Monday, August 2, 2010

WANG IHSAN - TUDUHAN YDP PAS TIDAK ADIL

Seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di sebuah mukim, dekat Kuala Krai menafi dan kecewa dengan dakwaan dan tuduhan dilemparkan Yang Dipertua PAS kawasan itu, Abdul Latiff Abdul Rahman berhubung isu pengagihan wang ihsan.

Pengerusi JKKKP Mukim Bedal, Badarudin Taharin berkata, tuduhan yang dibuat secara terbuka dan tanpa sebarang bukti itu disifatkan sebagai tidak adil. Ia boleh menjatuhkan imej Pengerusi JKKKP pada pandangan masyarakat umum terutama bagi mereka yang menjalankan tugas dengan baik.

Menurutnya, selaku seorang pemimpin peringkat kawasan dan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang yang juga Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Kelantan itu sepatutnya menyiasat dan memastikan perkara tersebut benar-benar berlaku sebelum membuat dakwaan atau tuduhan seperti itu.

“Setahu saya, semua pelajar yang datang untuk dapatkan cop Pengerusi JKKKP, kami akan cop kerana bagi kami, mereka yang datang ini sudah layak dan ditapis sebelum dipilih oleh agensi kerajaan berkenaan dengan baik.

“Berbanding dengan sikap segelintir pemimpin Pas yang sebenarnya hanya cakna pada ‘rakyat Pas’ dan bukannya rakyat Kelantan, tidak seperti yang didakwa selama ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Badarudin yang juga Ketua UMNO cawangan Kampung Bedal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Latiff kelmarin yang melahirkan rasa pelik dengan tindakan segelintir Pengerusi JKKKP kerana enggan menandatangani pengesahan untuk pengagihan wang ihsan kerana perbezaan politik.

Abdul Latiff dilaporkan berkata, dia ada menerima aduan mengenai beberapa Pengerusi JKKKP di Parlimen ini bersikap ‘pilih bulu’ dalam isu berkenaan dan bertegas perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana wang ihsan adalah milik rakyat Kelantan tanpa mengira agama, bangsa atau parti politik.

Kelmarin beliau melahirkan rasa pelik dengan tindakan segelintir Pengerusi JKKKP yang dikatakan enggan menandatangani surat pengesahan pelajar layak menerima wang ihsan kerana perbezaan politik.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan berkata, dia ada menerima aduan daripada penghulu mukim di bawah Kerajaan Negeri mengenai beberapa Pengerusi JKKKP di Parlimen ini yang bersikap ‘pilih bulu’ dalam isu berkenaan.

Menurutnya, perkara itu tidak patut berlaku kerana wang tersebut sepatutnya dibayar dalam bentuk royalti minyak untuk diuruskan Kerajaan Negeri sebelum dinamakan wang ihsan dan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

“Wang ini hak rakyat Kelantan dan sepatutnya dibayar dalam bentuk royalti kepada Kerajaan Negeri tetapi dirampas dan diberikan kepada JPP atas nama wang ihsan.

“Kalau jadi hak rakyat Kelantan, sepatutnya wang (ihsan) ini diagihkan dengan adil tanpa mengira agama, bangsa atau parti mana asalkan dia orang yang layak terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Armalah (ibu tunggal) dan Anak Yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang, dekat Kuala Krai kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 400 armalah dan anak yatim termasuk dalam kalangan bangsa Cina dan India dari DUN berkenaan menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri.

Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang berkata, sikap ‘ketua kampung’ di bawah Kerajaan Persekutuan itu jauh berbeza dengan pemimpin di bawah Kerajaan Negeri yang tidak bersikap pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, bukti dapat dilihat pada pelbagai skim bantuan di bawah Kerajaan Negeri seperti Takaful Kifalah, armalah, anak yatim dan bantuan belajar yang diagihkan kepada semua rakyat asalkan layak.

“Tok Guru (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) selalu berpesan kalau hendak sampaikan bantuan, jangan pilih bulu, jangan tanya dia parti mana, agama atau bangsa apa tetapi tengok sama ada dia layak atau tidak,” kata Abdul Latiff.

No comments: