Tuesday, July 20, 2010

HARGAILAH SUMBANGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN - RAMZI

Rakyat Kelantan harus berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana terus menerus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan projek pembangunan untuk kebaikan mereka walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, peranan membangun dan memajukan Kelantan sepanjang negeri itu berada di bawah pemerintahan parti pembangkang dilaksanakan dengan baik oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Rakyat Kelantan kena berterima kasih kerana walaupun diperintah orang lain (pembangkang), Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang diterajui UMNO tidak putus-putus menghulurkan bantuan.

“Kalau tak ada agensi kerajaan BN (Barisan Nasional) seperti JPP, saya tak tahu apa akan jadi pada negeri ini kerana sekarang pun kita (Kelantan) sudah jauh ketinggalan terutama dari segi pembangunan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada penduduk Mukim Bedal, kelmarin.

Pada majlis itu, lebih 40 orang terdiri dalam kalangan warga emas, orang kurang upaya (OKU), guru al-Quran, bekas pemimpin masyarakat dan veteran UMNO dari beberapa kampung dalam Mukim Bedal menerima sumbangan berkenaan.

Ramzi berkata, usaha membangun dan memajukan Kelantan bagaimana pun akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik jika BN mempunyai kuasa politik atau dengan kata lain, memerintah negeri ini.

Menurutnya, jika BN diberi peluang memerintah, beliau yakin dan percaya Kelantan mampu menjadi sebuah negeri maju dan setanding dengan negeri-negeri lain terutama dengan adanya kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Pusat.

Justeru katanya, dia berharap rakyat Kelantan dapat memberi kepercayaan kepada UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti jika mereka ingin melihat perubahan besar yang bakal dinikmati negeri ini.

“Untuk kebaikan bersama, saya merayu tolonglah beri peluang dan kepercayaan, walaupun satu kali kepada BN pada pilihan raya umum nanti dan kita pakat-pakat tengok sejauh mana BN boleh lakukan untuk rakyat Kelantan.

“Ini bukan ‘cakap kosong’ kerana kita (BN) sudah ada sejarah dari 1978 hingga 1990 dan juga ‘trek-rekod’ dalam membangunkan Kelantan, walaupun pada waktu ketika kita tidak ada wakil rakyat,” kata Ramzi.

No comments: