Friday, February 10, 2017

Diancam Senasib Sarawak Report, Husam Tidak Berganjak

Husam pada ceramah di Selising.
Diancam saman dan digambarkan berdepan dengan nasib seperti Sarawak Report, hari ini bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa tampil memberi penegasan.

Kata ADUN Salor itu, beliau akan mempertahankan apa yang diucapkannya semasa berceramah di Selising, Pasir Puteh pada 6 Februari lalu.

"Tindakan mahkamah mungkin satu cara untuk membuktikan kebenaran isu berbangkit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peguam parti itu sedang meneliti kenyataan dibuat Husam mengengai isu dana RM90 juta yang dikaitkan dengan parti berkenaan.

Kata Tuan Ibrahim, kenyataan Husam itu adalah 'tuduhan jahat' dan "fitnah.

Saman ke atas Husam itu, katanya, akan dikemukakan dalam masa terdekat.

Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.
Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Semalam Tuan Ibrahim berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini.

Katanya, PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat Datuk Husam Musa" bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

"PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Husam) sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report," katanya.

Husam berkata beliau menganggap kenyataan Tuan Ibrahim semalam dibuat tanpa penelitian.

"Kemungkinan beliau tidak tahu hujung pangkal isu berbangkit," katanya.

Husam juga berkata, beliau tidak pasti sama ada kenyataan Tuan Ibrahim mengenai tindakan mahkamah ke atasnya itu adalah bersifat peribadi atau pendirian rasmi PAS.

Isu dana RM90 juta itu mula ditimbulkan oleh laman sesawang Sarawak Reportyang sebelum ini giat membuat laporan mengenai salah laku yang dikaitkannya dengan kerajaan.


Ia disiarkan pada Ogos 2016.