Friday, August 13, 2010

DINAR, DIRHAM - PERGESERAN BARU KELANTAN DENGAN PUSAT?

"...Pengeluaran mata wang di luar bidang kuasa kerajaan negeri...tindakan kerajaan PAS Kelantan itu tidak praktikal dan tidak kena pada caranya." - pakar ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin.

Apakah yang sedang dilakukan dan cuba dibuktikan oleh kerajaan PAS Kelantan?

Selepas gagal melaksanakan Hudud dan menjadikan negeri itu benar-benar diperintah dengan peraturan Islam, gimik terbarunya untuk menunjukkan negeri negeri Islam, ia melancarkan matawang dinar dan dirham Islam.

Semalam gegak gumpita seluruh Kelantan apabila Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan negeri itu akan melaksanakan urusan perdagangan kerajaan menggunakan dinar dan dirham.

Nik Aziz berkata, Kerajaan Pas Kelantan melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Selain mahu menjadi negeri pertama menggunakan dinar dan darham, kerajaan PAS Kelantan juga mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri untuk perdagangan.

Katanya, ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.

Menurutnya, wang syariah tersebut boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran di sekitar bandar ini untuk transaksi perniagaan.
Orang kanan Nik Aziz, Datuk Husam Musa iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, mencanangkan, pengeluaran dinar dan dirham Kelantan mengikut standard piawai yang ditetapkan oleh Pengeluar Syiling Dunia Islam (Wolrd Islamic Mint).

"Dalam Islam standard telah dibuat oleh Saidina Umar iaitu satu dinar emas 22 karat iaitu 4.5 gram kenapa 22 karat bukannya 24 karat sebab ia wang yang digunakan setiap hari untuk tahan lasak dia akan tambah logam lain tetapi berat masih 4.5 gram, bagi dirham pula tujuh dirham bersamaan dengan satu dinar.

"Pengeluaran kita sebanyak RM2 juta sebelum ini telah habis dan kita akan mencetak setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin hari ini berkata mengikut undang-undang, pengeluaran mata wang sama ada alternatif atau tidak, adalah di bawah bidang kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini kerana ia membabitkan urusan dasar serta pengurusan kewangan Malaysia.

Dr Awang menjelaskan, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang, tidak timbul soal mata wang alternatif atau tidak walaupun hanya untuk urusan jual beli di negeri itu.

Kementerian Kewangan dan BNM akan mengkaji tindakan yang boleh diambil berhubung perkara ini, katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Nik Aziz berkata mata wang syariah ini hanya pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya, tetapi ia juga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wang sendiri untuk perdagangan.

"Sejarah juga membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak tidak akan terjejas dengan inflasi sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW, harga seekor ayam kira-kira RM13, lebih kurang harga seekor ayam pada masa sekarang," katanya selepas melancarkan mata wang syariah, dinar dan dirham di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu.

Nik Aziz berkata, dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sebagai simbolik kepada majlis pelancaran itu, Nik Abdul Aziz menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ir Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.

Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurusniaga.

"Buat masa sekarang kita belum ada perancangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan mata wang syariah tetapi saya amat bersetuju sekiranya usaha ke arah itu dibuat sekarang.

"Bermula tahun ini, orang ramai boleh membayar zakat dengan dinar emas dan dirham perak, sebelum ini kita tidak ada kesempatan kerana ia belum dilaksanakan lagi," katanya.

Sementara itu pakar ekonomi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin, turut mengesahkan pengeluaran mata wang di luar bidang kuasa kerajaan negeri, malah tindakan kerajaan PAS Kelantan itu tidak praktikal dan tidak kena pada caranya.
Pengurus Kewangan Permodalan Kelantan Berhad, Azmi Harun menunjukkan emas dinar dan perak dirham pada Majlis Pelancaran Matawang Syariah Emas Dinar dan Perak Dirham Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Dagangan Kelantan di Kota Bharu, semalam.

SEMINGGU UNTUK PELAJAR PATUHI PEMAKAIAN TOPI KELEDAR

Gambar Utusan ini yang pernah disiarkan melalui blog ini menunjukkan beberapa pelajar perempuan ini mengabaikan keselamatan mereka sendiri dengan tidak memakai topi keledar ketika menunggang dan membonceng motosikal pulang dari sekolah, di Kota Bharu, Kelantan, 8 Ogos lalu.

Kenapa tempoh sampai seminggu bukan segera?

Bukankah kesalahan tetap kesalahan? Jika berlaku kemalangan apakah Polis Kelantan tidak takut dipersalahkan kerana mengeluarkan arah sedemikian?

Semalam Polis Kelantan memberi tempoh seminggu dari hari ini (Jumaat, 13 Ogos 2010) kepada pelajar untuk mematuhi peraturan memiliki lesen dan memakai topi keledar apabila menunggang atau membonceng motosikal ke sekolah.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Supt Azli Mohd Nor berkata selepas tempoh seminggu itu, polis akan mengadakan operasi dan mengambil tindakan tegas ke atas pelajar yang melanggar undang-undang jalan raya itu.

"Saya (rasa) tindakan (operasi) itu boleh menyedarkan ibu bapa dan pelajar agar sentiasa memakai topi keledar ketika menunggang dan membonceng motosikal ke sekolah," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya Kota Bharu, semalam.

Sehubungan itu, Azli meminta ibu bapa memastikan anak mereka memiliki lesen dan memakai topi keledar semasa menunggang motosikal ke sekolah demi keselamatan mereka.

Beliau berkata sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, 345 kes daripada 2,052 kes kemalangan dilaporkan di negeri ini membabitkan motosikal dengan jumlah tertinggi meninggal dunia adalah penunggang dan pembonceng yang tidak memakai topi keledar.

"Atas sebab-sebab banyak nyawa yang melayang, polis rasa perlu tindakan di ambil dari masa ke semasa bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang yang ditetapkan itu," katanya.

NIK AZIZ SOKONG HUKUMAN LEBIH BERAT KES BUANG BAYI

Mayat seorang bayi perempuan yang ditemui dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej kediaman di Bandar Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyokong penuh cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes buang bayi bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di negara ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata, hukuman lebih berat itu adalah menepati ajaran Islam supaya dapat memberi pengajaran kepada pelaku dan bakal pelaku.

Katanya, undang-undang sekarang lebih “bersimpati” kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa.

"Saya juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh dikenakan ke atas kes membabitkan kes buang bayi yang menyebabkan bayi itu mati," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di Kota Baru, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Jemaah Menteri bersetuju tindakan lebih berkesan diambil bagi membendung penularan kes itu.

Juga semalam, ketika Kabinet mengarahkan individu terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu membunuh atau cubaan membunuh, satu lagi mayat bayi ditemui dibuang di Bandar Bukit Bunga, Jeli.

Tanpa perikemanusiaan serta menghormati kedatangan Ramadan, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di Bandar Bukit Bunga.

Mayat bayi malang yang dipercayai dibuang sejak seminggu lalu itu ditemui kira-kira pukul 5 petang oleh seorang murid, Mohd. Arif Ibrahim, 8, ketika sedang bermain berhampiran kawasan tersebut.

Mohd. Arif ketika ditemui hari ini berkata, bau busuk dari lubang najis itu menyebabkan dia dan tiga lagi rakannya berasa curiga lalu segera menyiasat puncanya.

“Semasa bermain kami terhidu bau busuk lalu saya pergi tengok dan nampak macam mayat bayi sebelum panggil rakan lain.

“Saya pun panggil rakan lain dan bila tengok betul-betul memang sah ia mayat bayi yang sedang tertiarap,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sepasukan anggota polis termasuk Unit Forensik tiba di tempat itu kira-kira pukul 7 petang dan mengambil masa selama 45 minit untuk mengeluarkan mayat bayi itu sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Pegawai polis mengangkat mayat bayi dipercayai perempuan untuk dibedah siasat di Hospital Tanah Merah.

TOK PA PENTINGKAN JAWATAN DI JELI DARI FDI NEGARA?

Pada 4 Ogos lalu sebuah blog mengupas mengenai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kata blog berkenaan:

Laporan Pelaburan Dunia 2010 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan pelaburan asing (FDI) ke Malaysia bagi tahun 2009 menjunam 81 peratus, ke paras yang paling buruk sejak 15 tahun.

Prestasi Malaysia dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut meskipun turut menerima tempias krisis kewangan dunia.

Dari jumlah pelaburan RM23.47 bilion tahun sebelumnya, ekonomi negara dibawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak mencatatkan kehilangan RM19.04 bilion FDI kepada RM4.43 bilion tahun lepas.

Salah siapa? Bukanlah niat kita ingin menyalahkan sesiapa. Tetapi apabila menyorot kembali zaman-zaman Malaysia menjadi pilihan pelabur asing, terkenang kita kepada Tan Sri Rafidah Aziz.

Pada satu ketika Rafidah dikritik hebat oleh ahli-ahli Umno bahagian beliau di Kuala Kangsar. Adakalanya sampai 3 bulan mereka tidak nampak muka Rafidah di Kuala Kangsar.

Rafidah lebih banyak menumpukan masa beliau ke luar negara bertemu pelabur dan membiarkan kawasan Parlimen beliau terbiar.

Tetapi lain pula dengan Menteri Miti kita sekarang ini. Kalau diteliti liputan-liputan akhbar, Menteri Miti kita Mustapa Mohamed lebih mementingkan Jeli dari pelabur asing.

Minggu lepas, kalau tak silap, dua kali muka Tok Pa keluar di kaca TV kerana menghadiri majlis di Jeli.

Kalau Jeli lah menjadi keutamaan Tok Pa, tak terperanjatlah kita mengapa FDI kita merudum lebih 80 peratus.

.Bagi Tok Pa, mungkin jawatan beliau di Jeli lebih penting dari masa depan negara. Sebenarnya kebanyakan Menteri Kabinet mempunyai pendirian yang sama.


Tok Pa bergambar dengan keluarga penerima program baikpulih rumah, Reziki Harum, 40 di Jeli.

Rasaya, ada baiknya sekiranya Ketua UMNO Jeli itu menjawab tuduhan sebegini kerana yang dapat dilihat ialah Tok Pa berusaha sedaya upaya untuk menjadi pemimpin yang 'adil' untuk negara, UMNO Kelantan serta juga kawan Parlimennya di Jeli.

Kita tunggu apa reaksi Tok Pa selanjutnya!

DINAR, DIRHAM KELANTAN - ALTERNATIF KEPADA RINGGIT?

Mata wang syariah dinar (kiri) dan dirham pada majlis pelancarannya di Kota Bharu, semalam.

Kerajaan Pas Kelantan hari ini melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mata wang syariah tersebut boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran di sekitar bandar ini untuk transaksi perniagaan.

Beliau berkata, penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia (RM) tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.

"Mata wang syariah ini hanya pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya, tetapi ia juga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wang sendiri untuk perdagangan.

"Sejarah juga membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak tidak akan terjejas dengan inflasi sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW, harga seekor ayam kira-kira RM13, lebih kurang harga seekor ayam pada masa sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mata wang syariah, dinar dan dirham di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd., Prof. Dr. Umar Ibrahim Vadillo; Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Nik Abdul Aziz berkata, sebagai simbolik pelancaran mata wang syariah itu, gaji CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akan dibayar dengan menggunakan emas dinar.

"Buat masa sekarang kita belum ada perancangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan mata wang syariah tetapi saya amat bersetuju sekiranya usaha ke arah itu dibuat sekarang.

"Bermula tahun ini, orang ramai boleh membayar zakat dengan dinar emas dan dirham perak, sebelum ini kita tidak ada kesempatan kerana ia belum dilaksanakan lagi," katanya.

Sementara itu, Husam berkata, pengeluaran dinar dan dirham Kelantan mengikut standard piawai yang ditetapkan oleh Pengeluar Syiling Dunia Islam (Wolrd Islamic Mint).

"Dalam Islam standard telah dibuat oleh Saidina Umar iaitu satu dinar emas 22 karat iaitu 4.5 gram kenapa 22 karat bukannya 24 karat sebab ia wang yang digunakan setiap hari untuk tahan lasak dia akan tambah logam lain tetapi berat masih 4.5 gram, bagi dirham pula tujuh dirham bersamaan dengan satu dinar.

"Pengeluaran kita sebanyak RM2 juta sebelum ini telah habis dan kita akan mencetak setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.

GANGGUAN BEKALAN AIR DI TANAH MERAH

Beberapa kawasan di daerah Tanah Merah dan sekitarnya akan mengalami masalah gangguan air selama 14 hari bermula pada Ahad ini.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata, gangguan itu berikutan kerja-kerja pemasangan pam air baru di loji rawatan Air Bukit Rhemah, di Tanah Merah.

"Antara kawasan yang terlibat ialah di Bandar Tanah Merah, Jalan Jedok, Jalan Klinik, Manal, Padang Siam, Lubuk Rotan, Bukit Panau, Belimbing, Jalan Lubok, Bukit Gading, Bechah Laut, Jerangau, Temangan dan beberapa lagi kawasan sekitarnya.

"AKSB telah melantik kontraktor khas untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan pam baru di loji tersebut untuk penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna," katanya.

Hazwan berkata, gangguan bekalan air itu akan bermula pada pukul 8 malam sehingga 5 pagi keesokannya secara berlanjutan selama dua minggu dan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh 14 hari selepas kerja siap dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau meminta pengguna supaya menyimpan air secukupnya bagi mengelakkan sebarang kesulitan terutama untuk kegunaan selepas berbuka puasa dan ketika bersahur.

Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572.

UMBRO LEBARKAN PASARAN DI KELANTAN

Selepas diberi hak menjadi penaja utama pasukan bola sepak Kelantan musim ini, Umbro sekali lagi menempa sejarah apabila cuba menembusi pasaran Kelantan melalui pembukaan rasmi kedai barangan sukannya di Kota Bharu, baru-baru ini.

Kedai barangan sukan jenama Umbro yang pertama seumpamanya di Kelantan, terletak di Jalan Mahmood itu dibuka secara rasmi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pada 26 Julai lalu.

Wakil Umbro, S Muru berkata, pihak Active Sports Centre selaku pemilik kedai barangan sukan itu melabur hampir RM50,000 bagi membuka cawangannya di negeri ini.

“Kota Bharu merupakan cawangan ketiga kami di negara ini, selepas pertama dibuka di George Town dan kedua, Alor Star, Kedah,” katanya.

“Barangan sukan jenama Umbro mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak Kelantan memandangkan Umbro merupakan penaja utama kelengkapan pasukan Liga Super Kelantan musim ini.

“75 peratus barangan yang terdapat di kedai kami merupakan barangan Umbro termasuk juga kelengkapan set jersi Liga Super Kelantan yang boleh dibeli terus di kedai kami selain daripada jenama Nike, Adidas, Lotto dan Puma juga turut dijual di kedai ini," katanya.

Muru berkata, walaupun terdapat jersi tiruan di pasaran tempatan, tetapi peminat Kelantan lebih cenderung untuk mendapatkan barangan yang asli memandangkan kualitinya cukup bagus biarpun harganya sedikit mahal.

“Pihak Umbro dengan kerjasama Kafa bercadang untuk mengeluarkan jersi dengan corak baru pada musim depan, di samping itu dengan bantuan Kafa juga kita akan menaja produk Umbro untuk pemain bola sepak akademik bawah 12 dan 14 tahun pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, pengurus cawangan, Zailani Hanizam Ishak berkata, pihaknya akan mengadakan promosi jualan sempena bulan Ramadan ini bermula 15 Ogos sehingga 9 September depan.

“Pihak kami akan mengadakan promosi jualan di perkarangan kedai bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari bermula tarikh itu dengan menawarkan potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih.

“Selain itu, kita juga turut menawarkan barangan terbaru dengan harga istimewa selain daripada barangan Warriors yang turut dijual di kedai ini," katanya.

Zailani Hanizam berkata, pihaknya juga turut membuka tempahan bagi mana-mana pasukan yang bercadang membuat tempahan set jersi pasukan di kedainya.

Bagi mana-mana individu atau pasukan bola sepak yang berminat untuk membuat tempahan itu, boleh mengunjungi kedai tersebut atau menghubungi talian 09–747 7192 atau 012–407 7765 untuk berurusan.

BEKAS KETUA CAWANGAN UMNO DIPENJARA

Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam menyaksikan seorang bekas ketua cawangan UMNO dijatuhi hukuman penjara satu hari dan didenda RM10,000 atas kesalahan memberi keterangan berbeza kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Harun, 51 selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad didakwa memberi keterangan berbeza semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen 2 dekat Kota Bharu pada 16 Mac lalu kira-kira jam 2.45 petang iaitu “Anuwari datang bayar wang saya sebanyak RM400. Dia berhutang dengan saya”.

Keterangannya itu didakwa tidak selaras dengan keterangannya kepada pegawai penyiasat SPRM, Syamsul Arifin Othman pada 4 Ogos 2008 iaitu “ Encik Anuwari Muhamad telah datang ke rumah saya. Beliau telah menyerahkan wang sebanyak RM400 kepada saya. Saya tidak tahu dari mana dia mendapat wang tersebut. Tujuan wang tersebut diserahkan adalah untuk diagihkan kepada Ketua-Ketua UMNO cawangan”.

Atas kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohamad yang diwakili peguam Zahari Kechik kemudiannya memohon kepada mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya itu.

Zahari berkata, tertuduh sekarang berusia 51 tahun, telah berkahwin dan mempunyai 10 anak.

“Daripada 10 anaknya itu, tujuh masih lagi bersekolah. Tertuduh (Mohamad) sekarang mengusahakan kedai runcit di rumahnya dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

“Buat masa sekarang, tertuduh boleh dikatakan aktif dalam politik kerana pernah memegang jawatan sebagai ketua cawangan dalam sebuah parti politik,” katanya.

Selain itu, Zahari berkata, pengakuan salah yang dibuat tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah untuk meneruskan perbicaraan kes-kes lain.

“Tertuduh juga telah sedar akan kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan seperti itu lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Siti Zakiah Che Man pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.

“Dalam kes ini, tertuduh telah membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi dan tertuduh tahu implikasi atau risiko yang akan diterima atas pengakuan tersebut.

“Saya mohon hukuman sewajarnya dikenakan kerana sikap sesetengah pihak yang beginilah menyebabkan pihak SPRM menghadapi masalah di mahkamah sekali gus menjejaskan kes-kes SPRM,” katanya.

Menurutnya, kesan dan akibat daripada tindakan tertuduh memberi keterangan di mahkamah yang tidak selaras dengan kenyataannya kepada pihak SPRM mengakibatkan persepsi masyarakat mengatakan pihak SPRM hanya menjalankan kes-kes terpilih sahaja.

“Walaupun pada hakikatnya, SPRM sebenarnya menghadapi masalah dengan saksi-saksi sebegini,” katanya.

Rofiah semasa membacakan keputusan penghakimannya berkata, setelah mahkamah mempertimbangkan semua rayuan peguam bela tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah jatuhkan hukuman penjara satu hari berkuat kuasa semalam dan denda RM10,000 ke atas tertuduh.

“Jika denda tersebut tidak dibayar, tertuduh akan dipenjara selama dua tahun,” katanya.