Monday, June 18, 2012
"Saya Kerja Untuk Rakyat, Bukan Kejar Nama' - Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata semua usaha yang dilakukannya di Kelantan adalah demi melihat negeri itu membangun dan sekaligus memanfaatkan rakyatnya.
"Saya buat kerja untuk rakyat. Saya sudah memegang beberapa jawatan menteri sebelum ini dan apa yang saya lakukan (pembangunan) di Kelantan bukan untuk mengejar nama.
"Saya tidak kisah apa pun label yang diletakkan kepada saya tetapi saya mahu lihat Kelantan membangun dan tidak terpinggir dan membuktikan kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustafa.
Mustapa diminta mengulas label rakyat Kelantan terhadapnya sebagai "Bapa Pembangunan Kelantan" yang berperanan besar membawa pembangunan ke negeri ini.
Sehingga kini, Mustapa antara lain membawa enam pembinaan pejabat agensi kerajaan Pusat di Tunjong di sini termasuk Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan itu yang kesemuanya bernilai RM250 juta.
Selain itu, Mustapa juga mengubah Jeli iaitu kawasan Parlimen yang diwakilinya sehingga menjadi bandar maju termasuk cawangan Universiti Malaysia Kelantan serta pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua dengan kos RM150 juta yang boleh digunakan pada Ogos ini.
Ketika menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapa telah membawa pembinaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini yang berharga RM140 juta.
Berikutan itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, meminta rakyat Kelantan supaya mengembalikan pemerintahan negeri ini kepada Barisan Nasional untuk membolehkan lebih banyak pembangunan dilakukan.
Subscribe to:
Posts (Atom)