Tuesday, July 20, 2010

UMNO JELI SUMBANG RM1J UNTUK DAKWAH

UMNO Jeli Jumaat lalu menyalurkan RM1 juta bagi mengembangkan dakwah Islam khusus dalam kalangan masyarakat di Jeli melalui pembinaan Pondok Dakwah Jeli di Jedok.

Mudir pondok itu, Ismail Jusoh berkata, usaha UMNO Jeli menyalurkan peruntukan besar itu menunjukkan keikhlasan dan komitmen Anggota Parlimen Jeli dan Ketua UMNO bahagian Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Ia untuk membantu rakyat mendapatkan pendidikan menerusi pondok itu yang menganjurkan aktiviti seperti Program Tafsir al-Quran dan menjadi tempat pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjayakan kem kecemerlangan.
Ismail berkata pembinaan pondok moden itu merupakan antara janji Mustapa pada pilihan raya Umum 2004 di kawasan Jedok untuk manfaat penduduk setempat menimba ilmu terutama membabitkan pelajar bagi melahirkan modal insan yang mementingkan dunia dan akhirat.

Pondok itu diwujudkan pada 2008 di tapak seluas 1.6 hektar yang menempatkan surau, asrama untuk lelaki dan perempuan, dewan kuliah serta kemudahan riadah.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam lawatan sehari ke Kelantan, berkata kewujudan pondok berkenaan yang lebih dikenali sebagai Pondok Moden merupakan satu inisiatif yang wajar dicontohi semua peringkat dalam UMNO dan Barisan Nasional dalam usaha memenuhi kehendak rakyat.

No comments: