Showing posts with label Sekolah Angkat. Show all posts
Showing posts with label Sekolah Angkat. Show all posts

Saturday, November 13, 2010

SEKOLAH DITUTUP KERANA BANJIR DIBUKA SEMULA HARI INI

Semua 13 sekolah di jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang ditutup akibat banjir sejak tiga hari lalu akan dibuka semula esok, berikutan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Hussein Awang, berkata semua guru besar sekolah terbabit telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Dalam kejadian banjir tiga hari lalu, 13 sekolah kebangsaan di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat membabitkan lebih 7,000 murid yang terletak di kawasan pinggir Sungai Golok ditutup kerana kawasan sekolah terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga tiga meter.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (I); SK Sri Rantau Panjang (II); SK Rantau Panjang; SK Lubok Setol; SK Kok Pauh, SK Rahmat; SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh; SMK Rantau Panjang; SRJKC Khay Boon; SK Bakong, SK Chenderong Batu dan SK Bendang Pak Yong.

Hussein berkata, kerja pembersihan kawasan dan bangunan sekolah sedang dilakukan oleh pihak sekolah dan petugas agensi penyelamat.

Sementara itu, Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang Yusnizam Jusoh berkata pihaknya akan menjalankan operasi pembersihan sekolah yang ditenggelami banjir.

Katanya, langkah itu amalan biasa pasukannya yang ditugaskan bukan sahaja menolong kerja-kerja menyelamat semasa banjir tetapi juga selepas bencana itu.

Monday, August 9, 2010

SKM SASAR 300 SEKOLAH DI KELANTAN SERTAI KOPERASI

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mensasarkan 300 sekolah rendah di Kelantan menyertai SKM.

Pengarah SKM negeri Wan Mohamad Sabri Wan Harun berkata mengikut akta SKM, sekolah yang mempunyai anggota koperasi seramai 50 ke atas diwajibkan berdaftar dengan suruhanjaya itu.

"Sehingga ini kesemua 540 sekolah menengah, termasuk sekolah menengah agama kerajaan di negeri ini telah menubuhkan kedai koperasi dan ini suatu perkembangan yang menggalakkan," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Konvensyen Koperasi Sekolah peringkat negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata ada antara koperasi sekolah mencatatkan keuntungan lebih RM100,000 setahun melalui aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan majlis itu, Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pembangunan Kemanusiaan), Jabatan Pelajaran Kelantan Siti Mariam Mohamed berkata, penyertaan pelajar dalam gerakan koperasi bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mereka dalam ilmu keusahawanan tetapi mendidik mereka berdisiplin dan melaksanakan aktiviti berfaedah.

"Ini secara tidak langsung memberi keuntungan balik kepada warga sekolah untuk mendapatkan barangan secara mudah dengan harga murah," katanya.

Saturday, July 10, 2010

RM21j BINA TELAGA TIUB BUAT 91 SEKOLAH

Kementerian Pelajaran meluluskan peruntukan lebih RM21 juta untuk membina telaga tiub bagi kegunaan 91 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Kelantan sejak tahun 2007.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata peruntukan itu perlu ekoran kegagalan kerajaan negeri menyediakan bekalan air bersih yang mencukupi menerusi Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi kegunaan kira-kira 200,000 murid dan guru di sekolah-sekolah berkenaan.

"Sebilangan besar sekolah-sekolah ini terletak di pedalaman Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini, Khamis malam.

Beliau berkata sebelum ini pengetua dan guru besar sekolah-sekolah berkenaan terpaksa mendapatkan bekalan air daripada pelbagai sumber yang tidak dijamin kebersihannya untuk kegunaan pelajar.

Katanya ketika ini masih banyak sekolah membuat permohonan kepada pihaknya bagi mendapatkan peruntukan itu ekoran bekalan air ke sekolah-sekolah berkenaan yang sering terputus, terutama pada musim kemarau.

Beliau berkata ia termasuk beberapa sekolah yang terletak di kawasan bandar Kota Baharu, dan menurutnya JPN akan menyalurkan permohonan itu kepada pihak Kementerian untuk pertimbangan.

Friday, July 9, 2010

MALAYSIA AIRPORTS AMBIL 10 SEKOLAH ANGKAT

Kelantan antara negeri bertuah kerana Malaysia Airports memilih salah sebuah Sekolah Rendah yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang Sultan Ismail Petra sebagai sekolah angkat.

"Objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar dalam kategori kurang mampu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pembangunan sahsiah diri," kata Pengurus Besar Akademi Malaysia Airports, Ahmad Zuber Abdul selepas melancarkan program 'Beyond Borders' di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah di Alor Setar semalam.

Program Sekolah Angkat dilaksanakan di bawah Beyond Borders bagi fasa kedua selama tiga tahun bermula tahun ini.

Selain di kelantan, sembilan sekolah berkenaan ialah di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

Ahmad Zuber berkata bagi fasa pertama mulai 2007 hingga 2009, sembilan sekolah yang terlibat telah menunjukkan peningkatan prestasi murid yang membanggakan.

Di bawah Beyond Borders, murid dibantu untuk meningkat pencapaian Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Beliau berkata Malaysia Airports juga merancang bengkel pengajaran untuk guru dan bengkel penulisan kreatif bagi murid darjah empat.