Saturday, July 10, 2010

LESEN PEMBORONG & BEKALAN GULA DI SEMPADAN KELANTAN DIKURANGKAN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengurangkan jumlah lesen pemborong dan bekalan gula di kawasan sempadan Kelantan bagi menangani aktiviti penyeludupan gula.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini terdapat 18 pemegang lesen pemborong gula di kawasan berkenaan, dan jumlah itu dilihat sudah melebihi daripada yang sepatutnya.

"Bekalan gula yang diberikan kepada pemborong itu juga melebihi keperluan 35,000 penduduk di tiga kawasan parlimen yang bersempadanan dengan Selatan Thailand iaitu Parlimen Rantau Panjang, Tumpat dan Jeli," katanya selepas majlis penyampaian Peruntukan Khas Ahli Parlimen kepada 25 pertubuhan bukan kerajaan di Bera semalam.

Beliau berkata keperluan gula bagi penduduk di ketiga-tiga parlimen itu hanya 100 tan metrik sebulan tetapi bekalan yang diberikan kepada pemborong adalah 180 tan metrik.

"Ini bermakna terdapat lebihan 80 tan metrik gula sebulan dan ia akan dikurangkan selain dikurangkan daripada 18 lesen pemborong kepada enam lesen sahaja selepas ini," katanya.

Ismail Sabri berkata setiap kawasan parlimen itu hanya memerlukan satu atau dua lesen pemborong sahaja, dan dengan mengurangkan bilangan pemborong serta bekalan gula, masalah penyeludupan gula ke negara jiran dapat ditangani segera.

Menurutnya KPDNKK akan terus melakukan pemantauan di kawasan berkenaan terutama di kawasan panas seperti Pengkalan Kubur dan sepanjang Sungai Golok, bagi mengawasi aktiviti penyeludupan gula.

No comments: