Tuesday, November 4, 2008

CADANGAN PEMBELIAN EUROCOPTER BEBAS PENYELEWENGAN

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, penilaian teknikal dan kewangan bagi pembelian 12 helikopter yang keseluruhannya berharga RM1.604 bilion adalah mengikut piawaian antarabangsa.

Kontroversi pembelian Eurocopter hangat selepas Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan tatacara perolehan helikopter tersebut.

Pengerusi syarikat itu, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim mendakwa keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

Zahar juga ialah Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Malaysia telah menandatangani kontrak berjumlah RM2 bilion hanya untuk 12 buah helikopter sedangkan Brazil telah menandatangani kontrak pembelian 50 buah helikopter yang bernilai US$1.2 bilion ataupun RM4 bilion.

PAC dilaporkan kurang senang kerana tiada sebarang penilaian fizikal dibuat sebelum kerajaan memutuskan untuk membeli helikopter berkenaan yang kini telah pun ditangguhkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Harakahdaily mengatakan keputusan PAC dalam cadangan pembelian 12 unit helikopter itu tidak sebulat suara.

Dilaporkan beberapa anggotanya berpendapat urusniaga untuk membeli Eurocopter EC725 Cougar bagi menggantikan helikopter Nuri yang berusia 42 tahun tidak dijalankan dengan sepatutnya.

Mereka memandang berat hakikat bahawa urusniaga itu hanya dibuat untuk Eurocopter.
"Tidak ada penender yang dipanggil untuk mengemukakan klarifikasi tender pada dokumen tender," Malaysian Insider memetik salah seorang anggota PAC.

Dalam kenyataan rasminya, PAC memandang berat ketiadaan pemeriksaan fizikal dibuat ke atas 12 helikopter Eurocopter EC725 sebelum kerajaan memutuskan untuk membeli helikopter berkenaan yang kini telah pun ditangguhkan pembeliannya.

Azmi berkata, Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa pihaknya tidak membuat satu uji terbang khusus memandangkan pesawat itu sedang diguna pakai dalam pelbagai keperluan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, Azmi berkata PAC mencadangkan pada masa akan datang, Kementerian Pertahanan perlu memberi perhatian yang serius berkaitan pemeriksaan fizikal terperinci ke atas pesawat yang hendak dibeli.

"Apabila sampai tahap di mana pembelian itu diputuskan (walaupun ditangguh sekarang) yang memakan masa selama tiga tahun untuk disiapkan, maka PAC dan pihak TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) memperakui bahawa perlu untuk buat pemeriksaan rapi sebelum menerima helikopter berkenaan," katanya.

Azmi menyatakan PAC juga mahu kerajaan bersikap lebih telus di masa hadapan.
Badan itu juga mencadangkan supaya ditubuhkan badan penilai bebas untuk menilai cadangan pembelian yang melibatkan kos yang tinggi.

PAC dan juga rakyat, katanya, mahu kerajaan bersikap lebih telus di masa akan datang serta memastikan dana awam tidak dibazirkan.

"Terpulang kepada kerajaan untuk menentukan siapakah panel untuk mengetuai panel penilaian bebas. Ini bukan sahaja melibatkan pembelian di bawah Kementerian Pertahanan, tetapi juga melibatkan semua kementerian," katanya.

Dari segi prosedur, mesyuarat PAC memutuskan bahawa tidak ada penyelewengan dalam pembelian 12 unit helikopter bernilai RM1.604 bilion itu.

Bagaimanapun, Azmi berkata PAC akan terus memantau isu pembelian helikopter itu.