Friday, October 17, 2008

RAMLANG - ZAHID TERLUPA?

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan, yang sedang disiasat berhubung pembabitannya dalam kempen politik, memberikan keterangan dalam siasata kes qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramlang Porigi, yang hadir di majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan – pemuda yang mendakwa diliwat Anwar - ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bulan lepas.

Apa status siasatan terhadapnya?

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz pernah berkata, kemungkinan Ramlang boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dengan kempen pilihan raya Permatang Pauh.

Bagaimanapun jelas Ramlang, kehadirannya di Permatang Pauh, yang dikatakan 'berkempen' untuk Anwar, adalah bertujuan menjelaskan kepada masyarakat mengenai perkara sebenar serta tidak mahu orang ramai salah anggap tentang kehadirannya semasa Mohd Saiful bersumpah.

Peguamnya, Ahmad Nizam Hamid bercakap kepada Malaysiakini, kelmarin (15 Oktober 2008) berkata Ramlang dipanggil memberikan keterangan mungkin kerana dia menjadi saksi saksi sumpah laknat Saiful.

Kijang teringat kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 1 September 2008 bahawa pihaknya kini menunggu laporan lengkap mengenai kedudukan Ramlang Porigi ekoran penglibatannya dalam membantu 'berkempen' pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua laporan itu nanti akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Kita tak boleh nak putuskan apa-apa keputusan lagi sekarang. Tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas mesyuarat itu nanti," katanya ketika itu.

Ditanya apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Ramlang, beliau enggan mengulas lanjut.

Jadi setakat mana siasatan dijalankan? Ramlang dah buat ‘onar’ di Permatang Pauh dan dia tidak dikenakan tindakan apa-apa?

Bolehkah Zahid jelaskan perkara ini atau Zahid sengaja buat-buat lupa?

Kijang tidak pasti sama ada siasatan dalaman terhadap imam muda itu yang sudah dijalankan oleh majikannya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sehingga kini tidak ada apa-apa. Notis apa pun tidak ada," kata Ahmad Nizam.
Siasatan terhadap Ramlang bermula awal bulan lalu susulan tindakannya membuat penjelasan berhubung sumpah laknat Mohd Saiful, 15 Ogos, beberapa hari sebelum tarikh pengundian pilihanraya kecil di Permatang Pauh yang disertai Anwar.

Beliau muncul di tiga ceramah dihadiri Anwar dua hari sebelum hari pengundian. Pada 24 Ogos lalu, ketika berucap di atas pentas PKR, beliau mendakwa diarahkan "orang atasannya" supaya hadir dalam majlis sumpah itu.

Beliau turut mendakwa 'dipaksa' oleh pihak atasan untuk menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful pada 15 Ogos lalu.

Jakim dilaporkan berhasrat mengambil tindakan terhadap Ramlang jika didapati bersalah berkempen dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Beliau kini ditukar ke bahagian pentadbiran dan kewangan jabatan itu di Putrajaya, dipercayai ekoran penampilannya di pentas pembangkang.

DOMPOK BIADAB, SENTUH SENSITIVITI UMAT ISLAM

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok biadab dan meyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini,

Pada perhimpunan agung kali ke-12 pertubuhan itu baru-baru ini, Dompok yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dikatakan cuba untuk memaksa pemimpin Umno untuk sekali lagi tunduk kepada desakan agar mana-mana individu Islam yang ingin keluar daripada agamanya, hendaklah tidak dihalang oleh mana-mana pihak atau badan-badan penguatkuasaan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah dalam satu kenyataan akhbarnya begitu kesal kenyataan Menteri terbabit cuba menjolok sarang tebuan dan ingin membangkitkan semula isu lama berkenaan memorandum yang dihantar oleh sembilan Menteri kepada Perdana menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bebrapa tahun lalu.

Hakarakahdaily semalam (15 Oktober 2008) memetik Hamzah sebagai berkata, dalam ucapan dasar Presiden Upko itu, Dompok banyak mempersoalkan tentang kebebasan beragama yang terkandung dalam perlembagaan Negara ini sudah tidak terjamin.

Dalam ucapan itu, Dompok dipetik berkata, "...adalah juga menjadi hak rakyat Malaysia untuk kembali kepada agama sebelumnya jika ia hendak berbuat demikian dan tidak ada undang-undang atau sesiapa yang boleh berdiri antara seseorang itu dengan Tuhannya."

Dompok turut mempertikai mengenai bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah terutama bagi mereka yang memeluk Islam apabila berkahwin dengan pasangan muslim.
"Apabila berlaku perceraian pada perkahwinan tersebut, pasangan yang bertukar agama itu dan kemudian ingin kembali ke agama asalnya sudah tidak lagi boleh berbuat demikian.

"Pendapat saya ialah perkahwinan seperti ini, dalam mana penceraian berlaku, ia haruslah berakhir di mana ia bermula," demikian beliau dipetik berkata.

Hamzah yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, melihat ucapan Dompok itu adalah rentetan kejayaan Upko yang sebelum ini mengugut untuk keluar dari pada Barisan Nasional (BN) jika BN gagal menyelesaikan masalah kewarganegaraan Yong Lee Hua dan dan kecelaruan yang berlaku dalam Jabatan Pendaftaran Negara di Sabah.

Hamzah mempersoalkan, apakah motif dan agenda sebenar Dompok membangkitkan semula isu sedemikian itu.

Beliau secara peribadi melihatnya sebagai satu strategi Upko untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi tempoh berakhirnya era Abdullah.

"Ertinya Upko akan memberi kata dua kepada Najib...jika mahu sokongan Upko, beri kebebsan kepada individu muslim yang mahu tukar agama dan mana-mana pasangan yang mahu bercerai, walaupun salah seorang isteri atau suami telah memeluk Islam, maka hendaklah diselesaikan di Mahkamah Sivil sebagaimana mulanya berkahwin mereka didaftarkan di Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah,"katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menyelar sikap membisu pemimpin Umno Sabah dalam hal berkaitan isu kepentingan umat Islam.