Sunday, January 9, 2011

Awang Adek - Murid Miskin Diberi Pertimbangan Dapatkan Bantuan

Murid miskin di Kelantan, yang gagal mendapatkan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada pengagihan wang ihsan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihak sekolah, Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) perlu bekerjasama mengenainya.

“Permohonan mereka hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper 1Malaysia kepada 117 penduduk miskin di Dewan Haji Hussin, Perupuk di Bachok, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pengerusi-pengerusi PIBG di Pasir Puteh bahawa senarai nama murid yang layak mendapat bantuan RMT di sekolah-sekolah telah dipotong sehingga melebihi 50 peratus dan ini menimbulkan keresahan di kalangan ibu bapa miskin terutama ketika menghadapi musim tengkujuh.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata pihaknya akan memberi keutamaan jika menerima permohonan daripada pihak terbabit dan pihaknya mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi membiayainya.

Mengenai banjir, beliau berkata Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan sedang menyemak senarai nama mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat-pusat pemindahan untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka dalam tempoh musim tengkujuh.

Mereka layak menerima bantuan walaupun harta benda dan rumah masih selamat didiami tetapi keadaan banjir menyukarkan mereka melakukan kerja merkipun untuk ke bandar mendapatkan bantuan.

“Dengan syarat kampung mereka diisytiharkan banjir oleh pihak kerajaan,” kata Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Beliau memberi jaminan mereka akan menerima bantuan itu secepat mungkin apabila pihak JPP siap memprosesnya.

16 TABIKA di Rantau Panjang Ditutup Hari Ini

Sebanyak 16 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS di Rantau Panjang akan ditutup esok berikutan keadaan banjir di Kelantan, terutama daerah Pasir Mas yang semakin teruk.

Penyelia Kanan KEMAS Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa, berkata 16 TABIKA itu terdiri daripada TABIKA di Serungga, Tok Derpah, Siram, Bonggor, Bakong, Meranti, Pohon Tanjung, Lubok Setol, Kampung Rahmat, Gual Sitok (1), Gual Sitok NKRA, Taman Rantau Mas (1), Taman Rantau Mas NKRA, Komplek UPP Lubok Gong, Tok Deh dan Gua Periok.

Beliau berkata, penutupan TABIKA berkenaan membabitkan 500 murid. "Sesetengah TABIKA, atau laluan ke arah tabika itu, mula dinaiki air kira-kira satu meter sejak malam tadi. Kami ambil keputusan untuk menutup TABIKA berkenaan, yang pada mulanya dijadualkan memulakan sesi pembelajaran esok," katanya.

Katanya, TABIKA itu akan dibuka semula hanya apabila air sudah surut.

Kanak-Kanak Perempuan Korban Pertama Banjir Di Kelantan

Gayah Hassan, 35, dan suaminya Kamaruzaman Ismail, 41, disamping mayat anak mereka, Siti Aisyah, 10, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Peringat yang lemas ketika bermain bersama rakan berhampiran rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Belukar Limbat, Kota Bharu, semalam.

Seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pertama banjir yang sedang berlaku di Kelantan apabila dia lemas ketika bermain air di kawasan rumahnya di Kampung Belukar Limbat dekat Kota Bharu, pagi semalam.

Ibu mangsa, Gayah Hassan, 35, hanya mampu melihat Siti Aisyah Kamarulzaman, 10, anak ketiga daripada lima beradik itu terkapai-kapai sebelum tenggelam dan dibawa arus. "Setiap tahun kawasan rumah saya akan ditenggelami air.

Anak-anak memang dah biasa main air termasuklah Siti Aisyah. Saya benarkan mereka bermain tetapi betul-betul di hadapan rumah, kira-kira tiga meter dari rumah. "Ketika kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, saya memang ada memerhatikan Siti Aisyah dan adik beradik dia yang lain main air, tetapi tak sangka ada kawasan yang airnya dalam menyebabkan Siti Aisyah lemas," katanya di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di Kota Bharu.

Siti Aisyah adalah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Peringat.

Menurut Gayah, selepas melihat anaknya lemas, dia cuba menyelamatkan anaknya bagaimanapun arus deras dan air sedalam satu meter menyebabkannya gagal berbuat demikian.

Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Hasmadi Jusoh berkata, pihaknya menemui mayat kanak-kanak tersebut pada jam 1.30 petang yang tersangkut di dasar tali air kira-kira dua meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas.