Saturday, November 8, 2008

UMNO TANAH MERAH TERUS BERGOLAK

UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan dijangka bergolak hebat dan akan memeningkan Badan Perhubungan Negeri dan Ibu Pejabat UMNO.

Ada dua peristiwa penting semalam melanda Umno Bahagian berkenaan.

Di Kuala Lumpur, satu laporan polis dibuat terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian itu, Amran Abdul Rahman di Balai Polis Sentul tengah hari semalam.

Amran berkata laporan itu dibuat kerana Tengku Adnan didakwa menyalahgunakan kuasanya berhubung satu arahan bertulis kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan berkaitan mesyuarat cawangan.

Sementara di Tanah Merah, Utusan Malaysia hari ini melaporkan tiga penyandang jawatan ketua sayap UMNO Bahagian Tanah Merah tidak hadir pada mesyuarat perwakilan yang diadakan serentak di tiga buah sekolah di semalam.

Mereka dikatakan memboikot dan tidak mengiktiraf mesyuarat tersebut kerana tidak berpuas hati dengan cara pengendalian mesyuarat cawangan yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan dan Pemilihan Badan Perhubungan UMNO negeri.

Tiga penyandang jawatan tersebut ialah Datin Shuhanie Deraman (Wanita), Jusoh Deraman (Pemuda) dan Rafidah Ariffin (Puteri).

Biarpun ketiga-tiga mereka tidak hadir, mesyuarat perwakilan pergerakan tersebut tetap dijalankan seperti biasa dan ia turut dihadiri pemerhati dari Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Pada mesyuarat perwakilan yang diadakan hari ini menyaksikan kesemua sayap terbabit diterajui muka baru.

Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian itu diterajui oleh Almidi Jaafar dan Emi Shahriza Sihabudin selepas menang tanpa bertanding. Bagi jawatan Ketua Wanita ia dimenangi oleh Dayang Saniah Awang apabila menewaskan penyandangnya, Shuhanie dengan majoriti 182 undi.

Dalam pada itu, Almadi berkata, tidak timbul isu tentang ketiga-tiga mesyuarat sayap UMNO tersebut kerana badan perhubungan negeri telah mengesahkannya.

"Saya difahamkan kesemua mereka berada di Kuala Lumpur sekarang, sebab boikot mesyuarat ini tetapi mereka perlu ingat ia diadakan mengikut perlembagaan serta kelulusan daripada perhubungan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mahmod Paduka Raja II di sini hari ini.