Saturday, July 10, 2010

RM21j BINA TELAGA TIUB BUAT 91 SEKOLAH

Kementerian Pelajaran meluluskan peruntukan lebih RM21 juta untuk membina telaga tiub bagi kegunaan 91 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Kelantan sejak tahun 2007.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata peruntukan itu perlu ekoran kegagalan kerajaan negeri menyediakan bekalan air bersih yang mencukupi menerusi Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi kegunaan kira-kira 200,000 murid dan guru di sekolah-sekolah berkenaan.

"Sebilangan besar sekolah-sekolah ini terletak di pedalaman Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini, Khamis malam.

Beliau berkata sebelum ini pengetua dan guru besar sekolah-sekolah berkenaan terpaksa mendapatkan bekalan air daripada pelbagai sumber yang tidak dijamin kebersihannya untuk kegunaan pelajar.

Katanya ketika ini masih banyak sekolah membuat permohonan kepada pihaknya bagi mendapatkan peruntukan itu ekoran bekalan air ke sekolah-sekolah berkenaan yang sering terputus, terutama pada musim kemarau.

Beliau berkata ia termasuk beberapa sekolah yang terletak di kawasan bandar Kota Baharu, dan menurutnya JPN akan menyalurkan permohonan itu kepada pihak Kementerian untuk pertimbangan.

No comments: