Sunday, October 12, 2008

SELEPAS KURANG AJAR, HINDRAF CABAR SYED HAMID

Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) bukan saja kurang ajar pada majlis sambutan Aidilfitri Perdana Menteri tetapi kini mencabar pula Menteri Dalam Negeri dan TV3agar menyiarkan rakaman lengkap rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri yang menunjukkan penyokong mereka biadap.

Dalam kejadian itu, kira-kira 800 penyokong Hindraf berpakaian kemeja-T jingga beratur seawal jam 11 pagi bersama ribuan pengunjung lain bagi menyerahkan kad ucapan Aidilfitri yang turut diselitkan dengan mesej supaya Perdana Menteri membebaskan pemimpin Hindraf yang dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keadaan dilaporkan "menjadi kecoh seketika" oleh akhbar-akhbar apabila mereka dihalang memasuki dewan jamuan di aras empat PWTC dan "melaungkan rasa tidak puas hati kerana menunggu terlalu lama untuk bertemu Perdana Menteri".

Polis pula dilaporkan terpaksa campur tangan polis untuk mengawal keadaan.

Hindraf, yang begitu sukar dan tidak pernah berpeluang berjumpa Perdana Menteri dikutuk oleh para pemimpin Umno khususnya kerana menyampaikan bantahan mereka ke atas penahanan tanpa bicara rakan-rakan mereka di bawah ISA di rumah terbuka itu.

Laporan Malaysiakini berkata Hindraf mencabar menteri dalam negeri dan TV3 menyiarkan rakaman lengkap rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri yang menunjukkan penyokong mereka biadap.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy juga mengecam Datuk Seri Syed Hamid Albar, stesen televisyen itu dan Utusan Malaysia berhubung laporan mereka yang mendakwa sedemikian.

Beliau, yang juga adik seorang lagi tokoh gerakan tersebut P Uthayakumar yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mendakwa dua media itu "sengaja mengapi-apikan semangat perkauman" terhadap Hindraf.

"Sekiranya benar tohmahan-tohmahan mereka, mengapa mereka tidak berani menayangkan gambar dan klip yang kononnya penyokong Hindraf bersikap biadap dan kurang ajar," katanya.

"Sebaliknya kami mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan yang perdana menteri, timbalan beliau dan ramai lagi menteri-menteri kabinet yang senyum panjang dan menerima salamam penyokong Hindraf dengan hati terbuka dengan semangat maaf zahir dan batin."

Apa menyebabkan mereka bersikap demikian? Jawapannya mudah. Orang Islam sendiri pun menyokong mereka.
Baca apa kata seperti disiarkan Harakahdaily, 5 Oktober lalu:

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) tidak biadab apabila bertemu Perdana Menteri pada rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet beragama Islam Rabu lalu. Beliau berkata, tindakan penyokong Hindraf bertemu dan menyerahkan memorandum kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bukan sesuatu yang biadab dan perlu dipandang dari sudut positif.
"Mereka dibenarkan masuk, mereka masuklah... kalau tak dibenarkan, macam mana mereka hendak masuk. Saya rasa itu tidak biadab, itu demokrasi... biasa. Kalau kita tengok di negara Barat, mereka benarkan orang demonstrasi di depan Rumah Putih... itu biasa... Kita kena lihat ini sebagai satu perubahan zaman Perdana Menteri kitalah.
"Kalau betul mereka tak mahu bagi Hindraf masuk, mereka boleh halang. Tetapi apa yang berlaku tidak ada polis yang halang. Tak ada masalah mereka jumpa Perdana Menteri macam tu... saya pun ada orang datang ke rumah. Kita kena lihat ia sebagai perubahan demokrasi di Malaysia, lagipun mereka tidak buat kecoh atau bertumbuk," katanya selepas berucap pada majlis perasmian Ijtima' Aidilfitri anjuran Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Badan Perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu semalam.

Beliau meminta semua pihak melihat tindakan penyokong Hindraf bertemu Perdana Menteri pada majlis rumah terbuka itu sebagai demokrasi era baru.