Tuesday, July 20, 2010

KELANTAN HANYA 'MAHU', TIDAK AKAN 'BERI'

Membaca kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob, jelas Kerajaan PAS Kelantan hanya tahu meminta tetapi tidak akan memberi.

Mereka ternyata kedekut dan mahukan daripada Kerajaan Pusat semata-mata dan hanya mementingkan keuntungan politik mereka.

Semalam Ahmad Yaacob berkata Kerajaan Kelantan pimpinan PAS hanya bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi pembangunan negeri termasuk merealisasikan cadangan pembinaan lebuh raya empat lorong yang menghubungkan Kuala Lumpur-Kota Baharu.


Timbalan Menteri Besar itu berkata kerajaan negeri bersedia berunding mengenai cadangan itu pada bila-bila masa.

"Saya harap cadangan itu diterima oleh kerajaan pusat memandangkan Kelantan mengeluarkan ramai modal insan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Koperasi Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan, di sini pada Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kerajaan PAS Kelantan hanya mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat jika ianya membabitkan kepentingan rakyat, dan bukan parti.

Sebelum ini, Nik Aziz menegaskan Kerajaan Kelantan memberi kebenaran kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk membangunkan tanah kerajaan di daerah Galas dan daerah Ciku di Gua Musang sebagai Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

Nik Aziz berkata kelulusan yang diberi kepada ECERDC itu telah secara tidak langsung membatalkan permohonan daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sebelum ini untuk memiliki tanah seluas 600 hektar di kawasan berkenaan.

Amat jelas Kerajaan Kelantan melihat semua perkara dalam konteks kepentingannya sedangkan sebelum ini Kesedar ada membuat permohonan untuk memiliki dan membangunkan tanah di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor melalui hasil perbincangan, Nik Aziz memilih memilih untuk membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu berbanding Kesedar.

Nik Aziz mahukan supaya tanah-tanah yang dibangunkan itu kekal sebagai tanah kerajaan negeri kerana ECERDC hanya bertanggungjawab membangunkan tanah berkenaan.

Nik Aziz berkata keputusan membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu bermakna bahawa apabila projek berkenaan siap, sebarang keputusan seperti contoh memindah hak milik tanah kepada golongan miskin, dapat dilakukan secara terus oleh kerajaan negeri tanpa melalui banyak pihak.

"Apabila projek ini siap, sebarang keputusan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri lebih mudah, jika tanah berkenaan diberi kepada Kesedar dan Kesedar memberi kepada ECERDC untuk dibangunkan, ianya akan membebankan kerana melibatkan banyak pihak," katanya.

Nik Aziz berkata projek berkenaan yang merangkumi pembinaan pelbagai komponen antaranya kediaman, ruang perniagaan dan utiliti itu telah bermula pada Mei lalu dengan pembinaan 350 unit rumah.

Bagi Ahmad Yaacob pula, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata kerjasama politik sukar dilakukan kerana dasar parti masing-masing yang berbeza.

"Kalau kerjasama untuk kebaikan rakyat antara kerajaan dengan kerajaan, kita sedia pada bila-bila masa. Kalau kerjasama parti biar dulu," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan PAS demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

No comments: