Tuesday, November 3, 2015

Md Alwi - Bukan Salah Ahmad Yakob Tetapi Salah Pentadbiran Terdahulu…


Dengan nada lembut tetapi tegas, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) meminta Kerajaan Kelantan memperbetulkan kelemahan pentadbiran yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu.

Siapa yang terdahulu daripada pentadbiran kerajaan PAS Kelantan sekarang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, yang dimaksudkan oleh Md Alwi?
 
Semua tahu – Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan ‘orang kuat beliau’ termasuklah Datuk Husam Musa.
  
Kata Md Alwi: “Saya minta Menteri Besar perbetulkan (perkara ini) kerana ia bukan salah beliau, tapi salah pentadbiran terdahulu.”

Begitu diplomatik dan tidak menyalahkan ‘membabi-buta’ terhadap kepimpinan sekarang tetapi apa juga kesan dan kegagalan lalu terpaksa dipikul oleh kepimpinan sekarang.

ADUN BN itu merujuk kepada kenyataan Ahmad Yakob ketika membentangkan bajet itu yang berkata kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil berjumlah RM593.80 juta pada tahun hadapan, manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan sebanyak RM639.41 juta

Bajet 2016 yang dibentangkan hari ini  adalah defisit RM45.61 juta berbanding defisit RM70.69 juta dalam bajet tahun lepas.

Md Alwi berkata beliau meneliti bajet yang dibentangkan sejak tiga tahun lepas dan mendapati anggaran perbelanjaan adalah tinggi, namun capaian terhadap perbelanjaan pula adalah rendah.

Katanya, penguatkuasaan kutipan terhadap GLC kerajaan negeri langsung tiada walaupun ada dalam unjuran sebelum ini.


Membahaskan Bajet 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini beliau menegaskan, Kelantan sepatutnya tak ada defisit kerana ada bantuan daripada kerajaan Persekutuan serta (unjuran) hasil yang diperoleh adalah tinggi.

Md Alwi berkata antara contoh kegagalan penguatkuasaan kutipan adalah terhadap syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sawit apabila kerajaan negeri menetapkan kutipan dalam Bajet 2015 adalah sebanyak RM10 juta.

"Bagaimanapun tiada sebarang kutipan dilakukan. Kes sama juga berlaku kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," katanya.

Beliau turut menyentuh teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 mengenai kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan syarikat pelaburan Kelantan Gold Trade (KGT) Sdn Bhd yang telah mengalami kerugian sebelum cukai yang meningkat kepada RM0.67 juta.

"Keuntungan sebelum cukai KGT menurun kepada RM2,556,000 iaitu turun 100 peratus daripada RM25 juta pada 2011, manakala kerugian sebelum cukai meningkat sejumlah 0.63 juta atau 3,753.1 peratus.

Berikutan itu, beliau yakin kerajaan Kelantan boleh mengurangkan defisit RM45.61 juta dalam Bajet 2016 jika menguatkuasakan kutipan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri.

Dengan sifat pembangkang BN yang tidak menuduh sembarangan kepada kepimpinan sekarang, pemimpin PAS Kelantan sewajarnya sedar bahawa BN bukan parti yang suka atau gemar menuding jari dan membuat tuduhan melulu semata-mata.

Ahmad Yakob ketika membentangkan bajet di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, berkata anggaran hasil 2016 ialah sebanyak RM593.80 juta menunjukkan peningkatan hasil berbanding anggaran hasil 2015 berjumlah RM530.83 juta yang dianggarkan dapat menampung sebahagian kenaikan perbelanjaan mengurus menyebabkan penurunan anggaran defisit pada 2016 berbanding 2015.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Negeri berkata anggaran hasil negeri pada tahun depan dijangka sebanyak RM593.80 juta, meliputi hasil cukai sebanyak RM163.49 juta, hasil bukan cukai (RM289.45 juta) dan terimaan bukan hasil (RM140.86 juta).

Jumlah  itu menunjukkan peningkatan hasil sebanyak RM62.97 juta (11.86%) berbanding anggaran hasil 2015 berjumlah RM530.83 juta.

"Hasil hutan merupakan penyumbang terbesar dengan jumlah RM172.96 juta atau 29.12% daripada keseluruhan hasil, menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.05 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan 2015 sebanyak RM114.91 juta.

"Peningkatan ini adalah anggaran bayaran perdagangan karbon yang dijangka dapat dikutip sebanyak RM50 juta apabila kerajaan negeri secara dasarnya sudah meluluskan hasil berkenaan," katanya.
Katanya hasil hutan yang lain, iaitu kayu-kayan akan menyumbang sebanyak RM30 juta, bayaran jabatan hutan (RM20 juta), permit lesen perhutanan (RM1 juta) dan premium perhutanan (RM70 juta).

"Penyumbang hasil kedua terbesar pula adalah hasil tanah berjumlah RM136.98 juta atau 23.07%, meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM42.2 juta, premium tanah (RM47.20 juta), bayaran pendaftaran (RM7.22 juta) serta notis dan denda lewat bayar cukai (RM6.73 juta).

"Manakala terimaan daripada agensi kerajaan menyumbang sejumlah RM112.40 juta atau 18.93%, terimaan lain-lain sebanyak RM87.88 juta (14.80%), hasil perlombongan sebanyak RM62.50 juta (10.53%), hasil air sebanyak RM13 juta (2.19%), hasil pelaburan sebanyak RM4.76 juta (0.80%) dan hasil rumah awam kos rendah sebanyak RM3.34 juta (0.56%) daripada keseluruhan jumlah hasil 2016," katanya.

Ahmad berkata, bagi anggaran perbelanjaan mengurus 2016 pula berjumlah RM639.41 juta berbanding RM601.51 juta pada 2015, meningkat sebanyak RM37.9 juta (6.30%), merangkumi perbelanjaan tanggungan (24.14 juta) dan perbelanjaan bekalan (RM615.27 juta).

"Dari jumlah tersebut, RM331.19 juta (51.80%) adalah untuk pemberian dan kenaan tetap, RM185.63 juta (29.03%) untuk emolumen, RM100.87 juta (15.77%) bagi perkhidmatan dan bekalan, RM19.51 juta (3.05%) untuk aset dan RM2.21 juta (0.35%) untuk lain-lain perbelanjaan," katanya.

"Peruntukan pembangunan bagi 2016 pula berjumlah RM277.22 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri termasuk RM90 juta daripada sumber pinjaman," katanya.

Ahmad berkata bagi memperkasakan pembangunan insan berteraskan Islam, kerajaan negeri memperuntukan RM6.51 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan untuk melaksanakan pelbagai program seperti aktiviti dakwah dan kursus bina insan.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukan RM78 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan peruntukan RM21.1 juta kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan untuk memperluaskan sistem rangkaian jalan negeri.

Kerajaan negeri memperuntukan RM2.36 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri, RM2.5 juta untuk Program Usahawan Berdikari manakala RM9 juta kepada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembangunan perumahan awam mampu milik.


Kerajaan negeri turut memperuntukan RM5.5 juta di bawah program pembangunan keluarga dan wanita termasuk sumbangan kepada orang kelainan upaya (OKU), manakala sebanyak RM3.6 juta diperuntukan bagi program pembangunan pelancongan dan kebudayaan.