Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa hari ini
mendedahkan surat panjang lebih 20 halaman sebagai menjawab secara terperinci tuduhan-tuduhan
yang dilempar kepada beliau.
Beliau turut
menyediakan transkrip penuh apa yang dikatakannya, yang menimbulkan
pertikaian.
Husam pada 28 Mei lalu menghantar surat kepada Presiden
PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon membatalkan pemecatannya sebagai
anggota parti itu.
Husam, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, menerima surat pemecatan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok pada Selasa lepas (24 Mei).
Bukan sahaja beliau menafikan dakwaan-dakwaan itu, Husam sebaliknya mahu kesemua tuduhan terhadapnya ditarik balik dan menuntut permohonan maaf dibuat terhadapnya.
Husam, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, menerima surat pemecatan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok pada Selasa lepas (24 Mei).
Bukan sahaja beliau menafikan dakwaan-dakwaan itu, Husam sebaliknya mahu kesemua tuduhan terhadapnya ditarik balik dan menuntut permohonan maaf dibuat terhadapnya.
Kandungan suratnya kepada ketua parti bagi menjelaskan
dakwaan yang membawa kepada pemecatannya sebelum ini.
"Pemecatan itu tidak sah kerana tidak mengikut
perlembagaan parti dan tidak mengikut lunas-lunas keadilan Islam," katanya
kepada pemberita di Kota Bharu pada 28 Mei lalu.
.
Baca surat Husam di sini:
Assalamualaikum WBT
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAWserta
ahli keluarga, para sahabat dan para pengikut Baginda.
Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS,
Ibu Pejabat PAS,
Jalan Raja Laut,
Kuala Lumpur
Presiden PAS,
Ibu Pejabat PAS,
Jalan Raja Laut,
Kuala Lumpur
YB TG Presiden,
Masih tergiang-giang di telinga saya, ayat yang selalu YB
TG bacakan dalam ucapan-ucapan YB TG pada awal tahun 80-an:
"....maka
putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat
memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja." - Surah Ta Ha ayat, 82.
Ayat ini berasaskan kata-kata orang-orang yang beriman
dengan ajakan Nabi Musa AS, yang telah sesuka hati dihukum oleh firaun, tanpa
berpandukan hujah dan mendengar keterangan orang yang dituduh dengan saksama
dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman. Melainkan semata-mata kerana firaun
berkuasa penuh menjatuhkan apa sahaja hukuman mengikut kehendaknya.
YB TG,
Sudah ditakdirkan, saya dipecat keahlian dari PAS.
Saya tidak merungut tentangnya.
Apa yang saya ingin rungutkan adalah cara dan keadaan
pemecatan itu.
Pertama, saya hanya menerima maklum mengenai
pemecatan itu melalui siaran media. Kecuali pada hari Selasa, 24 Mei 2016, saya
menerima sepucuk surat dengan maksud berkenaan secara pos tanpa berdaftar yang
ditinggalkan di luar rumah arwah ibu saya.
Sungguh pun Jawatankuasa Disiplin mendakwa surat itu
telah dihantar kepada saya sebelum ini, saya tidak pernah menerimanya.
Ada sepucuk surat yang dihantar secara kurier yang
diserahkan pada 7 Mei 2016, tetapi telah saya pulangkan semula pada hari yang sama
kerana pada sampul luarnya tertera YB Dato Haji Hassan Haji Musa. Saya
menganggap, tidak mungkin surat sepenting pemecatan saya mempunyai nama
penerima yang salah.
Semakan saya dengan City Link mengesahkan surat itu telah
pun dipulangkan kembali kepada pengirim tanpa sampulnya dibuka.
Kedua, saya tidak dipanggil membela diri. Surat
saya bertarikh 3 April 2016 untuk memohon pengecualian pengerusi Jawatankuasa
Disiplin dari mengadili kes saya dan pelanjutan tempoh untuk saya menjawab
surat tunjuk sebab atau juga disebut surat penyiasatan, tidak terjawab sampai
akhir.
Saya tidak tahu, adakah tiada jawapan rasmi adalah dikira
jawapan, seperti apa yang dapat difahami dari ulasan setiausaha agung PAS
mengenainya.
Selain menunggu surat rasmi sebagai jawapan kepada
permohonan saya bertarikh 3 April 2016, saya juga terpaksa melengahkan jawapan
balas saya kepada surat tunjuk sebab bertarikh 22 Mac 2016 kerana menunggu
pandangan undang-undang dari peguam mengenai dengan satu dari pertuduhan ke
atas saya, iaitu kesaksian secara disepina dalam kes saman sivil yang masih
berjalan.
Surat jawapan atau pandangan undang-undang dari peguam
berkenaan hanya saya terima melalui e-mel pada 27 April 2016, seperti salinan
berkembar.
Memandangkan isu kesaksian saya di mahkamah yang
diperlukan oleh proses undang-undang adalah besar, saya terpaksa menunggu
pandangan dari mereka yang ahli mengenainya sebelum memberikan sebarang
jawapan.
Saya kira, ini adalah kes pertama seseorang yang disepina
memberikan keterangan di mahkamah dihukum oleh parti dan dianggap sebagai satu
kesalahan.
Namun begitu, keputusan tanpa memberi peluang saya
membela diri dan tanpa pengecualian hakim iaitu pengerusi Jawatankuas Disiplin
yang prejudis dan berkepentingan bertentangan atau conflict of interestdengan
saya, telah pun diambil.
Sekali pun keputusan telah dibuat, saya menulis catatan
ini untuk menjadi rujukan orang kemudian tentang duduk perkara pertuduhan yang
dikenakan dan supaya satu hari, keadilan dapat ditegakkan.
YB TG Presiden,
Berkenaan dakwaan pertama,
• Presiden PAS hendak membawa PAS menyertai Umno
• Presiden PAS mahukan jawatan menteri dalam kerajaan
pusat pimpinan BN
• Presiden PAS mahukan jawatan sebagai penasihat yang
berstatus menteri
Penjelasan saya:
Saya tegaskan, semua pertuduhan di atas adalah kesimpulan
yang salah atau direka-reka atau tidak memahami apa yang saya tuturkan dalam
ceramah saya di Mulong pada 5 November 2015.
Memandangkan pertuduhan ini adalah hasil kesilapan
memahami ucapan saya, saya dengan ini mengambil pendirian untuk tidak
memberikan penjelasan lanjut atas tuduhan ini.
Saya hanya meminta supaya ucapan saya itu diteliti semula
dan dengan ini saya memperturunkan transkrip verbatim ceramah saya di Mulong
tersebut untuk tatapan semula:
"...Nak gi nasihat,
kita setaro mana sihat gak. Masalah perumahan nak nasihat Najib. Rakyat loni
kalo takdop rumah pun takpo kalo kerajaan hok jahat ni tukar. Dengan tu bila
naik kerajaan jjurus, kita buleh buat rumah. Kalo ada formula rumah bakpo tak
mari nasihat ko Kelate dulu, rumah banjir tak siap lagi. Buat di Kelate dulu,
jadi contoh barulah kita buleh royak ko Najib tengok ni aku, puak-puak aku
buleh buat. Kerajaan aku pun tak leh buat rumah pah nak gi nasihat Najib
lagumana. Sapo dia nak ccayo?
...Kalu kata nak
kerjasama royak molek biar jelas. Panggil muktamar, panggil kawasan-kawasan,
royak ko kawasan kita ni kerjasama doh. AJk kita campur dengan AJK dia, exco
kita campur dengan exco dia.
Menteri dia.. nak
jadi menteri tak leh mugo penuh doh.. 39 ore ko berapa doh? Penuh doh nak
lantik .. nak lantik sapo eh..Baihaki janganlah ambo royak doh ko dia jangan
Ki. Ok lah OK... nak lantik sapo dia jadi menteri..lantik lah sapo-sapo hok
kita kira ore kita. Datuk Nazri royak doh. Hok ni adik kakok buleh doh lah ambo
lepas doh. Nazri royak doh tok soh masuklah, tak sah ppakat pasal menteri penuh
doh. Nak lantik ttindih.
Sebab tu timbul
setengah idea buat penasihat iaitu bergaji penuh menteri tapi tak jadi menteri.
Ni ore agak.
Pasal bila tak
jelas, macam-macam ore buleh agak. Dalam proses parti ni kena ada keputusan.
Dalam kes PERKASA,
Datuk Ibrahim Ali, ambo pertahan presiden ambo pasal presiden tidak dakap,
presiden duduk cacang gitu jah, Brehim Ali gi khabat dia. Tapi gi jupo depe
ramai-ramai tu lah peluang Brehim Ali gi dakap. Kalu tak jupo takleh nak
khabat. Bila datuk Ibrahim ali gi khabat Presiden kita ore kejut habis.
Masya-Allah PAS ni
parti Melayu ko parti Islam? Mulo parti Islam. Pesuruhjaya PAS Selangor buat
kenyataan esokkan, PAS Selangor tidak menerima kerjasama dengan PERKASA.
Maknanya gapo?
Maknanya benda tu
buat tidak dengan keputusan parti".
Melalui transkrip ini, tidak terdapat kesimpulan seperti
pertuduhan dalam dakwaan yang dikenakan ke atas saya tersebut.
Dengan itu, saya menafikan kesemua ke tiga-tiga
pertuduhan tersebut dan menegaskan ia adalah kesimpulan yang salah dari ucapan
saya, yang dibuat oleh pihak tertentu mungkin dengan satu niat politik yang
tertentu.
Pertuduhan seterusnya:
• Presiden PAS pernah merancang untuk bekerjasama dengan
Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor
• Presiden PAS, menawarkan kepada dua atau tiga ADUN PKR
untuk menyertai PAS, dan kemudiannya PAS akan bergabung dengan Umno untuk
membentuk kerajaan bersama dengan Umno di negeri Selangor.
Penjelasan saya:
Berkenaan presiden PAS menawarkan dua atau tiga ADUN PKR
untuk masuk PAS untuk membentuk kerajaan bersama dengan Umno di Selangor ekoran
kebuntuan cadangan pertukaran MB Selangor pada waktu itu, ia adalah pengakuan
YB TG Presiden sendiri di dalam satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat selepas
ditanya oleh beberapa ahli mesyuarat.
Isu ini berbeza dengan isu perundingan antara pihak PAS
dan Umno selepas PRU 2008 yang lalu dan Yang Arif Pengerusi Jawatankuasa Displin
tidak sepatutnya keliru ada dua isu itu.
Di dalam mesyuarat tersebut YB TG Presiden ditanya
benarkah ada usaha memujuk beberapa ADUN PKR masuk PAS untuk membentuk kerajaan
bersama Umno.
YB Presiden mengaku bahawa ia benar dan pengakuan
tersebut disaksikan oleh ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang lain. Untuk berlaku
adil dalam hal ini saya kira eloklah saksi-saksi lain dari kalangan AJK Pusat
yang lalu dipanggil untuk memberi kesaksian termasuk dari presiden sendiri
seperti kaedah al-Quran:
"....dan
seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya". Surah
Yusuf, ayat 26.
Isu ini dikelirukan dengan pertuduhan lain selanjutnya
yang berbunyi:
• PAS telah terlibat berunding dengan parti Umno (di
Tingkat 25, Darby Park) pada 10/3/2008 untuk membentuk kerajaan perpaduan di
Selangor.
Penjelasan saya:
Ayat dalam pendakwaan di atas, pada hemat saya, telah
mencampuradukkan isu perundingan antara PAS dan Umno yang telah berlalu dalam
banyak siri dan secara keliru dikaitkan dengan tarikh 10 Mac 2008 dan juga
tempat yang dinyatakan.
Sekalipun isunya adalah mengenai rundingan-rundingan
belakang tabir antara pemimpin PAS dan Umno yang saya ada sebutkan, tetapi ayat
dalam dakwaan di atas adalah disusun oleh Yang Arif Pengerusi Jawatankuasa Disiplin
sendiri sehingga ia bercampur aduk antara satu perkara dengan perkara yang
lain.
Perjumpaan antara pimpinan PAS dan Umno pada 10 Mac 2008
bukan diadakan di Hotel Darby Park.
Perjumpaan yang terkenal ini dilakukan antara tiga orang
dari PAS menemui perdana menteri dan bekas menteri besar Selangor pada waktu
dan tempat yang lain.
Ia berlaku sebaik selepas PRU 2008.
Sejak itu, rundingan demi rundingan ada dilakukan,
termasuk berjumpa atau berhimpun di Hotel Darby Park dan kemudiannya berjumpa
di tempat yang lain yang berhampiran. Dato Haji Mustapa Ali boleh dirujuk untuk
mengesahkannya.
Ini selari dengan ucapan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa
selaku bekas timbalan presiden PAS yang menyebut Majlis Syura dalam
mesyuaratnya pada bulan April 2008 itu, telah membuat keputusan untuk
membenarkan PAS berunding, termasuk dengan Umno.
YB TG boleh mendengar ucapan Ustaz Nasarudin mengenai
perkara ini yang menjadi viral dalam YouTube.
Sehingga hari ini, tiada penafian dibuat oleh Majlis
Syura PAS.
Majlis Syura dikatakan telah melantik wakil-wakil bagi
pihak PAS untuk perundingan yang telah berlangsung tanpa merujuk kepada
Jawatankuasa PAS Pusat, sejak 2008 lagi.
Kedudukan ini, seingat saya, tidak pernah dimaklumkan
kepada Mesyuarat PAS Pusat dan dengan itu, kedudukan AJK PAS Pusat selaku pihak
eksekutif seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan PAS telah tidak diikuti.
Inilah isu utama yang saya bangkitkan.
Perundingan belakang tabir itu terus diadakan, seperti
disebut sendiri oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam ucapan beliau.
Transkrip verbatim ucapan saya di Majlis Demo Tanya Ambo
Jawab adalah seperti berikut, yang dengan sendirinya menjelaskan, pertuduhan
yang dirangkakan dalam surat Yang Arif Pengerusi Jawakuasa Displin adalah
keliru dan tidak tepat:
"...Duk tengah
nak bentuk kerajaan di Perak (PRU 2008) lepas mari daripada Kedah dengar
khabar, tiga orang pemimpin PAS akan jupo dengan 3 pemimpin Umno iaitu Pak Lah,
Khir Toyo kerana nak membincangkan. Bincang gapo ambo tak tahu la. Mugo tak dop
kertas. Saudara tadi nak bukti. Jadi kertas tak dop. Bare dalam gelap mana
buleh ada kertas. Saksi ada. Saya telefonlah ko saing-saing kata tolonglah
pegang Presiden tu tok soh bui gi lah. Kemarin baru rakyat pilih kita. Atas
nama tidak kerajaan Umno/ Barisal Nasional. Tolok Umno/ Barisan Nasional
ddegungg. Habis sebutir negeri. Tiba-tiba kita nak gi berunding dengan Umno.
Hancurnya harapan rakyat. Hancurnya nama baik gerakan Islam. Hancurnya
kepercayaan pada kita, hok nama Islam ni, kita mulo-mulo sekali nak gi. Masa tu
DAP tak dop kata jahat lagi. PKR tak kata jahat lagi mugo tak dop kerajaan lagi
nak kata jahat lagu mana.
Jadi 10 haribulan 3
tahun 2008 mesyuarat berjalan, Khalid Samad gi. Khalid Samad ni kalu gi pun
mugo tahu doh tidak..tidak nak bbaik dengan demo tu takpo la nak gi pun. Gi nak
jadi nyendal tak ser bui bbaik. Lama adik kakok kata, hoo Khalid Samad pun nak
bentuk kerajaan..Dop. Kita hantar Khalid mugo Khalid tahu doh tak ser ko Umno
tak po lah mung gi lah Khalid. Kalu tak dop mung gak buleh jadi berdakap doh.
Buleh jadi. Mugo bare hok tak jadi kita nak kata lagu mana. Gi..gi..kerusi PAS
campur dengan Umno..PKR dengan DAP sama banyak tak leh bentuk kerajaan. Bak po
tak kira dumoh, sebelum pada gi sakni? Tak kiro ko drumoh dulu? Bakpo yang
dogel sangat. Mitok maaf lah YB, kecep Kelate pulak. Bak po yang koman sangat
tu? Nak pergi tak kira dulu kerusi berapa tu? Buleh jugak kecep luar
sikit-sikit dop...
Baik..pergi..pergi..
mung tengok ko aku, aku tengok ko mung..Nak bentuk kerajaan tak leh. Tapi rekod
telah tercemar. 10 haribulan 3, 2 hari selepas pilihan raya umum 2008 kali
pertama kita mendapat mandat sebegitu hebat daripada pelbagai lapisan
masyarakat.. 2 hari kita telah mencuba sesuatu yang di luar daripada fikiran
kita sebagai ahli PAS. Baik... bila berlangsung terus berlangsung terus adik
kakok tengok dalam youtube banyak kea ucapan YB Alwi, Kok Lanas, Presiden kita
jumpa dengan Pak Lah Badawi masa tu lagi. Jupo dengan Pak Lah Badawi kalu saya
nak sebut hok Alwi kata apa Presiden kata kepada Allahyarham Tok Guru masa tu
Tok Guru duk hidup lagi saya tak berani nak sebut. Adik kakok tengok sendiri.
Nasarudin Mat Isa, dia kata bulan 4, 2008 Majlis Syuro buat kertas kerja buleh
berunding dengan parti politik termasuk dengan Umno tapi saya sebagai ahli
majlis Pas Pusat mesyuarat Pas Pusat tidak pernah dimaklumkan sepatah bahawa
Majlis Syuro telah lantik perunding berunding dengan Umno dalam gelap. Tapi
Alhamdulillah saya tahu semua pergerakan tu.
Sebagai satu contoh
(lain), adik kakak.. tuan puan boleh percaya tak boleh percaya... 15 minit
pasukan berunding dua-dua parti masuk di tingkat 25 floor executive Hotel Darby
Park.. arrr kalu nak ccayo nak bukti gi..gi ke hotel tu. Tanya hotel tu ada ko
dop booking tarikh tu ada nga ambo. Malam ni ambo tak ser sebutlah. Kalu tuan
bayar.. derma ko dop malam ni? Heh.. Kena derma la sikit. Lamo YB tak ingat nak
kutip derma. Buke nak bayar ko ambo derma tu. Nak bayar sewa apa semua la.
Baik..tingkat 25 baru masuk 15 minit ambo SMS kepada Dato Mustafa Ali. Ambo
sebut nama ni kerana nak suruh ada saksi. Dia mungkin nafikan esok. Nasarudin
Mat Isa ambo SMS, “berunding gapo pulak dengan Umno tuh” Terkejut dia.
Fasal...baru 15 minit duduk nak mesyuarat Husam duduk drumah Kg Kota buleh tahu
ada perundingan di tingkat 25 Darby Hotel.. Darby Park, Kuala Lumpur. Adik
kakok tanyo saya lagumana Dato tahu? Budak kerja hotel tu tak ser tengok PAS
dengan Umno ni bbaik. Dia SMS ko saya. Adakah PAS dengan Umno ni tak leh bbaik?
Lamo adik kakok salah faham pulak. Buleh bbaik tapi bbaik dengan kena kecep
kena gendong tak leh. Bbaik dengan ada dasar dia terbuko..buleh..Bbaik kerana
fulus.. tak leh. Buke saya kata ada fulus.Tapi...saya peringatkan. Daripada
situ tak bereti-reti tak bereti-reti tak bereti-reti sampai mesyuarat PAS Pusat
masa isu MB Selangor (yang terbaru - ia itu isu Tan Sri Khalid). Jadi sapo
saksi ambo. Saksi ambo adalah semua ahli jawatankuasa PAS Pusat. Harrr...
Bersaksilah tiap-tiap orang, daripada Presiden, Timbalan Presiden Mat Sabu. Tak
ccayo ko dia, dia parti Amanah yang tidak amanah.. buang dia. Naib Presiden
ambo, Salahudin. Dato Tuan ko masa tu.. tak ingat..Salahudin gi ko Amanah. Ambo
PAS lagi.. buleh sore. Buleh sore mugo ambo PAS lagi. Ha arrr...Ketua Muslimat
Kak Lah dia berani ko tak berani ambo tak tahu. Pah lagu mana nih? Pasal
setengah saksi buleh jadi tak layak kerana dia sudah masuk parti lain. Tinggal
saksi hok duduk dalam PAS ada hok berani dan ada hok tak berani. Lagu mana nak
buat? Ambo terpulang. Ulama cari lah formula..Kalu kena kata kita bersumpah
tertalak isteri pun ambo sanggup... Bakpo nih, ambo maroh ko Presiden ko? Ambo
sayang pada parti ambo perjuangan ambo lebih daripada sayang kepada Presiden
ambo. Ambo budak kepada Presiden ambo. Ambo masuk PAS berbaiah dengan Presiden bila
mahasiswa UM wakaf kan ambo. Husam kena kerja sepenuh masa dengan parti. Ambo
tak leh kerja kerajaan. Yang menerima ambo adalah Allahyarham Hasan Syukri dan
Ust Haji Hadi. Bila Ust Hadi kena sakit di Istanbul serta merta kita beli tiket
tak dop penuh kapal terbang. Gi kot Singapura. Tiga ore gi. Duk atas kapal
terbang nengung.. Allah... Presiden kita.. presiden kita..Sapa esok kea masuk
jupo Presiden. Oleh kerana Doktor kata tak leh masuk lama takut mengganggu.
Masuk 3 minit 4 minit nampok dia sehat buleh kecek Alhamdulillah. Syukurnya
kita. Jadi kalu kita nak ukur kasih adik kakok buleh pertikai tapi perjuangan
kita... Kita nak merentoh Malaysia. Asal perjuangan kita nih. Kita tak ccayo ko
Umno, kerana pemimpin kita jugak kata nak buat perubahan keislaman mesti
daripada iman dalam hati, pegangan yang kukuh fikrah yang kemah. Baru buleh
buat reformasi keislaman. Nak tupe ore tak leh. Kalu kira nak tupe lamo doh
kita buleh naik atas punggung muto Umno ni gak nyo gendong ko dia lah. Nikoh ko
dop tak tahu. Umno pitis banyok dia kecep la nyo kecep duk gendong atas muto
dia la. Jadi sapa bilo nak habis nih?"
Dakwaan kedua
• Memfitnah Pimpinan Kerajaan Kelantan (semasa Pimpinan
TGNA) telah melakukan “penyelewengan” dalam pengurusan balak walaupun kononnya
ditegur (oleh Saudara)
Penjelasan saya:
Untuk makluman YB TG Presiden, di dalam soal jawab
tersebut, dalam isu pembalakan tebang habis untuk tujuan perladangan yang
jumlahnya adalah tersangat luas dan memberikan kesan kewangan dan hasil negeri,
ekologi dan alam sekitar seperti banjir atau kemarau dan kesan-kesan yang lain
lagi, saya telah ditanya kenapa tidak menegur ketika masih di dalam kerajaan
dan kenapa baru sekarang mula menegur?
Saya telah dengan secara jujur menjawab pertanyaan
tersebut bahawa saya telah menegur beberapa perkara yang dianggap bersalahan
dengan janji PAS untuk rakyat Kelantan. Antaranya ialah tender terbuka balak.
Yang Arif boleh melihat semula kandungan manifesto PAS 1990 dan 1999. PAS
antara lain berjanji kepada rakyat untuk menguruskan hasil mahsul balak secara
tender terbuka.
Dalam manifesto yang dinamakan sebagai Program Angkatan
Perpaduan Ummah Negeri Kelantan Pilihan Raya Umum 1995 contohnya, PAS telah
membuat janji kepada rakyat di bawah tajuk Perhutanan pada muka surat 15, perkara
7.4 iaitu “Meneruskan dasar tender terbuka untuk meningkatkan hasil kerajaan
negeri”.
Manifesto 1999 yang dikenali Program PAS Negeri Kelantan
Pilihan Raya Umum 1999, pada mukasurat 19, item 6.2 iaitu meneruskan
langkah-langkah menjadikan perhutanan sebagai punca penting hasil kerajaan
melalui (a) Dasar tender terbuka.
Saya kira elok YB TG Presiden melihat sendiri
transliterasi jawapan saya dalam soal jawab tersebut;
“Dalam kes balak
ni, mintak maaflah pasal terlalu banyak orang perhuduh ambo. Bakpo tak bbetul
masa dalam kerajaan dulu? Cuba doh nak bbetul. Tok Guru, dia 10 doh.. Bila mari
ore tekan-tekan suruh bui ko syarikat tu syarikat ni, dia pun nak panggil buat
mesyuarat. Ambo kata Tok Guru, mula kea kita janji doh nak tender, jadi petang
ni ambo mitok maaf Tok Guru ambo tak leh masuk mesyuarat. Bakpo? Kalo masuk
mesyuarat nama ambo ada ssitu. Pas esok2 ore kata hoh Huse ada mulo pah bakpo
tak tegur. Berlaku sungguh lo loni. Tok Guru kata enta kena masuk. Haa, tu
bekeng tok guru. Tok guru ada buah bekeng dia jugak. Enta kena masuk. Enta
royak ko mesyuarat, jangan buat lagu ni, kita breti benda lagu ni. Masuk
mesyuarat pulak. Bereti semeta 4 5 bulan. Pastu berlaku pulak."
Jika YB TG Presiden memahami isi ucapan saya tersebut,
sudah pasti YB TG Presiden dapat melihat apa yang saya tegur secara spesifik di
sini ialah amalan kelulusan pembalakan tanpa tender secara terbuka (saya tidak
sebutkan 'penyelewengan'). Di sini, kalimat 'penyelewengan' adalah tambahan
Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin sendiri.
Saya telah sebutkan, apabila teguran itu dibuat kepada
YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada masa itu, ia telah diarahkan dihentikan oleh
beliau. Tetapi ada ketikanya, ia dimulakan semula selepas seorang anggota
Jawatankuasa Kecil Perhutanan telah ditambah dengan anggota baru menjelang
pilihanraya yang lalu.
Oleh itu, adalah salah untuk mendakwa saya telah menuduh
YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar telah melakukan
'penyelewengan' seperti dakwaan Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin.
Isu ini telah saya jelaskan dengan agak panjang lebar
dalam tulisan saya menjawab surat terbuka Dato Wan Mutalib Embong beberapa
bulan yang lalu dan YB TG Presiden boleh merujuk kepada penjelasan itu untuk
memahami isu ini dengan lebih jelas.
Apa yang sebutkan pada malam tersebut dan dalam
tulisan-tulisan saya kepada YAB Menteri Besar Kelantan sekarang adalah amalan
tebang habis untuk tujuan perladangan adalah dilakukan tanpa tender terbuka,
meliputi kawasan yang terlalu luas sehingga menjejaskan pelbagai aspek dan
merugikan hasil kerajaan Negeri.
Kalimat 'penyelewengan' secara spesifik tidak terdapat
dalam ucapan saya yang berkaitan.
Ia adalah rumusan yang silap oleh Yang Arif Pengerusi
Jkuasa Disiplin itu sendiri.
Jika kata-kata saya berkaitan disifatkan 'menfitnah
Pimpinan Kerajaan Kelantan', kenapa tidak ada tindakan mahkamah diambil ke atas
saya?
Kenapa surat-surat teguran saya tidak terjawab sampai
hari ini?
Saya mempertahankan teguran saya terhadap amalan
pemberian hutan simpan kekal untuk pembalakan tebang habis yang sangat luas dan
merugikan hasil negeri dan mengancam kehidupan rakyat.
Pertuduhan selanjutnya:
• PAS akan bertindak selaku “Penasihat” kepada kerajaan
adalah merupakan satu “kerjasama politik” antara PAS dan Umno.
Penjelasan saya:
Pertuduhan ini juga dibuat secara kesdimpulan mudah
(simplified) dan kesimpulan yang salah dari ucapan saya.
Saya sekali perturunkan petikan verbatim ucapan saya
berkenaan.
Dari ucapan itu, YB TG Presiden boleh lihat, kerjasama
politik bukan memasuki BN adalah saya pertegaskan berdasarkan jawapan oleh YB
Presiden sendiri kepada pertanyaan pemberita dan disiarkan secara viral di
dalam You Tube.
Jadi, perkataan itu 'kerjasama politik, bukan masuk BN'
adalah diucapkan oleh YB Presiden dan bukan dari saya.
Kenapa pula saya yang dipersalahkan?
Transkrip berkenaan dari majlis Demo Tanya Ambo Jawab
adalah:
"Tubik isu
penasihat Umno pulok. Penasihat kerajaan Barisan Nasional. Adik kakok tengok
video untuk berlaku adil pado ambo... berlaku adil pado Presiden kito...
berlaku adil pado perjuangan kito. Adik kakok tengok, Presiden kita kata
kerjasama politik.
Bila reporter tanya
balik - kerjasama politik tapi tidak masuk Barisan Nasional (Ini adalah petikan
ucapan YB Presiden dalam temu bual berkenaan).
Gapo dia benda nih?
Acu royak ko ambo.. Gapo dia benda nih ambo tak pehe. Sapa lloni takdop
penjelasan. Paka mati ssitu. Lepas tu gak, Dato’ Timbalan Presiden kata hoh
kita selama-lama dengan Umno. Selama-lama gi kkecek kiro lagu tu bakpo? Nak
jadi penasihat dia lagu mana. Penasihat kerajaan. Pah wat mari pulak hujah
kerana Nabi Musa gi jjupo dengan Firaun nak nasihat dia.
Aaarrrh faham
mmolek gak. Faham mmolek ayat tu.. Izhab ila fir’aun.. innahu toghoo.. Mu
jangan gi nnupe make umah Firaun cari pitis mas nga dia takleh. Mung kena gi
royak ke dia Tuhan satu... buleh. Kalu mung gi nak nnupe nga dia pitis mas dia
lembik loktek slaluh.
Jadi nasihat atas
empat perkara, perumahan, 1MDB, duit Malaysia jatuh, sor lagi.. GST. Jupo nga
Brehim Ali 4 perkara jugak. 1MDB, SosMa, err apa nama..apa dia... TPPA, sor
lagi... aerhh tak ingat doh... eh emm takpo lah.. ambik 3 jah lah".
Pertuduhan berikut adalah:
• Kes 1MDB, PAS mengambil pendirian untuk menyokong Najib
dan Kerajaan BN
Penjelasan saya:
Ini juga sebuah pertuduhan yang dipermudahkan.
Saya tegaskan, dari ucapan saya berkenaan, saya telah
mempersoalkan pendirian pimpinan utama PAS dalam isu 1MDB berdasarkan
ucapan-ucapan mereka.
Transkrip Sesi Demo Tanya Ambo Jawab:
"Maaf, ambo
buke tak hormat pada Dato Haron Din. Ambo buke tidak hormat pada Tok Guru Haji
Hadi.
Gapo dia Dato Haron
Din kata? 'Tak logik duit masuk dalam akaun peribadi (Najib)'.
Ini betul-betul
jjadi jong kako. Ore wat lari pitis negara 2 billion lebih kita jadi jong kako
'aiiii tak masuk akal' .. 'tak kae gak dia bodo nak masuk akaun'... duk mmain
tak kae.. tak kae lagumana nih, nombor akaun ada ni.
Duk main tak kae...
tak kae apo nyo...
Kena mintok maaf
dengan rakyat Malaysia seluruhnya. Ambo sebagai ahli PAS nak mitok maaf nga
rakyat Malaysia seluruhnya. Kalau pengkhianatan kepada duit negara sebesar tu
kita biarkan. La haula wala quwwatailla billahil ‘aliyyi ‘azim.
Nak jadi kerajaan
Malaysia lagumana kita? Presiden PAS kata kena ada tiga... dua... err... empat
saksi.
(Ahli PAS selama ni)
Duk fitnah ambo, ada berapa saksi? Duk fitnah saya ni berapa saksi ada? Bakpo
yang masa kena atas saya tak dop saksi. Saya ahli PAS. Kena atas Najib empat
saksi. Peguam negara kena pecat... satu saksi. Pegawai SPRM kena tukar... dua
saksi. Kenyataan gabenor Bank Negara... tiga saksi..Laporan-laporan dalam surat
khabar... empat saksi. Sepuluh saksi pun buleh cari bukan tiga... bukan empat.
Bakpo kita duk alik Najib lagi? Sampai hari ni kita tak bbetul lagi.. '.
Pertuduhan selanjutnya:
• Mendakwa kononnya Saudara dipecart dari semua anak-anak
syarikat kerajaan (GLC) kecuali dua sahaja
Penjelasan saya:
Perihal saya tidak dilantik semula bagi semua anak
syarikat yang saya pegang sebelum pilihan raya kecuali dua, adalah diumumkan
sendiri oleh YAB MB Kelantan melalui satu kenyataan media (Sinar Harian)
yang diterbitkan dalam bulan Ogos 2013.
Kenyataan itu dibuat tanpa sebarang surat pemberitahuan
atau pemberitahuan lain sampai ke hari ini.
YB TG Presiden boleh mengesahkan sendiri tentang perkara
ini dengan YAB MB Kelantan.
Tidak dilantik semula hanya dengan satu pernyataan media
tanpa sebarang bentok makluman lain, bagi saya, sama maknanya dengan dipecat.
Jika saya tidak dirundingi dalam pembentukan kerajaan
sebagai anggota Dewan Harian Negeri, saya juga tidak dirunding bahkan tidak
dimaklumkan dengan pengguguran semua jawatan Pengerusi anak syarikat.
Namun begitu, ia bukan isu besar kepada saya.
Tetapi menghukum saya ketika memberitahu hal sebenar
kedudukan saya yang digugurkan adalah satu perkara pelik.
Ia menunjukkan Jawatankuasa Disiplin yang mempertuduh dan
kemudian memecat saya atas tuduhan yang mereka kenakan, langsung tidak
mengetahui kedudukan sebenar yang berlaku di Kelantan.
Mereka tidak tahu saya sememangnya telah digugurkan dan
bila saya menyebut hal itu, saya pula dihukum!
Ini adalah amat buruk dan tidak adil, bah kan tidak
dilihat untuk berlaku adil.
Cuba tanyakan kerajaan, mana satu kedudukan yang mereka
kekalkan sehingga membolehkan dakwaan saya bahawa saya telah digugurkan itu menjadi
salah?
Pertuduhan seterusnya:
• Mengeluarkan kenyataan kononnya Ketua Dewan Ulama PAS
bersikap seumpama “samseng” apabila menegur tindakan saudara yang mengkritik
parti dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS
Penjelasan saya:
Di dalam Islam, setiap perkara ada aturan dan
tatasusilanya. Ketika Allah ingin ingin menjadikan khalifah di muka bumi, Allah
boleh sahaja menjadikan manusia tanpa bersoal jawab dengan para malaikatnya
tetapi Allah menunjukkan sebaliknya sebagai tunjuk ajar adabmu'asyarat yang
tinggi.
“Ingatlah ketika
Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di muka bumi.' Mereka berkata: 'Mengapa Engkau hendak
menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan
menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan
mensucikan Engkau?' Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang
tidak kamu ketahui.'.” (QS Al Baqarah: 30)
Hinggalah kepada sekecil-kecil perkara, Allah mengajar
melalui lisan dan tindakan Nabi SAW tentang aturan dan tatasusila makan,
memakai pakaian dan lain-lain.
Dato’ Mahfodz selaku Ketua Dewan Ulama sepatutnya lebih
arif dan faham tentang tatasusila ini. Kenapa dalam kes saya, beliau tidak
menunjukkan contoh keislaman ini?
Saya tidak pernah dihubungi sebelum beliau tergamak
mengeluarkan kenyataan, “Kita tidak mahu gunting dalam lipatan menjejaskan
parti. Lebih baik tinggalkan parti dan sertai rakan-rakannya dalam AMANAH”(Sinar
Harian, 11 November 2015)
Tindakan beliau menghalau saya keluar dari PAS tanpa
mendapat penjelasan daripada saya sangat tidak cocok dengan jawatan yang
disandang beliau dan perjuangan Islam yang dibawanya. Alangkah baik dan
manisnya, sekira saya dihubungi atau diajak berjumpa terlebih dahulu untuk
bertanya lanjut kepada saya.
Menghalau seseorang ahli parti secara terbuka sesuka hati
adalah tindakan yang tidak wajar dan saya merasa terluka dengan kata-kata
beliau seperti itu.
Saya tidak mengatakan beliau sebagai samseng tetapi
akhlak beliau menuduh seseorang dan menggambarkan beliau mengetahui isi hati
saya adalah mirip kepada perangai orang samseng.
Dakwaan ketiga:
• Mempersenda dan memperlekehkan Presiden PAS dengan
mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya seperti di bawah ini;
“Nasib baik Presiden PAS tidak melarang saya hadir ke
majlis pihak-pihak bertentangan kerana beliau pun telah hadir dalam majlis
dengan Presiden Umno baru-baru ini”
Penjelasan saya:
Sekali lagi Yang Arif Pengerusi Jawatankuasa Disiplin
telah membuat kesimpulan yang salah dari ucapan saya dan menyusun sendiri
petikan yang dikatakan saya mengatakannya sedangkan petikan itu adalah silap
dan tidak sama dengan ucapan saya yang sebenar seperti berikut:
Transkrip ucapan saya di Majlis Makan Malam AMANAH
Kelantan di Petaling Jaya;
“Saya bernasib baik
kerana Presiden saya telah buat satu ketetapan: bahawa hadir dalam majlis pihak
bertentangan diizinkan. Sebagaimana hadirnya Presiden saya satu pentas dengan
Presiden Umno yang menjadi musuh tradisi. Lebih-lebih lagi dalam semangat
nasihat menasihati. Saya yakin akan dapat restu dari Presiden dan parti kerana
tindakan saya selari dengan Presiden yang menunjukkan saya adalah seorang yang
setia pada parti.”
Saya tidak nampak ada apa-apa yang salah di sini, kerana
sememangnya saya menganggap tindakan yang dilakukan oleh YB Presiden adalah
satu precedent yang sama dengan kes saya. Lebih-lebih lagi,
pada waktu itu, tidak ada larangan khusus oleh parti untuk menghadiri majlis
sedemikian.
Pertuduhan seterusnya:
• Mengelirukan dan memberikan gambaran yang negatif
terhadap PAS, antara lainnya;
• “BN sedang menggunakan siku dan lutut untuk melindungi
korupsi yang mereka lakukan. Oleh itu perpaduan (Umno-PAS) yang disandiwarakan
antara dua parti politik adalah amat melucukan.”
Penjelasan saya:
Kata-kata 'adalah amat melucukan' tidak ada sama sekali
dalam ucapan saya.
Apa yang saya sebutkan adalah: “Perpaduan againts
corruption is much more important daripada perpaduan yang
disandiwarakan di antara dua parti politik dalam negara kita.”
Saya hairan bagai mana kata “amat melucukan” boleh
dipetik oleh Yang Arif Pengerusi Jawakuasa Disiplin sedangkan saya tidak
sebutkan.
Saya katakan sandiwara kerana memang PAS dan Umno tidak
bersatu sampai hari ini, setakat pengetahuan saya.
Bila kedua pemimpin duduk sepentas sudah disinonimkan
dengan penyatuan atau perpaduan, bukankah anggapan seperti itu hanya satu
sandiwara sahaja. Sandiwara, setakat saya fahami, adalah sesuatu yang tidak
berlaku tetapi dilihatkan sebagai seakan berlaku.
Pertuduhan berikutnya:
• Perpaduan (Umno-PAS) yang dilaungkan dalam situasi
amalan korupsi yang amat parah ketika ini”
Penjelasan saya:
Saya tidak faham apa kesalahan dalam ayat seperti ini. Ia
sebuah nasihat berdasarkan kenyataan-kenyataan kedua pihak pemimpin, kecil dan
besar dalam isu ini sampai hari ini.
Pertuduhan selanjutnya:
• PAS jangan rosakkan amanat TGNA sebaliknya kembalilah
kepada perjuangan yang sebenar iaitu menentang kemungkaran Umno. Kewajipan
adalah menggantikan Umno dan bukan bersama Umno mengekalkan pemerintahan
mereka”
Penjelasan saya:
Ini juga sebuah nasihat.
Saya tidak nampak apa kesalahan dalam menyuarakan
perasaan dan pandangan saya selaku ahli PAS.
Dakwaan Keemmpat:
• Secara tidak wajar telah bertindak sebagai saksi yang
memihak (bias witness) kepada Daehanguru Infra Sdn Bhd (plaintif) dan
memberikan keterangan yang memprejudiskan Baldah Toyyibah dan Perbadanan
Menteri Besar Kelantan (PMBK)
• Secara berniat serong cuba mengelirukan Mahkamah dengan
memberikan ‘pandangan’ yang tidak tepat, berupa tohmahan yang cuba meletakkan
kesalahan terhadap kerajaan negeri Kelantan, secara khususnya keterangan
saudara yang mengatakan kononnya telah berlaku “change of direction among
the new leadership of Kelantan State Government” yang menyebabkan kegagalan
plaintif melaksanakan Projek Lebuh Raya KB-KK yang bernilai 1.8 bilion.
Penjelasan saya:
Saya kira, pertuduhan ke empat ini sudah memasuki urusan
mahkamah yang sedang berjalan sekarang dan secara malicious, libeldan
prejudis telah membicarakan saya secara di luar batas keadilan dan mungkin
berbau contempt of court.
Pertama, harus difahami saya menjadi saksi bagi pihak
plaintif selepas disepina.
Dua pihak defendan iaitu Perbadanan Menteri Besar
Kelantan dan Baldah Toyyibah Sdn Bhd, semasa prosiding mahkamah sebelum saya
dipanggil memberikan keterangan, tidak pernah sedikit pun membantah kedudukan
saya sebagai saksi yang disepina. Padahal, mereka boleh atau sepatutnya berbuat
demikian.
Hasilnya, saya telah diperintahkan oleh Yang Arif Hakim
untuk disepina.
Jika kehadiran saya sebagai saksi boleh menjejaskan
kedudukan defendan dan kerajaan Negeri, mengapa mereka berdiam diri?
Pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk yang berkelulusan
undang-undang dan berkelayakan sebagai peguam, termasuk orang seperti SUA PAS
sekarang, juga tidak pernah menghubungi saya atau menyuarakan bantahan mereka.
Berita tentang saya dipanggil menjadi saksi telah lama
tersebar, sebelum hari saya dipanggil memberikan keterangan lagi.
Tiada sebarang respon atau inisiatif untuk saya
dibebaskan dari memberikan keterangan dilakukan.
Sudah tentu, apabila seseorang dipanggil memberikan
keterangan, berdasarkan sistem Mahkamah negara ini:
(a) Ia tidak boleh mengelak untuk hadir jika sepina telah
dikeluarkan oleh mahkamah. Jika tidak, waran tangkap akan dikeluarkan.
(b) Ia mengangkat sumpah untuk bercakap benar dan boleh
dikenakan tindakan undang-undang jika ia tidak bercakap benar.
Apatah lagi, sebagai seorang Muslim, seseorang hendaklah
memberikan keterangan dalam penyaksian dengan jujur, benar dan adil. YB TG
Presiden mengetahui nas-nas al- Quran dan as-Sunnah tentang ini.
Sama ada saya bersikap bias atau tidak, sudah tentu perlu
ditentukan oleh mahkamah dan bukannya oleh pihak luar yang tidak berautoriti
dan tidak mendengar kes ini secara keseluruhan seperti Jawatankuasa Yang Arif
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ini.
Tuduhan ini sengaja diciptakan, sekali pun mungkin
tindakan seperti ini melanggar kemulian mahkamah dan bersifat fitnah, untuk
mencari-cari kesalahan semata-mata.
Bagaimanapun, saya mengambil kesempatan ini untuk membuat
penjelasan kepada YB TG Presiden ini duduk perkara projek Lebuh Raya Rakyat
Kota Bharu-Kuala Krai.
Projek ini telah diputuskan untuk dilaksanakan atas
inisiatif kerajaan negeri selepas siri-siri mesyuarat dan keputusan parti dan
kerajaan di semua peringkat. Termasuk memilih Dae Hang Guru sebagai kontraktor
utama juga telah diputuskan oleh Mesyuarat Exco (MMK) Kelantan.
Saya ulangi, pelantikan Dae Hang Guru dibuat oleh
mesyuarat exco yang dihadiri pada waktu itu oleh YAB Dato MB dan YB Dato TMB
yang ada sekarang.
Selepas PRU-13, kerajaan negeri menamatkan Dae Hang Guru
sebagai kontraktor lebuh raya berkenaan.
Saya telah membuat kenyataan media meminta kerajaan
negeri berunding dengan pihak kontraktor dan menyelesaikannya dengan baik bagi
mengelakkan apa-apa implikasi di kemudian hari yang telah disiarkan oleh Sinar
Harian sebelum ini.
Malangnya, saya diberitakan, usaha pihak kontraktor untuk
menemui pihak kerajaan tidak pernah dilayan, termasuk surat-surat yang dihantar
supaya penamatan itu diberikan justifikasi yang wajar.
Akhirnya, selepas pintu rundingan tertutup, pihak
kontraktor berkenaan terpaksa mendapatkan keadilan di atas kedudukan mereka
melalui tindakan mahkamah.
Sepanjang tempoh proses mahkamah, saya difahamkan pihak
Yang Arif Hakim beberapa kali mencadangkan satu penyelesaian di luar mahkamah
dibuat oleh kedua-dua pihak tetapi pihak defendan telah menolak.
Tuduhan (b) yang berbunyi “secara berniat serong cuba
mengelirukan mahkamah dengan memberikan 'pandangan' yang tidak tepat...” adalah
sebuah tuduhan yang serius.
Ia sudah mencampuri urusan mahkamah dan bersifat subjudis
dan prejudis terhadap saya.
Apa lagi, jawatankuasa ini sendiri tidak lebih tahu dari
saya mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan
kedudukan yang sebenar.
Tindakan ini memberikan gambaran, seseorang, atas
kepentingan kumpulan mereka, boleh memberikan keterangan yang salah semata-mata
untuk memenangkan kumpulan mereka (kerajaan negeri atau anak syarikatnya selaku
defendan).
Saya juga mencadangkan YB TG Presiden membaca keseluruhan
affidavit saman kontraktor ini untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak,
seperti dituntut oleh Islam.
Saya juga memohon semua pertuduhan dan ayat-ayatnya yang
digunakan ke atas saya dalam pertuduhan berkaitan isu ini ditarik balik oleh
parti serta permohonan maaf terbuka dibuat kepada saya.
Jika tidak, saya mempunyai hak untuk pada mana-mana masa,
mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya di atas kata-kata yang tidak
wajar berkenaan.
Sebagai latar belakang tambahan, di pertengahan Ramadan
lepas ketika saya masih lagi dalam keuzuran, ada penulis-penulis media sosial
yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan negeri telah memfitnah saya. Saya
dikatakan membolot kayu-kayan di laluan lebuh raya ini dan telah terlibat
dengan pembalakan haram ke atas kayu kayan itu.
Saya berharap agar jawatankuasa ini juga turut menyiasat
tuduhan-tuduhan seperti itu kepada saya.
Sebagaimana fitnah oleh segelintir AJK Pusat yang ada
sekarang. Di antaranya, saya dituduh mempengaruhi dua ADUN PAS di Selangor
untuk menyokong Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar
Selangor.
Berkait fitnah saya telah membolot kayu-kayan atas laluan
lebuh raya berkenaan, saya telah menulis dalam Whatsapp group yang
dianggotai oleh YAB MB, TMB, YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya,
Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat dan lain-lain pimpinan kerajaan
Kelantan untuk membersihkan nama saya di dalam isu mencuri balak di dalam Hutan
Ulu Sat dan tuduhan mengatakan saya telah mengambil kekayaan daripada balak di
laluan lebuh raya tersebut.
Malangnya, tidak ada satu orang pun dari mereka yang
memberikan simpati kepada saya.
Untuk membersihkan nama saya, saya telah menulis surat
kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi
Maklumat, YB Dato’ Hj Hanifa Ahmad.
Saya juga telah melawat sendiri tapak projek berkenaan
dan melihat kayu balak yang dicuri telah disita oleh Jabatan Hutan Negeri.
Saya telah membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini dan
pihak SPRM telah masuk menyiasat dan mendapati lima kawasan tersebut telah
gondol kerana dicuri.
SPRM juga telah membuat kenyataan media mengatakan adanya
unsur rasuah dari kejadian itu.
Sehingga hari ini, tidak ada apa-apa tindakan diambil
kepada pihak-pihak berkenaan.
Hasil dari tindakan itu, barulah tuduhan saya membolot
balak berkenaan tidak lagi kedengaran.
Jika saya sendiri tidak bangkit membela diri saya dalam
isu ini, saya yakin tohmahan dalam isu ini akan berlarutan dan isu pembalakan
haram akan tenggelam.
YB TG Presiden patut menilai isu ini secara lebih
mendalam dan mendapatkan kedudukannya yang benar dan tidak menjadikan saya
sebagai kambing hitam atas kesalahan-kesalahan pihak lain.
Dakwaan kelima
• Mempersenda dan mempersoalkan langkah dan/atau kaedah
parti PAS dan membawa rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi meminda
Akta 355.
• Membuat tuduhan kononnya langkah di atas adalah kerana
didorong oleh pihak-pihak tertentu, termasuk Menteri tertentu (tidak disebutkan
nama atau portfolio) yang menghantar wakilnya ke Kelantan pada 18 Mac 2015
• Membuat tuduhan dan meletakkan kesalahan ke atas
presiden dan pimpinan tertentu yang lain yang kononnya menyebabkan RUU Akta 355
tidak diluluskan di Parlimen.
Penjelasan saya:
Tindakan membawa usul untuk meminda Akta 355 secara billPersendirian
atau private member's bill ke Parlimen atas nama Presiden
selaku ahli Parlimen bagi kawasan Marang, jelas bercanggah dengan keputusan
parti dan juga keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Jenayah
Syariah Peringkat Persekutuan Bil.3/ 2014 bertarikh 18-20 Disember 2014 yang
berlangsung di Dewan Kijang 6, Aras 3, Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dan Pusat itu
telah sebulat suara antara lain memutuskan usul berkenaan hendaklah dibawa oleh
menteri setelah melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada
bulan Mac 2015 dan seterusnya dibentangkan oleh menteri pada bulan Mei/Jun
2016.
Persoalan besar di sini ialah kenapa keputusan yang
dibuat bersama itu dilanggar?
Ketika membincangkan isu Akta 355 ini, Jawatankuasa Pas
Pusat yang bersidang sebelum usul itu dibawa telah memberikan pandangan supaya
usul itu dibawa sendiri oleh kerajaan pusat. Jawatankuasa PAS Pusat dalam
mesyuarat itu mengambil maklum akan perlunya proses yang paling masak dan
matang diambil bagi membolehkan pindaan akta itu menjadi kenyataan.
Usul yang ditandatangani oleh presiden telah dihantar ke
parlimen pada 18 Mac 2015 iaitu sebelum pun Enakmen Jenayah Syariah yang
dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan diluluskan.
(Lazimnya, jika benar pindaan Akta 355 di Parlimen memerlukan kelulusan Enakmen Jenayah Syariah di DUN Kelantan - ia dilakukan selepas penggazetan Enakmen itu. Ini semua tidak berlaku kerana ketergesaan luar biasa. Apakah yang mendorong ketergesaan luar biasa itu?)
(Lazimnya, jika benar pindaan Akta 355 di Parlimen memerlukan kelulusan Enakmen Jenayah Syariah di DUN Kelantan - ia dilakukan selepas penggazetan Enakmen itu. Ini semua tidak berlaku kerana ketergesaan luar biasa. Apakah yang mendorong ketergesaan luar biasa itu?)
Selepas usul itu difailkan, barulah satu mesyuarat Lajnah
Politik Pas Pusat diadakan untuk membincangkannya. Dalam mesyuarat itu , YB
Dato’ Takiyuddin Hassan yang ketika itu adalah Penolong Setiausaha Agong PAS
menjelaskan usul perlu disegerakan kerana untuk mengejar masa bagi membolehkan
ia dibentangkan dalam sesi yang sedang berlangsung dan akan berakhir dalam
bulan April 2015 itu.
Mengenai adanya wakil menteri dan seorang Pegawai
Parlimen mengunjungi kerajaan negeri sama ada pada 17 atau 18 Mac itu 2015 dan
kononnya membawa mandat menteri untuk meyakinkan perlunya usul itu di bawa
secara bill persendirian secepat mungkin dan tidak mengikuti
keputusan asal Jawatankuasa Bersama, perkara ini boleh diselidiki sendiri oleh
Jawatankuasa Disiplin dengan pihak-pihak berkenaan. Saya mempertahankan dakwaan
saya.
Hendaklah diketahui, YB Dato Taki dan YB Dato Jamil Khir
adalah kawan rapat sejak zaman sekolah.
Saya sesungguhnya curiga, dengan agenda sebenar pindaan
akta itu secara bill persendirian.
Selepas saya membangkitkan isu ini, YB Dato’ Mohd Amar
Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan telah membuat kenyataan usul
berkenaan tidak boleh dibentangkan di antara lain kerana belum mendapat
persetujuan Raja-raja Melayu.
Kenapa ia tidak ditimbangkan semasa pihak berkenaan
memberikan nasihat kepada presiden untuk membawa usul berkenaan secara amat
tergesa-gesa, setahun yang lalu?
Bukankah itu sebenarnya yang telah mencemarkan imej
presiden?
Saya hanya mengkritik aspek pengurusan yang membawa
kepada usul itu dimasukkan dan ternyata sehingga hari ini, ia gagal diluluskan.
Jadual asal yang telah dipersetujui, pembentangan usul
ini oleh kerajaan akan berlaku pada bulan Mei/Jun 2016.
Sungguh pun begitu, ramai masih sangsi adakah dengan
lulusnya pindaan Akta 355 itu nanti, membolehkan pelaksanaan penuh
undang-undang syariah atau sekadar gimik politik tertentu.
Jika ucapan saya didengar dengan teliti, saya telah
menyebutkan saya tidak mempersalahkan presiden tetapi mahu dua pemimpin PAS
yang berkenaan mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan kerana telah
menasihati presiden secara salah dalam isu sebesar ini dan membelakangkan
proses keputusan parti.
Sebaik sahaja berita mengenai cadangan usul [ersendirian
berkenaan disiarkan oleh media, saya bersama Dr Dzulkifli Ahmad dan YB Dr Syed
Azman telah berkunjung menemui presiden di kediaman YB TG di Rusila. Di dalam
perjumpaan tersebut, YB TG Presiden telah memberi keyakinan berdasarkan
maklumat-maklumat yang disampaikan kepada YB TG bahawa usul tersebut akan
diberi peluang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Parlimen bulan April
2015 itu juga dan bacaan kali kedua serta perbahasan di dalam persidangan
parlimen bulan Jun 2015.
Malangnya perkara tersebut jauh daripada berlaku. Ini
menunjukkan presiden telah diberikan nasihat yang salah oleh sesuatu pihak yang
menjadi tugas parti termasuk jawatankuasa disiplin untuk menyiasat siapakah
pihak-pihak berkenaan.
Teguran terbuka saya ialah supaya pihak-pihak luar tidak
mempengaruhi cara parti membuat keputusan sehingga menimbulkan imej yang tidak
baik dan agenda-agenda berkaitan seolah-olah disabotaj secara halus.
Semoga dengan teguran terbuka ini menyedarkan banyak
pihak yang berkaitan.
Pembentangan Akta 355 secara bill persendirian
tanpa melalui proses yang betul telah memberikan kesan politik dan telah
mengubah banyak perkara yang telah dicapai oleh PAS selama ini. Ia menimbulkan
kebimbangan berlebihan tanpa asas semata-mata kerana keluarbiasaan pindaan yang
dikatakan biasa itu telah cuba dibuat.
Ia seakan mempunyai agenda tersirat dan menjadi buah
catur politik pihak-pihak tertentu lebih dari agenda pelaksanaan undang-undang
syariah sepenuhnya seperti yang diuar-uarkan.
Ucapan saya itu dengan harapan untuk satu koreksi diri
atau muhasabah yang jujur dapat dilakukan.
YB TG Presiden,
Dengan ini, saya menyimpulkan, saya berpendirian ke semua
pertuduhan ke atas saya seperti berikut;
i. Ingkar kepada perlembagaan parti dan aturan dan
peraturannya
ii. Ingkar kepada arahan-arahan dan perintah-perintah
parti,
iii. Gagal melaksanakan kewajipan-kewajipan yang
ditugaskan oleh parti,
iv. Gagal menjaga dengan cermat rahsia-rahsia parti
v. Gagal mengamalkan akhlak Islam
vi. Gagal mengawal diri dari melakukan sebarang tindakan
yang menyalahi dan merugikan parti adalah tertolak dan tidak benar.
Tidak ada arahan dan perintah parti yang saya langgar dan
Jawakuasa Disiplin gagal menunjukkan mana perintah parti yang telah saya
langgar.
Tidak ada mana-mana kewajipan yang ditugaskan oleh parti
yang saya langgar dan Jawakuasa Disiplin gagal menunjukkan mana kewajipan parti
yang saya langgar.
Tidak ada mana-mana rahsia parti yang merugikan parti
yang saya gagal menjaganya. Rahsia yang sudah diketahui umum yang boleh
merosakkan parti tidak boleh disabitkan ke atas saya kerana peruntukan agama
Islam membenarkan teguran dibuat ke atas pelanggaran amanah perjuangan.
Setakat ingatan saya, saya tidak gagal mengamalkan akhlak
Islam bahkan saya telah menjadi mangsa kepada akhlak buruk yang telah
berkembang di kalangan segelintir pimpinan PAS, termasuk Yang Arif Pengerusi
Jawakuasa Disiplin sendiri yang telah menganiayai saya dengan tuduhan bersifat
fitnah menjelang Muktamar PAS yang lalu.
Saya juga tidak gagal mengawal diri dari melakukan
tindakan yang menyalahi dan merugikan parti. Melainkan tindakan saya adalah
sebagai respon terhadap tindakan, ucapan dan gerakan yang akhir-akhir ini
dilakukan oleh segelintir pemimpin parti yang menyalahi dan merugikan parti.
Saya sama sekali tidak ingkar kepada perlembagaan parti
dan aturan dan peraturannya. Bahkan, tindakan saya adalah berdasarkan
Perlembagaan Parti Fasal 3, Fasal 5, Fasal 6, Fasal 7 dan Fasal 14.
Dasar PAS ialah Islam, fasal 3.
Islam mengizinkan teguran, kritik, pandangan dan nasihat
diberikan.
Tujuan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara
ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai
hidup Islam dan hukum-hukumnya, fasal 5.
Nilai hidup Islam dan hukumnya termasuk kebebasan
bersuara atas kebenaran, menghindari perbuatan pemerintah yang bertentangan
dengan amanah yang diberikan dan merugikan rakyat jelata dan bersuara
membetulkan kepincangan.
Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan
Sunnah Rasul, fasal 7.
Al-Quran sangat menganjurkan perbaikan masyarakat, tegur
menegur, menegakkan kemakrufan dan mencegah kemungkaran:
"Mengapa
orang-orang alim mereka, pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka
mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya amat buruk
apa yang telah mereka kerjakan itu". - 5:63
"Telah
dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra
Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui
batas". - 5:78
"Mereka satu
sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat.
Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu". -
5:79
YB TG Presiden,
Saya menegaskan, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan
baik mengikut perlembagaan PAS mahu pun ukuran Islam.
Apatah lagi, pertuduhan yang dikenakan adalah sangat
dangkal dan tidak menepati prinsip penyiasatan yang kemas.
Saya juga tidak diberikan keadilan penghakiman dan perbicaraan
seperti mana yang dituntut oleh Islam.
Saya dengan ini menyeru supaya pemecatan ke atas saya
dibatalkan dan ditarik balik.
YB TG Presiden,
Kepimpinan YB TG sejak akhir-akhir ini telah teruk
tercalar.
Saya tidak ingin menghuraikan sebab-sebabnya secara
panjang lebar. Tetapi apa yang telah YB TG Presiden ucap dan tuliskan selama
ini, tidak sama dengan apa yang berlaku sekarang ini.
Sungguh pun YB TG adalah seorang pemimpin besar, tidak
ada salahnya manusia kerdil seperti saya berpesan dengan pesanan:
Bertaqwalah kepada Allah. Ingatlah, para pemimpin semuanya akan ditanya akan kepimpinan mereka, seperti mana hadis Nabi SAW yang masyhur.
Bertaqwalah kepada Allah. Ingatlah, para pemimpin semuanya akan ditanya akan kepimpinan mereka, seperti mana hadis Nabi SAW yang masyhur.
Sekian, wassalam.
Akhukum Fi Llah
Husam Musa
Kg Kota, Kota Bharu, Kelantan
19 Sya'aban 1437/26 Mei 2016
Kg Kota, Kota Bharu, Kelantan
19 Sya'aban 1437/26 Mei 2016