Sektor pelaburan dan pelancongan Malaysia tidak terjejas
walaupun wujud ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa berkata keyakinan pelabur dan pelancong untuk
terus datang ke Malaysia masih tinggi kerana negara ini terkenal dengan
kestabilan politik dan ekonomi yang dijana menerusi perpaduan serta toleransi
penduduknya yang berbilang kaum dan agama.
"Setakat ini, Malaysia tak terjejas (dengan ancaman
militan IS). Kita masih terkenal dengan negara yang aman makmur dan kita tak
mahu imej ini tercalar dengan tindak tanduk sebuah kumpulan ekstremis yang nak
menghancurkan negara kita.
"Kita tak rela negara kita dihancurkan oleh kumpulan
ini...setakat ini sektor pelaburan dan pelancongan tak terjejas dan kita doakan
supaya keadaan terus terkawal," katanya kepada pemberita pada majlis rumah
terbuka Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah, Batu 10 di Tanah Merah, hari
ini.
Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
mengesahkan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor
didalangi kumpulan militan IS atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat
Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.
Siasatan awal polis mendapati dua lelaki tempatan yang
ditahan pada 1 Julai lalu berhubung insiden itu memperoleh bom tangan itu dari
negara jiran.
Mustapa berkata isu keselamatan tidak boleh dipandang
ringan oleh masyarakat kerana ia bakal memberi kesan negatif terhadap
pembangunan negara pada masa depan jika tidak dipertahankan.
"Kalau kita porak peranda, kalau negara kita huru
hara, kalau kita bertelagah sesama sendiri, kalau kita berperang sesama sendiri
maka ini akan melemahkan perpaduan dan ekonomi kita.
"Kita tak mahu negara kita berada dalam satu keadaan
yang sukar untuk kita pulihkan. Kita kena jaga sebelum ia berlaku,"
katanya.