Saturday, July 10, 2010

KUNJUNGAN NAJIB KE KELANTAN BUKA LEMBARAN BARU

Oleh Nik Yahya Abdul Rahman (Berita Harian 08 Julai 2010)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan pada 16 Jun lalu. Lawatan kerja sehari ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu banyak menyuntik serta memberi kesan langsung kepada perasaan dan psikologi rakyat negeri itu yang berada di bawah pembangkang sejak 21 tahun lalu.

Kunjungan berkenaan juga meniup semangat penyokong Barisan Nasional (BN) khasnya UMNO untuk menebus kembali negeri itu daripada PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Lebih-lebih lagi, rakyat Kelantan dahagakan pelbagai pembangunan sosial, infrastruktur awam dan ekonomi masyarakat desa yang lebih teratur dan terarah, apabila Najib membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) di Dewan Rakyat pada 10 Jun lalu.

Pada peringkat negara, mengumumkan sebanyak RM230 bilion akan dibelanjakan kerajaan untuk pembangunan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 yang tinggal sedekad saja lagi.

Biarpun peruntukan di dalam RMKe-10 belum diumumkan Najib, lawatan kali kelima beliau selepas menjadi Perdana Menteri amat memberangsangkan kerana ada buah tangan istimewa khas kepada masyarakat Siam di negeri itu.

Sebenarnya, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak mengharapkan apa-apa projek pembangunan segera di dalam ucapan beliau di Tumpat tetapi keprihatinan Najib terhadap masyarakat Siam cukup terserlah.

Mustapa pastinya cukup terharu dengan kelulusan sebanyak RM200,000 setahun kepada 16 kelas bahasa Siam di negeri itu bagi mendalami dan mempelajari bahasa ibunda mereka.
Perlu disebut bahawa Kelantan adalah negeri kedua termundur di negara kita.

Pelbagai prasarana di dalam semua bidang diperlukan rakyat jelata termasuk sekolah, jalan raya, masjid, dewan orang ramai, pusat pengumpulan hasil pertanian, bekalan air bersih, bekalan api elektrik dan talian telefon rakyat dan banyak lagi.

Mengenai lawatan Najib kali ini ke negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menjelaskan sebanyak lima program telah dihadiri Najib, antaranya perasmian Pelancaran Al-Rahnu Bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), lawatan ke stesen teksi, perjumpaan dengan ahli Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan perjumpaan dengan pegawai dan kakitangan awam di Kota Bharu serta Majlis Bersama Rakyat di Wat Machi Mara, Jubakar, Tumpat.

Awang Adek berkata, lawatan sehari Perdana Menteri itu melihatkan bahawa beliau begitu prihatin dengan kemelut yang melanda rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan memerlukan pembelaan dalam serba serbi yang tidak mampu dilaksanakan PAS.

Masalah bekalan air bersih menjadi suatu persoalan besar yang perlu dirungkai PAS pada masa terdekat ini. Masalah pelupusan sampah dan tebatan banjir juga begitu mengecewakan rakyat.

Kalau tiga perkara itupun tidak mampu PAS selesaikan, apa lagi masalah banjir, sawah terbiar, pengairan dan saliran untuk pertanian (tanaman) dan penebangan hutan yang berleluasa di Hulu Kelantan!

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Hussin menegaskan bahawa lawatan sulung Perdana Menteri membuka lembaran baru kepada politik negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Katanya, ini sudah semestinya akan membangkitkan semangat gerak kerja baru dalam konteks Kelantan Baru, Kelantan Maju dengan impak lebih besar kepada penyokong BN dan pendukung UMNO.

Selain itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kelantan, Datin Rahimah Mahamad, berkata sering kali pemimpin pembangkang berkata yang mereka tidak perlukan kemajuan, mereka mahu lahirkan negeri kebajikan. Persoalannya, kebajikan apa kalau yang hendak diuruskan kerana semuanya memerlukan wang?

Apabila membabitkan manusia, sudah pasti mereka memerlukan segalanya baik rumah, perlindungan, makanan, kesihatan, keselamatan, pelajaran dan pekerjaan.
Katanya, pembangkang hanya tahu mengkritik tetapi kalau diberikan projek pembangunan, merekalah yang mendabik dada itu adalah usaha mereka!

No comments: