Monday, August 2, 2010

HRPZII HADAPI KRISIS AIR KRITIKAL

Biarpun Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu adalah antara pengguna terbesar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan purata bil air RM35,000 sebulan, namun masalah air tetap membelenggu hospital itu bahkan krisis itu kini semakin kritikal.

Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata hospital itu kini berdepan dengan situasi yang amat membimbangkan apabila masalah kekurangan air telah memberi implikasi besar terhadap perkhidmatan kepada purata 21,000 pesakit hospital itu setiap bulan.

"Masalah kekurangan bekalan air, isu yang dihadapi dah berlanjutan hampir setahun, sejak September tahun lalu dan menjadi begitu teruk sejak kebelakangan ini.

"Implikasi besar apabila perkhidmatan kita terjejas, HRPZII mempunyai dua fasa, fasa lama dan fasa baru, paling dikesali apabila masalah air ini banyak melibatkan fasa lama yang menempatkan unit bersalin dan wad kanak-kanak.

"Unit bersalin adalah antara unit yang tersibuk kerana setiap hari anggaran 30 sehingga 40 orang bayi dilahirkan yang memerlukan banyak penggunaan air, untuk membersihkan bayi iaitu membuang selaput di badannya, mencuci kain yang terkena darah dan juga membersihkan kelengkapan dan peralatan yang digunakan untuk setiap proses kelahiran," katanya semalam.

Beliau berkata bagi wad kanak-kanak juga memerlukan penggunaan air yang banyak dan kekurangan bekalan air menyebabkan pesakit turut terdedah kepada jangkitan pelbagai jenis penyakit.

"Sebagai contohnya penggunaan inkubator untuk kanak-kanak, apabila kanak- kanak itu hendak ditukar ke unit lain maka inkubator itu perlu dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu untuk kegunaan kanak-kanak lain, apabila ketiadaan air, peralatan tidak dapat dicuci dengan bersih dan ini akan menggalakkan penyebaran pelbagai jenis wabak penyakit, begitu juga di wad dan unit lain," katanya.

Dr Ghazali Hasni berkata permasalahan itu telah beberapa kali dipanjangkan kepada pihak AKSB sehingga diadakan perbincangan khas, bagaimanapun sehingga kini masalah itu menemui jalan buntu.

Bahkan, katanya setiap kali aduan diberikan, pihak berkenaan akan memberi jawapan yang sama iaitu mengatakan kemungkinan adanya kebocoran berlaku di tangki atau paip hospital itu.

"Mereka (AKSB) kadangkala cuba menyatakan dalam hospital ada kebocoran, tetapi melalui pemerhatian pihak kita di paip dan tangki, tiada sebarang kebocoran berlaku bahkan bil air juga tidak meningkat atau mencecah ratusan ribu ringgit, satu perkara yang jelas akan berlaku sekiranya benar ada kebocoran," katanya.

Katanya dalam tempoh beberapa bulan lalu bil air yang sebelum ini dicatatkan berjumlah RM35,000 sebulan telah menurun kepada RM25,000 dan RM26,000 menunjukkan penggunaan air di hospital itu adalah berkurangan.

Selain itu katanya, pihak hospital berkenaan juga telah mengambil inisiatif menukar paip-paip lama kepada paip baru di seluruh hospital berkenaan yang menelan kos sehingga RM500,000 bagi memastikan tiada kebocoran berlaku sehingga menyebabkan terjadinya krisis bekalan air itu.

Dr Ghazali Hasni berkata sejak semalam masalah itu dianggap paling teruk apabila tangki simpanan hospital itu kini berada pada paras 0.5 meter berbanding jumlah sepatutnya iaitu di paras dua meter sehingga gagal menyalurkan air ke wad-wad dan menjejaskan perkhidmatan terutama wad kecemasan, wad bersalin, wad kanak-kanak termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU).

Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan perkara itu kerana ia bukan sekadar untuk kepentingan 3,200 kakitangan hospital tetapi ia lebih kepada kepentingan pesakit yang terdiri dari seluruh rakyat Kelantan yang memerlukan rawatan dan perkhidmatan yang terbaik.

No comments: