Pengarah JKM Kelantan, Md. Noor Chik berkata, kehadiran kutu rayau yang suka berlegar-legar di sekitar bandar ini pada waktu malam menjejaskan imej malah ada yang membawa masalah memandangkan kebanyakan mereka kurang siuman.
Katanya, JKM mempunyai kuasa untuk menahan golongan itu mengikut Akta Kutu Rayau di Rumah Kebajikan Sri Kenangan, Pengkalan Chepa dekat sini selama sebulan.
"Dalam tempoh itu, kita akan siasat latar belakang untuk mengesan keluarga mereka dan bagi yang berumur lebih 60 tahun serta tidak mempunyai waris akan ditempatkan terus di rumah itu.
"Bagi yang tidak mempunyai waris, kita juga akan membantu memulihkan mereka dan kalau berpotensi akan dihantar ke Desa Bina Diri di Mersing, Johor untuk mengikuti kelas kemahiran," katanya ketika dihubungi Utusan semalam.
Md. Noor berkata, dalam beberapa tangkapan yang dibuat sebelum ini mendapati kebanyakan kutu rayau mengalami masalah mental dan kurang siuman.
Katanya, golongan itu akan pulih selepas menerima rawatan dan diberikan ubat sebelum dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing- masing.
Beliau berkata, banyak kes mendapati kutu rayau yang telah pulih akhirnya kembali mengalami masalah mental disebabkan kegagalan ahli keluarga memainkan peranan.
"Ada yang mengambil mereka dan dibawa pulang namun gagal untuk memantau dan menjaga pengambilan ubat menyebabkan kutu rayau kembali pada keadaan lama.
"Sebab itulah ahli keluarga yang menjaga mereka perlu sentiasa berhubung dengan pihak hospital bagi mengetahui perkembangan semasa kesihatan mereka," tambahnya.
Sementara itu, satu operasi bersama membanteras kutu rayau telah dijalankan di sekitar bandar ini malam tadi dengan kerjasama JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB- BRI) bermula pukul 10 hingga 12 tengah malam tadi.
Rondaan di beberapa kawasan mendapati ada beberapa kutu rayau tidak mempunyai tempat tinggal dan hanya tidur di kaki lima bangunan.
Bagaimanapun tidak ada sebarang tangkapan yang dibuat dan anggota terlibat hanya memberikan khidmat kaunseling kepada mereka.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment