Warganegara Malaysia yang mempunyai kereta bernombor pendaftaran negara asing perlu menunjukkan kad pengenalan untuk membeli petrol RON95 di stesen minyak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kelonggaran ini dibuat kerana terdapat ramai rakyat Malaysia terutama di Johor yang bekerja di Singapura memiliki kereta bernombor pendaftaran republik itu.
"Kita tahu ada yang ramai (rakyat) mendaftar kereta mereka di Singapura, dan berulang-alik di antara Johor Bahru dan Singapura. Jadi mereka hanya perlu tunjukkan kad pengenalan di stesen minyak, kerana tujuannya adalah untuk menjual minyak RON95 hanya kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Coop Fest Zon Sabah 2010 pada hari Ahad.
Bermula semalam, penjualan minyak petrol RON95 di semua stesen minyak di seluruh negara hanya dibenarkan dijual kepada rakyat tempatan bagi memastikan subsidi minyak hanya untuk rakyat Malaysia sahaja, sementara bagi kenderaan asing, mereka hanya dibenarkan membeli minyak petrol RON97.
Ismail berkata tidak menafikan adanya warga asing yang menggunakan kenderaan yang didaftarkan di negara ini.
Katanya beliau akan juga menempatkan pegawai penguatkuasa di beberapa stesen minyak di kawasan sempadan untuk memastikan pematuhan larangan ini dikuatkuasakan mulai hari ini.
Di RANTAU PANJANG, Kelantan, beberapa stesen minyak di sempadan Rantau Panjang-Thailand semalam agak lengang dan sunyi berbanding kebiasaannya.
Tinjauan Bernama bagaimanapun difahamkan situasi itu bukan kerana rakyat asing atau pengguna yang memiliki kenderaan asing memboikot inisiatif kerajaan menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing, tetapi ramai yang telah mengambil langkah awal mengisi minyak beberapa hari lalu sehingga malam kelmarin, sebelum larangan itu dikuatkuasakan hari ini.
Malahan, rata-rata rakyat negara gajah putih itu yang ditemui berkata mereka menghormati dan akur dengan langkah kerajaan Malaysia itu.
Seorang peniaga dari Weng, Thailand, Ahmad Sabri, 47, berkata beliau tiada masalah untuk mematuhi arahan kerajaan itu kerana harga minyak RON97 masih jauh lebih murah di negara ini berbanding di Thailand.
"Kalau harga petrol di sana (Thailand) RM3.60 sen untuk seliter tetapi di sini (Malaysia) harganya RM2.10 seliter, harganya jauh lebih murah, jadi tiada masalah," katanya kepada Bernama di Rantau Panjang,kelmarin.
Sambil menyifatkan larangan itu sebagai satu perkara positif, kata Ahmad, larangan penjualan minyak petrolRON95 juga memberi kebaikan kepadanya kerana beliau kini mengisi minyak kenderaannya dengan minyak yang berkualiti.
Seperti Ahmad, seorang lagi peniaga dari Sungai Golok, Amran Ahmad, 32 berkata beliau juga menerima arahan yang ditetapkan itu dengan hati terbuka.
"Saya terima (larangan penjualan minyak petrol RON 95), kalau mereka yang tidak terima dan tak mahu beli biarlah, tetapi bagi saya, saya terima kerana kita tetap boleh beli minyak petrol, cuma beli yang harganya berbeza sedikit sahaja," katanya.
Sementara itu seorang pengusaha stesen minyak Petronas di sempadan, Mohd Redzuan Abdullah berkata beliau menyambut baik langkah yang dilaksanakan kerajaan itu walaupun mengakui jualan minyak menurun berbanding biasa.
Tinjauan Bernama mendapati beliau dan beberapa pengusaha stesen minyak lain turut mengambil inisiatif baru dengan membahagikan laluan untuk mengisi minyak antara kenderaan tempatan dan kenderaan asing.
Selain itu pengusaha stesen minyak turut mengunci pam minyak RON95 kepada penunggang motosikal asing sebagai langkah memastikan tiada penipuan dilakukan.
"Inisiatif mengunci pam itu langkah yang pertama kali diwujudkan kerana pemerhatian sebelum ini mendapati ramai yang cuba untuk menipu dengan mengisi minyak petrol melebihi 20 liter yang ditetapkan kerajaan sebelum ini," kata Mohd Redzuan.
No comments:
Post a Comment