Tuesday, July 20, 2010

TERKILAN TINDAKAN NIK AZIZ

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD (pengarang@utusan.com.my)

Isu kerjasama antara UMNO dan Pas timbul semula dan kali ini ia telah diminta oleh golongan agama, pemimpin-pemimpin Melayu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan Islam dan Melayu.

Antara mereka yang lantang dan mahu syor itu dilaksanakan segera adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan beberapa golongan agama lain seperti Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusoff Hussein.

Malah Harussani selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 Sabtu lalu mengingatkan kepada UMNO dan Pas bahawa kegagalan dua parti Melayu itu bersatu akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Ingatan Harussani tersebut jika diamati dan diteliti amat menakutkan jika ia benar-benar berlaku. Hakikatnya itulah yang akan terjadi sekiranya persengketaan antara UMNO dan Pas tidak ditamatkan segera.

Berbalik kepada gesaan awal pihak terbabit selepas ia dicetuskan oleh seorang panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dalam satu forum di Kelantan, pihak UMNO dan Pas pada mulanya dilihat komited untuk menjayakan pertemuan itu.

Seperti mana biasa UMNO ketika ditanya mengenai cadangan itu bersedia bertemu Pas bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan ummah dan dalam masa sama Pas dilihat mengikut rentak UMNO.

Komitmen UMNO itu dinyatakan dengan jelas oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu tidak mempunyai masalah untuk bertemu dengan Pas atas nama Islam dan ummah.

Muhyiddin berkata, UMNO tidak akan menolak cadangan untuk mempertemukan parti itu dengan Pas kerana beliau yakin kerjasama antara dua parti tersebut akan memberi kesan yang baik kepada perpaduan umat Islam di negara ini sekali gus menyumbang ke arah keamanan sejagat di negara ini.

Bagi pihak Pas pula, Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di peringkat awal mengaku bahawa UMNO dan Pas perlu bersatu dalam memperjuangkan Islam di negara ini.

Kemudian Nik Abdul Aziz ketika bercakap kepada pemberita telah menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin ketika Timbalan Perdana Menteri itu melawat Kelantan, Jumaat lalu.

Ramai pihak percaya isyarat positif yang diberikan oleh Nik Abdul Aziz itu amat menggembirakan umat Islam kerana impian itu sangat ditunggu-tunggukan selama ini.

Dalam keadaan kedudukan umat Islam yang semakin kritikal dan di kala terdapat pihak-pihak yang semakin berani mempersoalkan keistimewaan kedudukan Islam dan orang Melayu termasuk institusi raja, sudah tentu isyarat awal Nik Abdul Aziz itu disambut rasa syukur oleh semua umat Islam.

Seperti mana kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, persetujuan tok guru Nik Abdul Aziz berhubung kerjasama UMNO dan Pas memperjuangkan Islam merupakan pemangkin ke arah tercetusnya gelombang penyatuan umat Islam yang lebih jitu.

Bagaimanapun sebaik sahaja Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa kesediaannya bertemu Muhyiddin hanyalah untuk membincangkan isu royalti minyak dan bukan menjurus kepada perpaduan antara Pas dan UMNO, ia sebenarnya meremukkan banyak hati dan perasaan orang Melayu Islam di negara ini.

Nik Abdul Aziz yang dianggap seorang ulama telah menghancurkan impian umat Islam yang selama ini berharapkan UMNO dan Pas boleh duduk semeja membincangkan isu yang ada kepentingan dengan umat Islam.

Mana salahnya atau mana silapnya banyak pihak tertanya-tanya. Adalah mustahil sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama yang cukup tinggi, Nik Abdul Aziz tidak faham mengenai perpaduan yang merupakan satu tuntutan di dalam Islam.

Adalah mustahil juga Nik Abdul Aziz tidak mengerti mengenai ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada junjungan besar Rasulullah (SAW) lebih 1,400 tahun lalu menuntut umat Islam bersatu padu seperti mana dalam ayat 103 surah al-Imran dan ayat 9 serta 10 surah al-Hujurat.

Nik Abdul Aziz harus bertanggungjawab tentang perbuatannya itu kerana beliau merupakan seorang ulama yang mempunyai mungkin jutaan pengikut.

Sebagai insan yang terlalu kerdil mungkin apa yang dibangkitkan oleh penulis akan disanggah oleh Nik Abdul Aziz dan pengikut-pengikutnya kerana tahap keilmuannya yang begitu tinggi sesuai dengan tarafnya sebagai seorang ulama.

Bagaimanapun perlu diakui bahawa tahap tanggungan golongan ulama ketika berhadapan dengan Allah pada masa berlakunya Hari Kebangkitan adalah lebih berat daripada orang awam.

Ini kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding orang lain iaitu berdasarkan kepada tahap keilmuan yang dimiliki, selain kemampuan mempengaruhi manusia sama ada untuk menuju ke arah kebaikan atau keburukan.

Pada satu firman Allah ayat 54 surah Yasin telah menyatakan, maksudnya: "Maka pada hari itu tidak ada seseorang pun yang akan dianiaya sedikit pun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan."

Sudah tentu Nik Abdul Aziz tidak ada masalah untuk menafsirkan serta menghuraikan ayat di atas.

Bukan hendak mengajar Nik Abdul Aziz tetapi hanya sekadar mengingatkan kerana beliau tidak perlu diajar atas statusnya sebagai ulama.

Teringat kata-kata Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab yang mana kedua-dua khalifah besar Islam itu sering meminta rakyat di bawah kepimpinan mereka membuat teguran sekiranya ada di antara mereka tergelincir.

Sebagai penulis buku-buku sejarah Islam, mustahil juga Nik Abdul Aziz tidak tahu mengenai perkara ini. Sudah tentu beliau menguasai sejarah perjuangan Rasulullah serta perjuangan sahabat-sahabat besar iaitu antara intipati dalam setiap sejarah berkenaan ialah perpaduan.

Dalam pada itu penulis pernah mendengar kata-kata daripada seorang rakan Pas bahawa hidup Mursyidul Am Pas itu hanya bersandar Islam semata-mata.

Namun persoalan yang timbul realiti pemikiran Menteri Besar Kelantan itu khususnya dalam isu perpaduan Islam sejagat tidak mencerminkan begitu. Beliau seolah-olah tidak mahu orang Islam di negara ini bersatu padu.

Adakah itu merupakan satu tuntutan dalam Islam?

Mungkin dalam isu UMNO-Pas Nik Abdul Aziz terbawa-bawa sejarah lampau hingga ke peringkat sanggup menghancurkan impian semua umat Islam.

Dari satu segi Nik Abdul Aziz harus juga sentiasa menghormati pandangan yang dikeluarkan oleh ulama lain seperti Harussani seperti mana hormatnya Imam Shafie terhadap Imam Maliki, Hanafi dan Hanbali.

Mustahil juga Nik Abdul Aziz tidak tahu mengenai sejarah keempat-empat imam mazhab tersebut yang sarat dengan kisah hubungan, rasa hormat menghormati antara satu sama lain walaupun terdapat khilaf khususnya dalam hukum serta cara beribadat.

Walaupun bukan ahli Pas, pandangan Harussani serta ulama-ulama lain wajar dihormati oleh Nik Abdul Aziz serta pengikut-pengikutnya kerana mereka juga golongan yang berilmu.

Penulis menyedari tulisan ini tidak akan mengubah apa-apa khususnya pendirian Nik Abdul Aziz serta para pengikutnya tetapi ia semata-mata bertujuan mengelakkan Islam berdepan kehancuran.

Jika ini yang berlaku pada masa akan datang, siapa harus dipersalahkan.

Orang Melayu harus sedar bahawa Islam itu bukan Pas dan Pas bukan Islam. Islam adalah agama paling suci yang diturunkan oleh Allah untuk menyelamatkan umat manusia manakala Pas hanyalah sekadar sebuah parti politik.

No comments: