Sunday, July 11, 2010

MUSTAPA MINTA BANYAKKAN CAWANGAN BANK DI LUAR BANDAR

Institusi perbankan tempatan wajar membuka lebih banyak cawangan di luar bandar bagi membolehkan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan mendapat akses baik kepada khidmat perbankan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya pada masa yang sama ia akan dapat membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memohon pinjaman yang disediakan bagi memantapkan lagi operasi perniagaan mereka.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi pehatian serius terhadap PKS terutama dalam usaha menangani masalah mereka mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

"Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar kepada sektor tersebut di bawah Rancangan Malaysia ke-10, dan ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk institusi perbankan agar dapat meluaskan operasi ke luar bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) cawangan Jeli, semalam.

Mengulas pembukaan Bank Muamalat di sini Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli berkata ia membuktikan kepesatan ekonomi di Parlimen itu, dan beliau yakin dalam tempoh dua tahun lagi Jeli bakal membangun dengan lebih pesat selaras dengan pembukaan Politeknik dan cawangan Universiti Malaysia Kelantan nanti.

Cawangan Bank Muamalat ke-56 merupakan institusi kewangan ketiga yang beroperasi di daerah ini selepas Affin Bank dan AgroBank.

ANNUAR JANJI GANJARAN JIKA JUARAI LIGA SUPER

Ganjaran khas kini menanti para pemain Kelantan, sekiranya mampu membawa pulang trofi kejuaraan Liga Super buat pertama kali ke bumi negeri Kelantan.

Begitu pun, ranjau berduri berbaki empat perlawanan perlu ditempuhi dengan sukar lebih-lebih lagi Kelantan kini masih mengekori Selangor.

Ini kerana Selangor masih kekal selaku pendahulu Liga Super selepas terikat 1-1 dengan pasukan di tangga kedua, Kelantan, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam Sabtu lalu.

Kedua-dua pasukan yang dipisahkan lima mata menerusi 21 perlawanan sebelum ini, masing-masing mempunyai baki tiga perlawanan lagi sebelum Liga Super menutup tirai pada 3 Ogos.

Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-59 hasil jaringan Mohd Amirul Hadi Zainal sebelum Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan pada min ke-64.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap kali mencipta kemenangan, pemain-pemain Kelantan akan mendapat ganjaran mengikut penarafan perlawanan yang ditetapkan oleh pihak Kafa.

“Perlawanan menentang Selangor agak unik, ianya ibarat perlawanan akhir bagi kedua-dua pasukan merebut kejuaraan liga.

“Kalau Selangor menang, sudah pasti sukar untuk kita mengejar kejuaraan, sebaliknya kalau Kelantan dapat mengalahkan Selangor, kejuaraan liga akan dapat kita capai dengan berbaki empat perlawanan itu.

“Semua pemain tahu bahawa apabila kita memenangi kejuaraan Liga Super sama seperti Kelantan memenangi kejuaraan Piala FA atau Piala Malaysia,” katanya sehari sebelum perlawanan dengan Selangor Sabtu lalu.

Annuar berkata, pihak Kafa akan memberikan ganjaran khas kepada semua pemain sekiranya mampu memenangi kejuaraan liga pada musim ini.

“Walau pun kita ketinggalan agak jauh (dari segi pungutan mata), tetapi kita tidak menyerah kalah sebaliknya apa yang kita lakukan selama ini telah membuahkan hasil.

“Saya mahu pemain berfikiran positif, memberi tumpuan yang penuh disamping menyusun strategi khas bagi menghadapi perlawanan." katanya.