Showing posts with label Air Bersih. Show all posts
Showing posts with label Air Bersih. Show all posts

Saturday, November 13, 2010

AIR BERSIH - HANYA 3 TAHUN, BUKAN SAMPAI 17 TAHUN


Jika kerajaan PAS Kelantan memerlukan 17 tahun lagi untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu, Barisan Nasional (BN) semalam berjanji untuk mengatasinya hanya dalam tempoh tiga tahun atau selewat-lewatnya satu penggal pemerintahannya.

Ketika membuat janji itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata pengumuman kerajaan Kelantan yang rakyat negeri itu akan dapat menikmati bekalan air bersih sepenuhnya dalam tempoh 17 tahun lagi adalah bukti kegagalan PAS memerintah negeri itu.

"Saya sangat kesal dan terkejut apabila mengetahui rakyat Kelantan perlu menunggu 17 tahun lagi untuk mendapat bekalan air bersih ini. Masalah ini boleh diatasi kalau rakyat bagi kepercayaan kepada BN (untuk perintah Kelantan).

"Kita akan dapat selesai hanya dalam tempoh dua atau tiga tahun sahaja atau paling lewatnya satu penggal (pemerintahan).

Terserah kepada rakyat Kelantan nak tunggu 17 tahun lagi atau hanya tiga tahun, dan ini satu jaminan (kepada rakyat Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan pemain bola sepak Kelantan dan perarakan Piala Malaysia di Dataran Perahu di Bachok.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dan ketua jurulatih pasukan Kelantan B. Sathianathan serta lebih 5,000 penyokong.

Dr Awang berkata jika rakyat Kelantan perlu menunggu sehingga 2027 untuk mendapat bekalan air bersih, itu menunjukkan pemimpin PAS Kelantan tidak mampu mentadbir, dan negeri itu akan terus ketinggalan pada masa depan.

"Yang sedih perkara seperti ini dikaitkan dengan Islam (sedangkan) yang sepatutnya kemajuanlah yang kita boleh kaitkan, kerana ia tuntutan agama dan bukannya perkara yang hanya boleh memburukkan imej Islam. Saya rasa rakyat Kelantan akan sedar mengenai perkara ini," katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang berakhir pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Mej (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata liputan air bersih yang sepenuhnya bakal dinikmati rakyat Kelantan selewat-lewatnya pada 2027.

Md Anizam dilaporkan berkata sehingga tempoh itu kerajaan negeri melalui Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd akan menaik taraf secara berperingkat infrastruktur bekalan air bersih ke seluruh negeri.

Dr Awang, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata adalah tidak benar bahawa kadar kemiskinan tegar di Kelantan telah menurun sehingga hampir empat peratus seperti yang diumumkan pada persidangan DUN itu.

"Statistik (yang diumumkan kerajaan negeri) tidak boleh dijadikan ukuran dan pada hakikatnya Kelantan adalah di tempat tercorot dalam banyak perkara seperti pendapatan isi rumah, kutipan hasil jualan dan jumlah kemasukan pelabur ke Kelantan.

"Hakikatnya kita (Kelantan) ramai yang miskin. Ini cuma menidakkan kebenaran," katanya.

Beliau berkata Umno Kelantan akan menggunakan isu air dan tempat tercorot itu bagi memberikan kefahaman sepenuhnya kepada rakyat agar mereka sedar segala permasalahan itu.

Thursday, November 11, 2010

TUNGGULAH BEKALAN AIR BERSIH 17 TAHUN LAGI

Kesian dengan rakyat Kelantan!

Mereka perlu menunggu sehingga 2027 atau 17 tahun lagi untuk membolehkan seluruh kawasan negeri itu dapat menikmati bekalan air bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti Dan Alam Sekitar Negeri Mej (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata kerajaan negeri melalui Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd sehingga tempoh itu akan berusaha meningkatkan kualiti bekalan air bersih secara berperingkat.

"InsyaAllah pada 2027 seluruh Kelantan akan mendapat bekalan air bersih sepenuhnya," katanya ketika menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darul Naim di Kota Bharu semalam.

Abdul Halim dalam soalannya bertanyakan bila kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih tersebut.

Ketika menjawab soalan Muhamad Mustafa (PAS-Demit), Md Anizam berkata pihaknya memperuntukkan RM10 juta pada setiap tahun untuk membaiki prasarana seperti pembaikan jalan kampung di Kelantan.

Beliau berkata wakil pembangkang di DUN itu juga berhak membuat permohonan dari kerajaan negeri untuk tujuan itu.

Saturday, July 10, 2010

RM21j BINA TELAGA TIUB BUAT 91 SEKOLAH

Kementerian Pelajaran meluluskan peruntukan lebih RM21 juta untuk membina telaga tiub bagi kegunaan 91 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Kelantan sejak tahun 2007.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata peruntukan itu perlu ekoran kegagalan kerajaan negeri menyediakan bekalan air bersih yang mencukupi menerusi Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi kegunaan kira-kira 200,000 murid dan guru di sekolah-sekolah berkenaan.

"Sebilangan besar sekolah-sekolah ini terletak di pedalaman Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini, Khamis malam.

Beliau berkata sebelum ini pengetua dan guru besar sekolah-sekolah berkenaan terpaksa mendapatkan bekalan air daripada pelbagai sumber yang tidak dijamin kebersihannya untuk kegunaan pelajar.

Katanya ketika ini masih banyak sekolah membuat permohonan kepada pihaknya bagi mendapatkan peruntukan itu ekoran bekalan air ke sekolah-sekolah berkenaan yang sering terputus, terutama pada musim kemarau.

Beliau berkata ia termasuk beberapa sekolah yang terletak di kawasan bandar Kota Baharu, dan menurutnya JPN akan menyalurkan permohonan itu kepada pihak Kementerian untuk pertimbangan.

Tuesday, July 6, 2010

350,000 RAKYAT KELANTAN GAGAL DAPATKAN AIR BERSIH

Daripada www.lawi-ayam.blogspot.com

Apakah nasib yang akan menimpa kepada 30 peratus atau 350,000 lagi penduduk Kelantan yang tidak mungkin dapat bekalan air bersih?

Bukankah mereka dengan sendirinya menjadi kumpulan rakyat yang terpinggir?

Kenapa baru sekarang Kerajaan PAS Kelantan mengakui tidak mampu untuk membekalkan air bersih dengan alasan tinggal di pedalaman dan bahagian selatan Kelantan?

Juga wajarkah kerajaan negeri member alasan kononnya terpaksa menangung kos yang tinggi untuk membekalkan air bersih di kawasan pedalaman?.

Kerajaan PAS Kelantan semalam mengakui hanya mampu memenuhi keperluan bekalan air bersih kepada 70 peratus daripada 1.5 juta penduduk negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Infrastruktur, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman berkata, rakyat terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman dan bahagian selatan Kelantan belum dapat menikmati bekalan air bersih yang disalurkan syarikat di bawah kerajaan negeri, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Menurutnya, kos yang tinggi untuk penyediaan sistem bekalan ke lokasi yang berjauhan dari paip utama menjadi antara faktor bekalan air bersih gagal disalurkan sepenuhnya.

"Kegagalan ini wujud berikutan kedudukan rumah-rumah penduduk yang berjauhan. Biasanya kita dapat selesaikan masalah bekalan air penduduk yang tinggal di kawasan 'kompak' seperti taman perumahan di bandar Gua Musang.

"Tetapi untuk menyediakan sistem paip ke beberapa rumah di lokasi-lokasi yang terasing dari penempatan utama akan memakan kos yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Jajahan dan Loji Rawatan Air Terbaik di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu 4 Julai lalu.

Hakikatnya, isu bekalan air bersih untuk rakyat Kelantan tidak usahlah memperkatakan sama ada rakyat tinggal di Gua Musang atau sebagainya.

Lihatlah sendiri bagaimana kawasan sekitar Kota Bharu, umpamanya di sekitar Wakaf Che Yeh, penduduk terpaksa menggunakan pam sendiri.

Harapkan air paip AKSB? Sudah lebih sepuluh tahun syarikat itu gagal membekalkannya.
Bagaimana Kerajaan PAS Kelantan boleh menganugerahkan Loji Rawatan Air Terbaik sedangkan masih banyak kawasan yang menghadapi masalah bekalan air.