Monday, July 12, 2010

PENGUNDI REMAJA PENENTU KEMENANGAN BN

Dalam memberikan amaran mengenai kemenangan Barisan Nasional berada di tangan pengundi remaja, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang mempunyai tanggapan positif terhadap kepimpinan negara yang ada sekarang.

Beliau meluahkan kebimbangan bahawa kelewatan BN bertindak akan memberi peluang pembangkang memonopoli remaja cukup umur yang menjadi pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, golongan remaja yang berjumlah lebih 4 juta di negara ini memberi peluang cerah kepada BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-13, jika gerakan secara besar-besaran dilancarkan bagi mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

"Ini adalah peluang terbaik untuk kita memenangi pilihan raya umum akan datang, kerana jumlah yang ramai itu sudah tentu mengembalikan kekuatan untuk berdepan dengan pembangkang yang tidak kurang kuatnya," katanya.

Beliau menyatakan demikian merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Gua Musang di Dewan Bukit Chekati semalam,

Laporan Bernama menyebut, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang turut meluahkan kebimbangan mengenai kekuatan Umno sekiranya ada di kalangan ahli parti tidak memahami asas perjuangannya.

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meminta Umno dan parti komponen BN memperhebatkan gerakan mendaftar pemilih baru di kalangan generasi muda yangmasih ramai belum berbuat demikian.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh yakin kepimpinan yang ada sekarang, khususnya di peringkat pusat, mampu memulihkan keadaan itu berdasarkan perubahan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

"Namun demikian, kita sebagai ahli Umno perlu menghayati perjuangan demi membela bangsa, agama dan negara untuk melahirkan sebuah negara yang mampu berdepan dengan sebarang cabaran.

"Kita juga perlu mengambil iktibar daripada kekalahan lima negeri yang jatuh kepada tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu, untuk bekerja lebih kuat bagi merampas semula negeri terbabit dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tengku Razaleigh berkata tidak ada sebab kelima-lima negeri tersebut tidak boleh ditawan semula kerana BN adalah sebuah parti yang kuat dan belum pernah tewas dengan mudah di tangan pembangkang.

'MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI DI KB

Teater satira "Menang Sorak Kampung Tergadai" akan dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di sini selama dua hari mulai 20 Julai ini.

Ia berkisar pada kisah watak malang dalam cerita penglipur lara Melayu iaitu Pak Kaduk, yang dipentaskan sempena ulang tahun ke-54 penubuhan DBP Wilayah Timur.

Ia merupakan hasil karya Zack Zaidin dan olahan skrip oleh Hassan Jali dengan menampilkan bakat tempatan seperti Abdul Hadi Yusoff, Husain Ismail, Dr Raja Azman Raja Awang di samping pelakon undangan iaitu penyanyi lagu rakyat terkenal Roslan Madun untuk memegang watak utama.

"Inilah pertama kali kami persembahkan pementasan teater bercorak satira untuk peminat-peminat teater di negeri ini," kata Pengarah DBP wilayah itu, Mohamad Yussop Ishak.

"Yang menarik ialah kesemua pelakonnya adalah lelaki. Ia sebagai menghormati peraturan di bawah Enakmen Hiburan Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan penglibatan pelakon wanita dalam persembahan drama atau teater.

"Bagaimanapun untuk menghidupkan persembahannya, kita hanya akan menggunakan suara latar wanita di belakang tabir," jelasnya.

Menurutnya ketika ini pihaknya sedang menjalani latihan di bawah Aziz Mohd Noor dan Mahmud Ismail serta pengurus projek merangkap Ketua Unit Sastera DBP Wilayah Timur, Shahrul Rizal.

"Beberapa fragmen dalam cerita Pak Kaduk akan diangkat dan diselang-selikan dengan situasi semasa yang secara umumnya merupakan suatu kritikan sosial kepada masyarakat hari ini yang terlalu ghairah mengejar kemewahan sehingga terlupa dengan dosa dan sanggup menggadai maruah sendiri," katanya.

Mohamad Yussop berkata naskhah "Menang Sorak Kampung Tergadai" dijalin dengan beberapa persembahan tradisional seperti Tok Selampit dan lagu rakyat di di samping turut dimasukkan elemen moden seperti deklamasi puisi.

Pas percuma untuk menonton teater ini boleh diperolehi di Pejabat DBP Wilayah Timur di Jalan Abdul Kadir Adabi di sini atau menghubungi talian 09-7414900 atau 09-7414906.

NEGARA ISLAM...HANYA JIKA PAS & UMNO BERSATU

Cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan jika PAS dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Lokman
Nor Adam berkata cita-cita PAS merealisasikan hasrat itu akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan Umno berbanding dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, kedua-dua parti pakatan pembangkang itu ternyata mempunyai dasar perjuangan yang berbeza, di mana DAP jelas menolak Islam, manakala PKR adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin.

"Sebab itu tiada sebab PAS tidak menyahut salam Umno untuk berbaik-baik dan melupakan sejarah hitam menyebabkan kedua-dua parti itu berpecah daripada gabungan dalam Barisan Nasional (BN) pada 1977.

"Jika UMNO dan PAS bekerjasama banyak perkara boleh direalisasikan, termasuk melaksanakan hukum hudud, berbanding dengan tindakannya bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza," katanya pada majlis Wacana Perdana di Balai Islam, Lundang, di Kota Bharu, semalam.

Wacana yang lebih berbentuk debat terbuka antara kedua-dua parti terbesar PAS dan UMNO itu sedikit tercemar oleh sikap penonton yang mengejek sesetengah ahli panel.

Turut diundang menganggotai panel ialah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin; Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Mujahid Yusoff Rawa dan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mohd Affandi Yusoff.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff menjadi moderator wacana yang bertajuk "Bolehkah Melayu Bersatu?". Kira-kira 3,000 penyokong kedua-dua parti itu hadir pada majlis itu.

Lokman yang sebelum ini bekas anggota PKR, berpendapat PAS tidak mungkin dapat menubuhkan negara Islam seperti yang diharapkan kerana tidak mempunyai kuasa yang cukup dua pertiga di Parlimen jika tidak bersatu dengan Umno yang mempunyai suara majoriti orang Melayu dan Islam.

Sementara itu, Dr Mohd Asri berpendapat, bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna selagi ia tidak diasaskan kepada bersatu dalam erti kata menegakkan wadah perjuangan Islam yang sebenar.

"Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan dalam erti kata sebenar, buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam," katanya.