Saturday, July 10, 2010

HENTIKAN SEGERA PENEROKAAN TANAH DI PEDALAMAN

UMNO Kelantan mendesak kerajaan negeri menghentikan sebarang projek penerokaan tanah dan pembalakan di pedalaman Kelantan kerana ia menjejaskan sumber alam sekitar dan pendapatan penduduk setempat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan negeri seharusnya memantau dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai dan bertindak terhadap penerokaan tanah yang dilihat semakin serius.

"Kita banyak menerima aduan daripada orang ramai bahawa berlaku penerokaan tanah untuk ladang rakyat dan pembalakan di jajahan Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang sehingga ianya menjejaskan mata pencarian penduduk setempat.

"Kita juga mendapati ianya menjejaskan sumber air kepada penduduk Orang Asli di Aring, Gua Musang dan beberapa kawasan di Jeli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ketereh di sini Jumaat.

Pada 21 Okt tahun lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendapati kerajaan negeri Kelantan meluluskan 2,200 hektar kawasan hutan simpan kekal dengan ketinggian melebihi 1,000 meter untuk aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat swasta walaupun ia sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Sepenuhnya.

Tiga kawasan iaitu Tanah Tinggi Lojing, Sungai Betis dan Sungai Brook di Gua Musang diluluskan sebagai projek perintis atas alasan menggantikan kawasan konsesi yang diambil semula daripada Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK) dan

Kelulusan itu dibuat kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP).

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan AntArabangsa dan Industri berkata, malahan penerokaan itu difahamkan tidak mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Katanya beliau kesal dengan kejadian penerokaan itu kerana ianya pasti meninggalkan kesan buruk kepada generasi akan datang kerana mereka akan hilang warisan alam semula jadi.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan negeri bertindak menghentikan sebarang kelulusan terhadap penerokaan tanah baru dan pembalakan yang akan merugikan rakyat negeri.

No comments: