Wednesday, August 15, 2012

Kecaman Ke Atas Nasharuddin Hanyalah Pembuka Tirai Kearah Menguggurkannya Sebagai Calon

KOMENTAR mStar Oleh ROZAID A. RAHMAN

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) mendengar penerangan dari Tokoh Ulama Arab Saudi Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Keempat di sini pagi Isnin. Turut hadir (dari kiri) Mufti Masjid Haram Makkah, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi dan Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

KUALA LUMPUR: Indikasinya lagi jelas dan nyata - dari Dewan Pemuda sehinggalah kepada Menteri Besar PAS - semuanya kini menjurus ke arah 'kempen' untuk menyingkirkan terus bekas Timbalan Presiden mereka, Nasharuddin Mat Isa daripada parti itu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan pada Rabu telah meminta Nasharuddin supaya meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen Bachok. Nik Aziz pada hari yang sama memberi kenyataan bernada sindiran yang amat tajam; "Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi presiden PAS pun boleh masuk Umno, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya sebagaimana dipetik oleh Bernama.

Kesemua mereka berkata demikian selepas media massa memaparkan gambar Nasharuddin menyertai perdana menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi. Sejak Nasharuddin mencetuskan kontroversi dengan menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS, beliau telah dilihat tidak ubah seperti besi buruk oleh PAS seolah-olah tidak pernah berjasa atau menyandang jawatan sebagai pemimpin nombor dua dalam parti itu. Orang yang paling tidak senang dengannya malah paling lantang menyindir dan mengkritik ialah Nik Aziz.

Kemuncak kepada penentangan ke atas Nasharuddin ialah apabila beliau gagal mempertahankan jawatannya pada Muktamar Agung PAS tahun lepas - ditewaskan oleh seorang yang tidak dilihat sebagai tokoh agama atau ilmuan iaitu Mohamad Sabu. Sehubungan dengan itu Nik Abdul Aziz berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Dan kini giliran Pemuda PAS Kelantan pula untuk mencelah apabila Setiausahanya Mohd Nuri Mat Yaacob berkata; "Jika beliau (Nasharuddin) sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu."

Kata-katanya itu disiarkan oleh organ rasmi PAS, Harakahdaily. Kenyataan daripada Dewan Pemuda PAS Kelantan itu juga didorong oleh kenyataan Nasharuddin di TV3 yang meminta PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat (PR) jika DAP terus menentang Hudud. Hakikat bahawa kempen-kempen untuk memperkecilkan Nasharuddin disiarkan oleh organ rasmi parti menunjukkan bahawa bekas timbalan presiden itu telah terkeluar dari arus perdana PAS. Nik Aziz kata, tak menghairankan kalau Nasharuddin masuk Umno.

Tapi sebenarnya yang tak menghairankan ialah jika PAS pecat Nasharuddin atau gugurkannya sebagai calon pilihan raya nanti - sekali gus tidak berupaya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok yang disandangnya sekarang. Desakan-desakan yang muncul sekarang hanyalah pembuka tirai kepada langkah yang lebih besar iaitu untuk menguggurkannya daripada senarai calon. Dengan trend yang ada sekarang, kita tidak nampak siapakah yang akan mengesyorkan agar namanya dikekalkan sebagai calon.

Mungkin sudah tiba masanya Nasharuddin melupakan politik PAS untuk selama-lamanya dan menumpukan perhatian kepada amal jariah dan juga yayasan yang baru dibentuknya itu. Sayang sungguh, pemimpin semuda dan sebijak itu tidak lagi dianggap relevan dalam PAS. Dan yang lebih menyedihkan, mereka memperlakukannya bukan seperti seorang bekas timbalan presiden. Tiada langsung tanda hormat apatah lagi mengenang jasanya yang banyak dalam PAS.

Dosanya pada PAS tidak ada pun. Beliau hanya cenderung kepada perpaduan ummah. Malangnya usaha dan kecenderungannya itu dianggap sebagai satu dosa dalam PAS termasuklah duduk sekhemah bersama perdana menteri Malaysia.