Wednesday, December 29, 2010

Bekas Pengarah Perikanan Beas Tuduhan Rasuah

Bekas Pengarah Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar, 58, menerima ‘hadiah hari jadi’ paling bermakna dalam hidupnya apabila kekal bebas tuduhan berhubung rasuah dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi setelah pihak pendakwa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tuduhan rayuan berkaitan.

Abdullah ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa bersyukur bebas daripada tuduhan rasuah berkaitan dan menganggapnya sebagai hadiah hari jadinya yang jatuh pada 31 Disember hadapan juga merupakan tarikh persaraannya.

“Keputusan ini amat bermakna kerana terbukti saya tidak melakukan kesalahan terbabit sekali gus membersihkan semula nama yang dikaitkan dengan kes tersebut sejak dua tahun lalu dan kini saya betuk-betul bebas,” katanya.

Hakim Azman Abdullah membebaskan Abdullah berdasarkan notis menarik balik rayuan yang dikemukakan oleh SPRM pada 21 Jun lalu iaitu pada tarikh dia dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan yang sama.

Peguam belanya, Datuk Shukri Mohamed berkata, tuduhan rayuan tersebut sepatutnya didengar pada kelmarin, namun pihaknya ada menerima “Notis Menarik Balik Rayuan’’ bertarikh 13 Disember 2010 yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

“Sebelum kes rayuan tersebut didengar hari ini (semalam), SPRM telah menghantar notis menarik balik rayuan berkaitan dan hari ini (semalam) ia didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan dengan itu, Abdullah telah bebas daripada pertuduhan rayuan tersebut dan dianggap semuanya telah selesai,’’ katanya.

Berdasarkan kepada pertuduhan sebelum ini, Abdullah yang kini ditukarkan ke Putrajaya dituduh bersama Muhammad Fadzil Md. Sulong, 53, di Jabatan Perikanan negeri pada Ogos 2006, mengemukakan satu Pesanan Kerajaan sebanyak RM13,000.15 kepada pegawai tadbir jabatan itu, Marini Mohamed.

Tuntutan palsu itu didakwa bertujuan memperakui pakej bagi kerja mencuci dan memasukkan air ke dalam kanvas serta makan minum satu gotong-royong di Pejabat Perikanan Machang oleh sebuah syarikat yang telah selesai dilakukan.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Amaran Hujan Lebat Di Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor

Hujan sederhana kadangkala lebat yang turun di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Jeli, Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala Terengganu pula di kawasan Daerah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu, sementara Pahang melibatkan Bentong, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Raub, dan Johor pula di kawasan Mersing.

Hujan sederhana dan kadangkala lebat boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.

Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 5.5 meter dijangka berterusan di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Selatan Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang sehingga Isnin depan.

Menurut kenyataan itu, keadaan angin kencang dan laut bergelora tersebut berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Pada masa yang sama, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat), Utara Samui dan Palawan juga dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," menurut kenyataan itu.

Nik Aziz Mahu Mereka Yang Memfitnahnya Mohon Maaf

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.