Saturday, June 4, 2016

RUU - 'Sumbangan Terbesar Hadi' Mungkin Hanya Separuh Jalan Atau Berkecai...


Lambunglah tinggi-tingggi selagi boleh.

Jangan sampai jatuh sudah. Kalau tergolek bangun sendiri.

PAS Kelantan menyifatkan Rang Undang-undang Persendirian Akta 355 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini merupakan sumbangannya paling besar sebagai presiden parti itu.

Perwakilan Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh berkata, rakyat Kelantan amat berbangga dengan pembentangan RUU kerana mereka telah menunggu tindakan tersebut sejak sekian lama.

Pada 26 Mei lalu, Abdul Hadi membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kemudiannya mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Ia baru usul, belum lagi menjadi suatu rang undang-undang untuk dibentangkan baca bacaan kali kedua.

Malah, kalau usul itu tersekat di jalan, bagaimana? Apakah itu kejayaan?

Siapa pula yang akan PAS persalahkan.

PAS memerlukan sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadikannya suatu Rang undang-undang yang boleh dibentangkan untuk diperbahaskan seterusnya.

Jika diteliti baik-baik, kenapa Hadi membiarkannya untuk dibahaskan pada Oktober? Kalau dibahaskan segera, ia mungkin sangkut.

Lihat sahaja penentangan daripada parti komponen BN dan DAP. PKR belum pasti menyokong rang undang-undang berkenaan apabila dibacakan untuk kali kedua.

Bagi PAS Kelantan, ia seolah-olah sesuatu yang seperti sudah diperingkat pembentukan rang undang-undang dan melihatnya menjadi kebanggaan buat umat Islam, rakyat Kelantan dan seluruh anggota PAS.

"Saya boleh bayangkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Mursyidul Am PAS) kalau masih hidup, bagaimana seronoknya Allahyarham mendapat tahu Rang Undang-Undang ini boleh dibentangkan.

"Ini adalah satu kejayaan dan sumbangan Yang Berhormat Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi) yang paling besar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar Presiden PAS di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat Kota Bharu, Khamis (2 Jun 2016).

Sehubungan itu, Wan Ismail menggesa semua umat Islam khususnya anggota PAS supaya memperjuangkan RUU berkenaan

Namun, seperti disebut oleh blog hambali1, UMNO dan BN mungkin tidak mudah melepaskan untuk PAS dan Hadi mendapat kredit atau kelebihan setelah sedar mereka telah mengambil  langkah salah dan perlu bertanggungjawab.

Jika Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) atau RUU 335 tersangat penting, kenapa pula beri Presiden PAS itu untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat?

Sedangkan hakikatnya, usaha meminda Akta 355 itu adalah usaha kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada.

Ia diharap akan berubah  kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf di dalam Islam.

Usaha ini wajar disokong dan sudah pasti selain menegakkan Islam, ia membawa kelebihan atau milage kepada UMNO selepas menjelaskan tujuan murni itu kepada parti komponen BN.

Sebaliknya, kenapa pula UMNO mahu menghadiahkan milage itu kepada PAS dan Hadi?

Kita lihat nanti sejauh mana usul ini akan dibahaskan dan apakah UMNO dan BN membiarkan PAS dan Hadi mendapat milage daripadanya.

Buailah tinggi-tinggi, jangan sampai tali buaian putus sudahlah.

Jangan selepas ini PAS menyalahkan semua pihak apabila usulnya tersekat di tengah jalan atau diambil kembali oleh UMNO dan BN!

Kerjasama JPAM, Kolej Komuniti Tingkatkan Perkhidmatan Kepada Masyarakat


Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada dalam siap siaga untuk menghadapi kesan fenomena La Nina atau hujan lebat luar biasa yang mungkin dihadapi seluruh negara.

Ketua Pengarah, Datuk Ogu Salim Omar, berkata pihaknya sudah bersedia dari segi peralatan dan kelengkapan sebagai persediaan menghadapi banjir.

"Setiap peralatan dan jentera sentiasa diperiksa dan diselenggara selain penambahan dari segi lori dan bot untuk kegunaan anggota bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

"Selain penambahan peralatan, kami akan menambahkan anggota sukarelawan di setiap negeri sebagai satu usaha mencukupi tenaga jika berlaku kecemasan dan waktu getir.

"Jika bilangan peralatan dan jentera tidak mencukupi di Kelantan, kami akan meminta jentera di negeri lain untuk membantu bagi melancarkan proses bantuan kecemasan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Bersekutu PISPA Kolej Komuniti Kelantan/Terengganu dan Penganugerahan Pingat JPAM Kelantan di Kota Bharu, kelmarin (2 Jun 2016).

 Yang turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru, Leftenan Kolonel (PA) Sharihan Shahidan dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (KPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Amir Md Noor.

Ogu Salim berkata, majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada 29 anggota sukarelawan yang berkhidmat dengan JPAM dan pada masa sama membuka kerjasama dengan universiti awam dalam menyediakan anggota sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

"Kami membuka keahlian sebagai satu cara menambahkan anggota sukarelawan yang mahir untuk menyelenggara jentera dan peralatan ketika kecemasan," katanya.


Sementara itu, kerjasama JPAM dengan kolej komuniti di seluruh negara mampu menambah baik perkhidmatannya kepada masyarakat.
Ogu Salim berkata kerjasama dari segi tenaga dan kepakaran itu menjadi platform bagi JPAM menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya ketika menghadapi bencana alam dan kemalangan.

"Kolej komuniti mempunyai kepakaran antaranya dalam bidang kejuruteraan dan automobil, kami boleh mendapatkan bantuan kepakaran mereka itu bagi memberikan pertolongan kepada mangsa, ‘ katanya.