Monday, August 2, 2010

RAYU JIKA BELUM DAPAT WANG IHSAN


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata mana-mana pelajar miskin yang tidak tersenarai sebagai penerima wang ihsan boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Tabung Wang Ihsan Kelantan.

Katanya dakwaan nama pelajar itu sengaja tidak disenaraikan di peringkat kampung lagi mungkin ada kebenaran tetapi keluarga pelajar itu dinasihat supaya membuat rayuan kepada jawatankuasa terbabit.

"Kita tak nafi ada berlaku mungkin sebab peribadi tetapi kita tidak mahu perkara kecil ini jadi masalah yang diperbesar dan kita minta buatlah rayuan," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Karya Seni Visual STPM dan Program Usahawan Sosial untuk Pembangunan Ekonomi (SEED) di Universiti Malaysia Kelantan semalam.

Beliau berkata setakat ini pengagihan wang ihsan itu berjalan dengan lancar dan program pemberiannya akan tetap berjalan semasa Ramadan nanti.

Mengenai program SEED oleh UMK itu, Mustapa berkata ia bakal memberikan manfaat kepada kampung terpilih untuk meningkatkan pendapatan penduduk apabila UMK bersama universiti luar negara akan mencari kaedah penambahbaikan kepada hasil penduduk kampung.

"Mereka akan ke kampung dan membuat kajian bagaimana hasil pendapatan penduduk boleh ditambahbaik lagi dan ini merupakan satu manfaat besar kepada penduduk kampung," katanya.

Program SEED itu adalah kerjasama Pusat Penyelidikan Asia, Universiti Of St Gallen, Switzerland telah memilih beberapa perkampungan di sekitar Pantai Sri Tujuh, Tumpat bagi kajian mereka.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK Datuk Dr Zainai Mohamad dan Pengerusi Bengkel SEED dari Institut Teknologi Bandung, Indonesia Prof Surna Tjahja Djajadiningrat.

No comments: