Showing posts with label DiBuka Semula. Show all posts
Showing posts with label DiBuka Semula. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Lima Daripada Sembilan Sekolah Yang Ditutup Akibat Banjir Dibuka Esok

Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Nor Ain Razi, 11, (kanan) dan Nur Shahira Yusof, 11, membaca notis dikeluarkan pihak sekolah yang memberitahu sesi persekolahan hanya akan bermula esok untuk memudahkan kerja mencuci bilik darjah yang ditenggelami air akibat banjir di Pekan Rantau Panjang, semalam.
Lima daripada sembilan sekolah yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lalu akan dibuka semula mulai esok (Rabu), kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Hussain Awang.

Katanya, ini berikutan keadaan banjir keseluruhan di negeri ini pulih dan paras air di Sungai Kelantan dan Sungai Golok semakin surut.

"Lima buah sekolah itu semuanya terletak di Rantau Panjang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rantau Panjang 1, SK Rantau Panjang, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khay Boon, dan SK Lubok Setol.

"Sekolah Kebangsaan Bihai di Gua Musang terpaksa mengambil masa untuk dibuka berikutan jalan menunju ke sekolah itu tidak boleh dilalui kerana tanah runtuh dan jambatan di situ turut rosak...manakala tiga buah sekolah di Tumpat masih digenangi air," katanya di Kota B haru, hari ini.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja membersihkan bangunan sekolah di Rantau Panjang itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan pihak persatuan ibu bapa dan guru.

Beliau berkata, SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurul Huda masih ditutup kerana air yang melimpahi tebing sungai di kawasan sekolah berkenaan masih belum surut sepenuhnya.

Mengenai kedudukan sekolah di kawasan perkampungan Orang Asli SK Bihai, Gua Musang itu, Hussain berkata kerja-kerja membaiki kerosakan jalan yang menghubungkan ke sekolah itu sedang dijalankan.

"Jika kerja-kerja pembaikian itu berjalan lancar adalah dijangkakan sekolah berkenaan akan dapat dibuka minggu depan," katanya.

Saturday, November 13, 2010

SEKOLAH DITUTUP KERANA BANJIR DIBUKA SEMULA HARI INI

Semua 13 sekolah di jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang ditutup akibat banjir sejak tiga hari lalu akan dibuka semula esok, berikutan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Hussein Awang, berkata semua guru besar sekolah terbabit telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Dalam kejadian banjir tiga hari lalu, 13 sekolah kebangsaan di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat membabitkan lebih 7,000 murid yang terletak di kawasan pinggir Sungai Golok ditutup kerana kawasan sekolah terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga tiga meter.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (I); SK Sri Rantau Panjang (II); SK Rantau Panjang; SK Lubok Setol; SK Kok Pauh, SK Rahmat; SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh; SMK Rantau Panjang; SRJKC Khay Boon; SK Bakong, SK Chenderong Batu dan SK Bendang Pak Yong.

Hussein berkata, kerja pembersihan kawasan dan bangunan sekolah sedang dilakukan oleh pihak sekolah dan petugas agensi penyelamat.

Sementara itu, Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang Yusnizam Jusoh berkata pihaknya akan menjalankan operasi pembersihan sekolah yang ditenggelami banjir.

Katanya, langkah itu amalan biasa pasukannya yang ditugaskan bukan sahaja menolong kerja-kerja menyelamat semasa banjir tetapi juga selepas bencana itu.