Seorang jeneral bersara yang juga pengerusi sebuah bank
berkaitan kerajaan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
untuk disoal siasat berkaitan kes penyelewengan bernilai RM15 juta.
Lelaki berusia 65 tahun itu akan menjadi individu kedua
dari institusi kewangan yang sama dipanggil oleh SPRM berhubung kontrak penerbitan buku bernilai jutaan ringgit dan projek menaik taraf sistem
perbankan itu.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, SPRM mengenal pasti
seorang Tan Sri menerajui sebuah bank yang dipercayai terlibat dalam kes salah
guna kuasa dan penyelewengan projek penerbitan buku berkenaan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati, suspek
menggunakan akaun dua buah firma guaman bagi menyimpan wang yang diperoleh
hasil kegiatan tersebut.
Ujarnya, individu terbabit telah bersekongkol dengan
peguam membuka dua firma guaman bagi mendapatkan tender melibatkan penerbitan
buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.
“Sebaik sahaja wang diperoleh, wang terbabit akan dimasukkan
ke dalam dua akaun firma guaman yang terlibat sebelum wang itu dipindahkan ke
beberapa akaun yang lain.
“Difahamkan, ketika firma guaman itu ditubuhkan, di dalam
akaun firma terbabit hanya mempunyai wang bernilai RM2,000.
Namun semakan terkini mendapati akaun terbabit mempunyai
wang berjumlah ratusan ribu ringgit,” katanya.
MStar turut melaporkan bahawa Pengarah Urusan bank berkaitan
kes ini yang berusia 48 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama
bersama empat yang lain pada Khamis.
Difahamkan kontrak bernilai RM15 juta diberikan kepada
sebuah syarikat penerbitan untuk menghasilkan sebuah biografi berkaitan seorang
pemimpin negara.
Antara perjanjian itu adalah penerbit perlu mencetak
kira-kira 20,000 salinan penerbitan itu tetapi jumlah yang dicetak jauh lebih
rendah.
Sumber berkata beberapa bank akaun berjumlah kira-kira
RM10 juta dibekukan SPRM berhubung kes itu.
Seorang lagi sumber memberitahu The Star, SPRM mengesyaki
beberapa individu bekerjasama untuk menggelapkan wang tersebut.
"SPRM juga sedang mengesan dalang kes ini,"
kata sumber itu.
SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia dalam
lingkungan 40-an pada Sabtu untuk membantu siasatan kes ini.
Dia turut direman sehingga 2 September ini.
Kelmarin, , lapan individu termasuk seorang Pengarah
Urusan sebuah bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana
dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan
penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.
Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di ibu
negara sejak kelmarin.
Turut dirampas iaitu enam buah jam tangan yang setiap
satunya bernilai RM20,000 serta wang tunai sebanyak RM30,000 daripada Datuk
terbabit.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM
2009 atas kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk suapan pegawai
institusi awam.
Sementara itu, pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki
ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mencari bukti
kes berkenaan.