Tuesday, July 20, 2010

RM10.8j BAGI PEMBAIKAN ELEKTRIK DI KELANTAN

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan memperuntukkan RM10.8 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembaikan sistem elektrik di seluruh negeri tahun ini.

Pengurus Besar TNB negeri Datuk Zulkffli Abdul Rahaman berkata antara projek yang dijalankan ialah pembesaran dan penukaran kabel lama, pembinaan pencawang baru di kawasan yang kerap mengalami gangguan elektrik dan memasang peralatan mengesan kerosakan.

"Antara projek pembaikan yang sedang dan akan kita jalankan ialah projek talian ABC (Area Bundle Label) di Jelawang, pembinaan pencawang pembahagian utama (PPU) dan meningkatkan keupayaan Alatubah PPU Kota Sri Mutiara di Kota Baharu, PPU Beris di Bachok dan PPU Machang," katanya kelmarin.


Beliau berkata pihaknya juga turut menambah pemasangan peralatan mengesan masalah elektrik bagi membolehkan pembaikian dilakukan segera.

"Antaranya pihak kita memasang alat yang dikenali sebagai EFI (Earth Fault Indicator) bagi mengesan kabel elektrik di bawah tanah dan LFI (Line Fault Indicator) bagi mengesan elektrik di bahagian luaran iaitu pada wayar elektrik yang dipasang di kawasan penempatan dan sebagainya," katanya.

Zulkffli berkata kedua-dua sistem itu akan memastikan TNB menerima isyarat jika berlaku kerosakan dan menjejaskan bekalan elektrik kepada pengguna.

No comments: