Tuesday, July 20, 2010

ORANG ASLI POS PASIK HADAPI BEKALAN AIR BERLUMPUR

Dua ratus keluarga Orang Asli di Pos Pasik di Gua Musang kini menghadapi masalah bekalan air tadahan bukit berlumpur akibat kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang rakyat secara meluas di sekitar penempatan mereka.

Mereka berdepan risiko penyakit kronik apabila terpaksa menggunakan air
berlumpur bagi keperluan harian sejak tiga bulan lalu.

Menurut seorang penduduk, Asuk Alang, 48, kegiatan yang tidak terkawal itu tanpa menghiraukan kawasan tadahan air bukit yang dahulunya bersih boleh mengakibatkan kerosakan dan pencemaran serius.

"Kami terpaksa menggunakan keperluan air tadahan bukit yang disediakan Jabatan Kesihatan Kelantan setiap hari walaupun tercemar kerana tidak ada pilihan lain.

"Sekarang air sungai juga berselut punca daripada kegiatan sama," katanya.

"Sebelum ini penduduk kampung marah dan keadaan kecoh sehingga hampir mencetuskan pergaduhan dengan syarikat pembalakan dan pengusaha ladang rakyat.

"Namun, tidak dapat buat apa-apa kerana syarikat itu mendapat kebenaran kerajaan negeri," kata Asuk kepada Bernama.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata, kerajaan negeri sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menjalankan siasatan berhubung pencemaran alam ekoran daripada aktiviti terbabit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pencemaran di kawasan tadahan air di Hulu Kelantan kini semakin serius ekoran daripada aktiviti yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar.

Pada 21 Okt tahun lepas, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan negeri meluluskan 2,200 hektar kawasan hutan simpan kekal dengan ketinggian melebihi 1,000 meter untuk aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat swasta.

Kawasan itu sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Sepenuhnya.

No comments: