Arahan supaya peniaga pasar malam menghentikan perniagaan ketika solat Maghrib adalah tidak sah.

"Keputusan untuk melarang peniaga untuk tidak membuka kedai sebelum jam 3 petang pada bulan Ramadan juga adalah menyalahi undang-undang," katanya dalam satu siri tweet di laman mikro-blog Twitter.

Zaid menyifatkan kepimpinan kerajaan Kelantan sebagai "tidak bertanggungjawab".

 

"Kebanyakan polisi mereka tidak mempunyai asas dalam undang-undang. Mereka hanya mengambil kesempatan daripada umat Islam yang takut dilabelkan sebagai jahil," katanya.

Zaid yang kini menganggotai parti DAP berkata, beliau juga tidak gentar dengan tindak balas yang mungkin diterimanya berikutan cabaran undang-undang itu.

"Biar Allah tentukan jika saya jahil. Bukan ulama separuh masak yang mencari kedudukan politik di Kelantan," katanya.

Semalam, bekas exco Kelantan Datuk Musa turut mempersoalkan langkah kerajaan negeri untuk mengenakan larangan berniaga ke atas peniaga bukan Islam pada waktu Maghrib.
Kata Husam yang kini adalah naib presiden Parti Amanah Negara., arahan berkenaan sepatutnya terhad kepada peniaga Muslim sahaja kerana peniaga bukan Islam tidak menunaikan solat Maghrib.

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, semalam dilaporkan berkata, arahan itu bagi memastikan semua pihak termasuk pembeli boleh menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan kegiatan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan itu berkata, arahan berkenaan juga untuk memberi masa kepada para peniaga berehat dan menunaikan solat.


Beliau berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu Maghrib, dan wisel kedua sebanyak dua kali 10 minit kemudian.

Dasar tersebut telah dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu, sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu, tahun lalu.

Kata Abdul Fattah, peniaga yang ingkar akan diberikan amaran terlebih dahulu, sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil.

Apakah tindakan Zaid tergesa-gesa atau memang beliau mahu BN mengalahkan pembangkang di Kelantan?

Dengan menghentam kerajaan PAS berterusan bersama AMANAH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat turut bergerak untuk menyekat kemaraan BN semakin tersepit.

Strategi Zaid silap atau beliau sengaja membuka jalan untuk BN menang di Kelantan?

Friday, March 31, 2017

RUU355: Presiden PAS Wajar Letak Jawatan Secara En Bloc, Kata Husam


Keputusan BN untuk tidak membentangkan rang undang-undang meminda akta 355 adalah bukti presiden PAS telah mempermainkan umat Islam.

"Sewajarnya beliau dan seluruh AJK PAS pusat meletak jawatan secara en bloc," kata Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa pada sidang media di majlis menaikkan bendera di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu petang semalam.

Keputusan ini yang disifatkan beliau 'jalan mati' dalam episod RUU355 ciptaan ahli parlimen Marang itu dan memberi implikasi buruk kepada agama Islam.

"(Datuk Seri) Hadi (Awang) tidak boleh lari dari tanggungjawab kerosakan ini dan beliau bersama-sama jawatankuasa PAS pusat perlu meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti," katanya.

Husam bercakap dalam sidang media di Kota Bharu semalam.

Percubaan Hadi membawa usul persendirian dalam perkara ini bertentangan dengan semua amalan mengikut lunas-lunas demokrasi di negara ini.

Husam dan Wan Rahim menaikkan
bendera Amanah di Kota Bharu
"Dalam PAS perkara ini telah kita bincang semasa saya jadi naib presiden lagi.

"Waktu itu kita putuskan pindaan ini hendaklah dibawa oleh pihak kerajaan dan bukannya usul persendirian," katanya.

Husam turut menamakan dua orang menteri BN yang memperdayakan PAS  dan umat Islam kononnya pindaan ini akan disokong oleh UMNO.

"Datuk Jamil Khir Bahrom dan Datuk Ashraf Wajdi Dasuki juga perlu bertanggungjawab atas penipuan mereka.

"Mereka berdua dilihat begitu kuat menjanjikan untuk menyokong usul ahli parlimen Marang sedangkan dari pihak UMNO tidak ada sebarang komitmen," katanya.

Pada majlis itu Husam, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah dan pimpinan Amanah negeri dan kawasan Kota Bharu menyaksikan upacara menaikkan bendera Amanah.

Upacara itu diadakan di hadapan sebuah bangunan yang dulunya digunakan sebagai pusat operasi PAS di kawasan itu.

Sebelum ini Wan Rahim, dalam satu majlis di Bunut Payung,  mengumumkan Husam sebagai baka calon Amanah di parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum akan datang.


Ia kemudiannya disahkan oleh Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu dalam majlis yang sama.

Wednesday, March 29, 2017

Che Abdullah Nafi PAS Mahu Ambil Kerusi ‘Dipinjam’ Kepada PKR


Gambaran Utusan Malaysia bahawa PAS akan mengambil semula kerudi Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) yang ‘dipinjamkan' kepada PKR pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah salah.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan menafikan beliau memberi gambaran itu dan kenyataan yang dibuatnya telah dipetik dalam konteks yang salah.

Salah petik atau salah lapor? Menulis berasaskan penilaian sendiri?

Utusan Malaysia diuji sekali lagi dalam laporan mengenai perkara ini.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai kedudukan PKR di Kelantan sehingga ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat PAS serta dibahaskan dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah hujung bulan depan.

“Masa depan PKR di Kelantan kita belum tahu lagi. Saya dah baca (berita berkenaan) tapi berita itu tak betul, ditulis dalam konteks yang salah.

“Saya ditanya (wartawan), berapa kawasan yang buat usul putuskan hubungan (dengan PKR). Jadi saya kata, kita (PAS negeri) terima sahaja usul dan belum kira berapa (usul) yang minta kaji hubungan tahaluf siyasi.

“Lalu dia tanya, apakah PAS Kelantan akan buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR? Saya kata (persoalan sama ada hubungan diteruskan atau tidak) tertakluk dengan keputusan di peringkat pusat,” katanya kepada Malaysiakini.

Utusan Malaysia hari ini ini melaporkan PAS Kelantan akan mengambil kembali kerusi parlimen dan DUN yang diistilahkannya sebagai ‘dipinjamkan' kepada PKR di Kelantan pada PRU13 selepas mengambil kira keadaan politik semasa membabitkan hubungan kedua-dua parti yang semakin retak.

Akhbar itu juga memetik Che Abdullah sebagai berkata, perkara itu berlaku kerana PKR sering berada sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai DAP untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.

Kata Che Abdullah, beliau turut ditanya wartawan akhbar berkenaan sama ada PAS akan memutuskan hubungan dengan PKR sekiranya dipersetujui dalam muktamar nanti dan mengambil kembali kerusi PKR di negeri itu.

“Lalu dia (wartawan) tanya, kalau pusat dah buat keputusan putuskan tahaluf siyasi dengan PKR, adakah PAS akan ambil kerusi itu, dan saya kata, mestilah. Kita akan ambil tindakan selaras dengan keputusan yang dibuat diperingkat pusat.

“Soalan dia mari (datang) awal (dan bersifat spekulasi) sama ada PAS dan PKR akan berpecah. Kalau pecah, memanglah PAS akan bertanding di kerusi PKR bertanding.

Saya dah sebut dari awal, belum tahu lagi (keputusan sebenar sebab) PAS pusat yang akan buat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan berkata PAS akan terus menjalinkan kerjasama dengan PKR sehingga ia diputuskan dalam muktamar tahunan PAS atau keputusan di peringkat Pusat.

“Sekarang belum ada keputusan. Dalam muktamar akan bincang panjang lebar tapi belum ada keputusan. Kita masih teruskan hubungan dengan PKR sehingga ada keputusan lain,” katanya.


Kelantan memiliki 14 kerusi parlimen dan pada PRU13, PKR bertanding di tiga tempat iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala di peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.

Bagaimanapun hanya satu kerusi yang dimenangi oleh PKR iaitu DUN Guchil. 

Wednesday, March 15, 2017

Tuntutan Palsu - MITI Bantu Siasatan Terhadap Bekas Pengarah


Siapa bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kelantan yang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan nilai RM600,000?

Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata suspek berusia 35 tahun ditahan di pejabatnya di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya semalam.

"Dia dibawa ke Kota Bharu malam tadi untuk membantu siasatan kes itu," katanya.

Ada diviralkan bahawa bekas pengarah berkenaan rapat dengan seorang menteri.

Petang ini, MITI mengatakan akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes tuntutan palsu membabitkan nilai RM600,000 oleh seorang pegawai kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada SPRM.

"Saya percaya siasatan akan dilaksanakan secara adil dan telus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Norida Mohd Husin mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan

Ketika ditemui di Kota Bharu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsuddin Yusof berkata, suspek berumur 35 tahun itu ditahan di pejabatnya di sebuah jabatan di Putrajaya kira-kira pukul 6 petang semalam.

"Pegawai kita ke pejabat JPA untuk membuat tangkapan sebelum membawa suspek malam tadi ke Kelantan untuk direman.

"Suspek dipercayai membuat tuntutan palsu berjumlah RM190,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu," katanya.

Tuesday, February 21, 2017

Kecoh - Husam ‘Mari’ Bukan ‘Lari’ Pada Ceramah Mega PAS Di Kota Bharu...


Siapa lebih berani bersemuka antara Datuk Husam Musa dan pemimpin PAS Kelantan?

Kononnya Husam ‘lari’ dan tidak berani bersemuka dengan pemimpin PAS yang menuduhnya mengelak daripada debat Baiah.

Sebaliknya Husam lebih ‘gedebe politik’ berbanding sekumpulan pemimpin PAS yang menghentamnya pada ceramah mega di kota Bharu, semalam.

Pada catatan di Facebooknya semalam (20 Februari 2017 - 11.10 malam), Husam mengatakan beliau  sekarang berada di atas pentas dgn banner 'Husam lari debat bai'ah'.

“Saya tiba lebih kurang jam 11 mlm. Nazman selaku pengerusi majlis. Saya beritahu beliau, saya mesti diberi masa utk berucap, kerana nama saya telah 'dijual'.

Nazman memberitahu, Dato Nasaruddin tidak benarkan!Kata Husam.

Jelas dan nyata pada ceramah mega anjuran PAS Kelantan yang bertajuk "Husam Lari Dari Debat Baiah" malam semalam, Penasihat AMANAH Kelantan itu berani untuk ‘Mari’ (datang) ke majlis yang membicarakan tentang beliau itu.


Husam yang turut naik ke pentas itu bagaimana tidak diberikan sebarang peluang untuk berucap walaupun beliau tunggu sehingga penceramah utamanya, Datuk Nasruddin Daud berucap.

Peristiwa itu disaksikan ribuan penonton di perkarangan stadium itu dan juga melalui siaran secara langsung yang disiarkan facebook. Ini kerana, kedua-dua pihak membuat siaran langsungnya melalui facebook masing-masing.

Suasana tenang di  Ceramah "Husam Lari dari Debat Baiah" tiba-tiba bertukar riuh apabila Husam tiba-tiba muncul di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV itu.

Husam yang tiba jam 11 malam sewaktu Yang Dipertua PAS Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang memberi ucapannya dilihat menaiki pentas utama dan duduk bersama pemimpin PAS yang lain.

Tindakan tersebut telah menimbulkan ketidakselesaan penonton mahupun pemimpin yang ada di atas pentas itu.

Sekali gus Husam dilemparkan dengan kata-kata yang tidak sopan oleh beberapa penyokong yang hadir.

Walau bagaimanapun kehadiran Husam dipentas utama tersebut langsung tidak mengganggu Wan Ismail yang juga pemimpin senior PAS itu dalam melontarkan pendapat dan pengalamannya mengenai isu itu.

Malah beliau juga dengan sinisnya menegaskan tiada siapa pun yang boleh membakar rumah PAS itu selagi ada penghuni tegar di dalamnya.

Keriuhan sorakan penyokong juga tidak hanya berhenti di situ apabila sekali lagi kekecohan timbul semasa Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud mula berucap.

Kekecohan tersebut bermula apabila salah seorang penyokong tidak dapat menahan kemarahan dan datang ke hadapan pentas mencabar bekas Naib Presiden PAS itu berdebat di hadapan mereka.

Keadaan pada awalnya tidak terkawal terutamanya apabila penyokong kedua-dua parti masing-masing bergilir melontarkan cemuhan terhadap pemimpin pihak berlawanan.

Bagaimanapun lima minit kemudian, keadaan mula kembali tenang dengan bantuan Unit Amal PAS yang bertindak membuat kawalan rapi di depan pentas utama.

Husam dibawa keluar daripada pentas tersebut selePAS ada sekumpulan penyokong PAS cuba untuk membuat kecoh di depan pentas dan mahu bersemuka dengan bekas exco kerajaan negeri itu.

Keadaan kembali tenang apabila Husam meninggalkan ceramah tersebut.


Ceramah tersebut dibuat bagi memberi penjelasan mengenai tindakan Husam yang didakwa cuba berdolak dalih dalam menentukan tarikh sebenar perdebatan itu boleh dilangsunglan.

Mengulas peristiwa itu Husam berkata, “...ingatkan malam tadi debat baiah akan berlangsung. Malang! Bukan Husam Lari. Husam mari," tulis beliau dalam satu kenyataan ringkasnya.

Namun, katanya, majlis ini hanya menjadi majlis mempamirkan pimpinan kerajaan Kelantan yang tidak gentleman.

"Jangkaan saya akan diberi berucap sepatah dua - meleset," kata Husam.

Husam menegaskan, "Untuk makluman YB Meranti (Nasruddin) - saya masih bersedia berdebat bila-bila masa dengan beliau.

"InsyaAllah saya tidak akan lari. Saya mari," kata Husam.

Ketika Nasruddin berucap malam tadi, wakil beliau yang juga ketua pemuda AMANAH Kelantan, Jeming @ Hazmi Hassan meminta kepada pengerusi majlis agar membenarkan Husam bercakap.

Namun, pengerusi majlis yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim berkata, Nasruddin tidak membenarkannya.

Husam menjadi sasaran PAS sehingga menjadikan beliau sebagai tajuk ceramah mega yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V Kota Bharu itu.

sumber - Sinar Harian dan Malaysia Dateline