Wednesday, November 23, 2016

Hubungan Akrab Ibrahim Ali, Dr Mahathir Sudah Berakhir?


Siapa tidak kenal dengan Datuk Ibrahim Ali?

Ibrahim pernah tiga kali jadi Ahli Parlimen Pasir Mas iaitu menang pada 1986 atas tiket UMNO, 1990 atas tiket Parti Melayu Semangat 46 (S-46) dan 2008 atas tiket PAS.

Keahliannya dalam parti ialah menyertai  BERJASA antara 1978 hingga 1981, kemudian UMNO sehingga 1988, S-46 antara 1988 hingga 1991, kembali kepada UMNO antara 1991 dan 2003,  kemudian BEBAS sejak 2003 hingga sekarang.

Beliau bagaimanapun bertanding sebagai calon PAS di Parlimen Pasir Mas pada 2008.

Ibrahim memilih jalan politik untuk kepentingannya pada setiap pilihan raya. Kerana itu dia pernah bertanding atas tiket BERJASA, atas tiket UMNO dan juga atas tiket PAS.

Ibrahim akan berubah warna mengikut keadaan.

Bagaimanapun, sejak lebih dua dekad lalu, walaupun Ibrahim tidak khusus kepada satu-satu parti politik, dia dilihat sebagai penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menjadi ‘pelindung kepada Ibrahim’, terutamanya dalam soal membabitkan kedudukan ekonomi beliau.

Bukan rahsia lagi, semua orang tahu terutamanya penduduk di Pasir Mas dan Kelantan.

Namun kini apakah hubungan rapat antara Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berakhir?

Bagaimana kedudukan Dr Mahathir sebagai penaung PERKASA?

Nampak gayanya hubungan itu mungkin akan tamat serta merta dan Ibrahim boleh membawa haluan sendiri mendekati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.



Kalaupun Ibrahim ‘berlembut’ dalam kenyataannya hari ini atau mungkin juga lebih keras, hubungan akrab itu tidak mungkin akan terbentuk semula seperti sebelum ini.

Apalagi Ibrahim kini dilihat menyokong kuat Perdan Menteri. Sudah pasti pemimpin dan penyokong UMNO akan bertepuk tangan kerana PERKASA kini di pihak mereka.

Strategi mereka memecahkan kem Ibrahim Ali daripada Dr Mahathir kini berjaya.

Najib pasti tahu bagaimana mahu ‘memujuk Ibrahim’. Caranya mungkin seperti bagaimana Dr Mahathir lakukan terhadap Ibrahim sebelum ini.

Semua orang tahu apa yang Ibrahim dapat daripada Dr Mahathir dana pa yang Dr Mahathir tolong beliau.

Kini hubungan rapat itu sudah berakhir semuanya gara-gara Presiden PERKASA itu  menegaskan menentang DAP pada ucapan dasarnya ketika Persidangan Agung Tahunan Ke-7 PERKASA 2016 di Stadium Mini Titiwangsa.

Selain itu benarkah bekas Perdana Menteri itu penaung PERKASA? Aatau ia hanya digembar-gemburkan oleh Ibrahim semata-mata untuk orang Melayu menyokong pergerakannya?

Semalam Dr Mahathir menafikan secara rasmi pernah menjadi penaung PERKASA.

Kenyataan Ibrahim pada 20 November 2016 lalu, bahawa NGO itu tidak memusuhi kaum Cina sebaliknya menentang DAP hanya kerana sikap parti itu yang cauvanis pastinya mengguris hati Dr Mahathir yang selama ini dilihat sebagai ‘pelindung Ibrahim dalam banyak perkara’.

Kerana itulah mungkin Dr Mahathir sanggup berkata bahawa beliau malu menyebut bahawa Presiden PERKASA itu adalah kawannya.

Malah secara terang Dr Mahathir menegaskan Ibrahim enggan menyertai BERSATU kerana parti Dr Mahathir, Parti Pribumi Nersatu Malaysia (PPBM) berkawan dengan DAP.

Ibrahim sebelum ini mendakwa bahawa DAP adalah "jahat", tetapi jika dibandingkan DAP dengan MCA, siapa sebenarnya lebih jahat.

“Saya perlu tegaskan di sini, anti-DAP bukannya anti-Cina. Saya tentang DAP bukan kerana DAP dipimpin oleh keturunan Cina. Saya menentang DAP kerana sikap, pendirian dan kerenah DAP yang cauvanis.

“Saya harap Malaysia faham dan jelas akan hal ini. Saya hormati keturunan Cina kerana mereka ralyat Malaysia yang sah, kerana mereka memiliki hak-hak yang sah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak pernah anti-Cina,” tegas Ibrahim.



Ibrahim berkata antara sebab lain beliau dan PERKASA menolak DAP kerana parti itu menentang usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 (RUU355).

Dengan  tindakan DAP itu menunjukkan seolah-olah memberi gambaran DAP berhak menentukan perjalanan hal ehwal orang Islam di negara ini.

“Saya tentang DAP habis-habisan misalnya bangkangan DAP dan senada dengannya kepada RUU355 memberikan gambaran seolah-olah DAP berhak menentukan perjalanan hal ehwal orang Islam di Malaysia.

“Tapi, bila ada keturunan Cina mempersoalkan azan yang kuat di masjid atau surau, umat Islam membuat laporan polis mengenainya DAP dan senada dengannya hanya berpeluk tubuh dan diam seribu bahasa,” katanya.

Sebaliknya Dr Mahathir mempertahankan DAP bahawa parti itu secara terbuka mengisytiharkan bahawa mereka menghormati perlembagaan, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara dan sebagainya.

Adakah MCA atau MIC pernah melakukan perkara yang sama, soal Dr Mahathir.

Pada  satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam, Dr Mahathir berkata keputusan Ibrahim untuk meletakkan 50 calon bebas mewakili kumpulan pendesak Melayu itu pada pilihan raya umum akan datang bermakna bahawa Ibrahim bekerja untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 “Dia bekerja untuk Datuk Seri Najib. Sebab dia tau kalau lebih daripada pertandingan satu lawan satu, Najib akan menang. Jadi dia berusaha supaya Najib menang

“Dia pura-pura berjuang untuk orang Melayu, tak boleh cakap dengan DAP. Tapi dia sanggup bekerja dengan Najib, dia sanggup sokong orang yang curi duit,” kata Mahathir.

Ibrahim pada Ahad lalu mengumumkan PERKASA merancang untuk meletakkan 50 calon pada pilihan raya umum akan datang, termasuk dirinya.

PERKASA  tidak akan menggunakan platform parti politik sebaliknya hanya bergerak sebagai NGO kerana mahu bertindak di luar radar politik tempatan.


Ibrahim akan mengadakan sidang akhbar hari ini  untuk menjawab ulasan Dr Mahathir itu.