Saturday, February 11, 2012

Kelantan Sekat Peneroka Felda Rasai Nikmat FGVH

Tindakan kerajaan Kelantan untuk tidak menyerahkan tanah di negeri itu yang kini diusahakan oleh Felda untuk disenaraikan di Bursa Malaysia melalui Felda Global Ventures Holdings (FGVH) adalah keputusan yang merugikan peneroka Felda di Kelantan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya menentang keras usaha penyenaraian FGVH kerana ia lebih bermotifkan politik demi kepentingan Barisan Nasional (BN) khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU-13).

Tak apalah, demi untuk menjauhkan orang Kelantan dari UMNO dan Barisan Nasional serta menyekat orang miskin menumpang sama keuntungan daripada FGVH, Kerajaan PAS khususnya Husam boleh buat saja.

Kerana takut rakyat rasa senang dengan adanya FGVH, kerajaan Kelantan sanggup menggadaikan masa depan rakyat untuk kepentingan politik PAS.

Pada ketika pemimpin PAS kaya raya, rakyat akan dibiarkan berterusan miskin dan menjadi peneroka yang bergantung kepada punca lama sedangkan FGVH akan membuka ruang untuk rakyat merasai dividennya.

Kata Husam, “Apa yang difahamkan usaha penyenaraian tersebut dilakukan demi menambah dana tabung Umno bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama.”

Beliau menyatakannya selepas majlis perasmian Seminar 3 Dekad Pas Kelantan di Pondok Pasir Tumbuh semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan cadangan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia ketika membentangkan Bajet 2012 Oktober lalu.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang diketuai Mazlan Aliman mengadakan pelbagai bantahan bagi menghalang tanah milik peneroka dijadikan sandaran.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini bercadang mengambil alih Felda Plantations Sdn Bhd untuk dimasukkan peneroka baru.

Tanah yang diluluskan Kerajaan Negeri di Gua Musang terbahagi kepada dua kategori iaitu dilulus hak milik kepada peneroka dan dibangunkan Felda Plantations Sdn Bhd.

Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, usaha dilakukan Felda kini jelas mahu mengkhianati orang Melayu yang kini menjadi aset kerajaan di kawasan Felda.

“Sepatutnya kerajaan mengadakan program penjelasan secara telus bagi membolehkan orang ramai faham tujuan penyenaraian tersebut,” katanya.

Laporan media semalam menyebut, semua butiran yang diperlukan bagi menyenaraikan FVGH di Bursa Malaysia dijangka diserahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk penilaian minggu depan.

Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad berkata, keperluan itu yang kini dalam proses akhir penyediaannya meliputi perkara-perkara berkaitan perjanjian tanah, rekod lampau syarikat dan keuntungan syarikat.

"Semua keperluan tersebut yang diperlukan oleh SC sudah disediakan dan akan diserahkan pada minggu depan dan jika semuanya berjalan lancar, pertengahan bulan Mei kita akan dapat menyenaraikan FVGH di Bursa Malaysia," katanya.

Isa berkata, penstrukturan saham juga sudah hampir selesai di mana Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan terus menjadi pemegang saham terbesar manakala syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja turut ditawarkan saham.

Rakyat lebih khusus peneroka Felda yang disekat peluang lama kelamaan akan tahu siapa sebenarnya yang menekan rakyat.

Tunggulah, apabila dividen keluar, peneroka Felda Kelantan akan melopong tetapi pemimpin PAS tetap dengan kesenangan dan kekayaan mereka.