Monday, August 2, 2010

PAS KELANTAN SOKONG GURU BERPOLITIK

Kerajaan PAS Kelantan mengalu-alukan tindakan Kerajaan Persekutuan yang membuka peluang kepada warga pendidik untuk bergiat di dalam bidang politik.

Perubahan itu sekali gus disifatkan dapat merungkai kongkongan golongan terbabit daripada bergiat aktif dalam politik terutamanya pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk. Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kelonggaran memberi ruang kepada orang ramai memilih pegangan politik masing-masing secara bebas dan terbuka.

"Cuma satu perkara yang diharapkan supaya guru-guru itu tidak mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kebebasan itu, iaitu berpolitik sehingga ke dalam sekolah, kerana tugasan di sekolah mesti diutamakan.

"Guru mestilah mengekalkan sifat profesionalisme mereka di sekolah dan kebenaran ini juga ada pro dan kontranya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Pemantapan Unit Kaunseling dan Dakwah Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) 2010 di Maahad Muhammadi (Perempuan), di Kota Bharu semalam.

Beliau mengulas cadangan Kerajaan Persekutuan yang membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bagi memastikan golongan tersebut diberi kebebasan sepenuhnya tanpa sekatan tertentu.

Kerajaan Persekutuan bercadang meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

No comments: