Monday, August 2, 2010

PENGARAH HRPZII MENIPU KONONNYA BERLAKU MASALAH AIR?

Bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bukan di tahap kritikal?

Kerajaan Kelantan menyifatkan kenyataan bahawa bekalan air di tahap kritikal oleh pihak hospital berkenaan tidak tepat kerana yang sebenarnya ialah masallah bekalan air rendah.

Kejadian hanya berlaku di kawasan wad lama dan ianya langsung tidak membabitkan kawasan wad baru.

Selain itu jumlah bil air sebanyak RM35,000 yang dilaporkan hospital berkenaan juga tidak benar kerana mengikut rekod Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), bil tertinggi yang dicatatkan hanya berjumlah RM25,025.83.

Mengenai dakwaan kesukaran kakitangan di wad bersalin dan wad kanak-kanak kerana ketiadaan air, kerajaan Kelantan berkata sehingga kini belum pernah menerima laporan daripada orang ramai yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan mengenai masalah kekurangan bekalan air di situ.

Justeru Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Infrastruktur, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abd. Rahman meminta hospital berkenaan dan pihak media menunjukkan bukti dengan mendapatkan kenyataan daripada individu yang mengalami masalah itu sendiri.

Beliau berkata, tekanan rendah berikutan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Katanya, Loji Rawatan Air (LRA) Chica kini sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan yang menyebabkan hampir kesemua kawasan di daerah Kota Baharu mengalami gangguan.

"Bukan HRPZII saja yang mengalami masalah air, ia turut melibatkan semua kawasan di Kota Baharu terutama kawasan bandar yang mana ia turut melibatkan HRPZII.

"Masalah air yang dihadapi bukanlah di tahap kritikal kerana setiap kawasan tetap mendapat bekalan air seperti biasa cuma sedikit rendah berbanding kebiasaannya.

"Bahkan pihak kita telah menghantar notis terlebih dulu untuk memaklumkan sebarang kesulitan yang bakal dihadapi semasa proses penyelenggaraan dijalankan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan semalam berkata hospital itu kini berdepan dengan situasi yang amat membimbangkan apabila masalah kekurangan air telah memberi implikasi besar terhadap perkhidmatan kepada purata 21,000 pesakit hospital itu setiap bulan.

"Masalah kekurangan bekalan air, isu yang dihadapi dah berlanjutan hampir setahun, sejak September tahun lalu dan menjadi begitu teruk sejak kebelakangan ini.

"Implikasi besar apabila perkhidmatan kita terjejas, HRPZII mempunyai dua fasa, fasa lama dan fasa baru, paling dikesali apabila masalah air ini banyak melibatkan fasa lama yang menempatkan unit bersalin dan wad kanak-kanak.

"Unit bersalin adalah antara unit yang tersibuk kerana setiap hari anggaran 30 sehingga 40 orang bayi dilahirkan yang memerlukan banyak penggunaan air, untuk membersihkan bayi iaitu membuang selaput di badannya, mencuci kain yang terkena darah dan juga membersihkan kelengkapan dan peralatan yang digunakan untuk setiap proses kelahiran," katanya.

Beliau berkata bagi wad kanak-kanak juga memerlukan penggunaan air yang banyak dan kekurangan bekalan air menyebabkan pesakit turut terdedah kepada jangkitan pelbagai jenis penyakit.

No comments: