Tuesday, July 20, 2010

PENDUDUK PERALLA BERSYUKUR DAPAT PERUNTUKAN RM2.5j

Penduduk Peralla bersyukur apabila isu bekalan air bersih di kawasan perkampungan mereka kini, selesai setelah mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peruntukan berkenaan diluluskan Muhyiddin ketika kunjungan beliau ke Tanah Merah bersempena dengan mesyuarat Perwakilan UMNO dan Karnival Rakyat baru-baru ini.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (PJKKKP) Peralla, Zamzuri Ariffin berkata, peruntukan itu memberi kelegaan kepada 2,500 penduduk di situ yang mengalami masalah tidak menerima bekalan air bersih sejak berpuluh tahun lalu.

“Saat ini amat dinantikan kerana kebanyakan penduduk di sini, mendapatkan sumber bekalan air melalui punca air bukit serta air bawah tanah dan tidak pernah mendapat bekalan air yang sempurna dari air paip,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, di atas bantuan beliau dalam memanjangkan usul ini kepada pihak atasan termasuk kepada Kementerian bagi membantu golongan masyarakat khususnya di jajahan Tanah Merah.

“Ini menunjukkan keprihatinan pihak beliau terhadap penduduk di jajahan ini, amat ditekankan dalam usaha membela nasib masyarakat setempat,” katanya.

No comments: