Monday, November 1, 2010

GALAS - PENGUNDIAN POS SELESAI

Anggota polis melakukan kewajipan undi pos di Ibu Pejabat Daerah Gua Musang, hari ini.

Proses pengundian pos bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas selesai pada Isnin dengan sebahagian besar daripada 177 pengundi pos telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pengundi pos yang terdiri daripada anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang manakala 50 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengundi di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata hanya sebilangan kecil yang tidak mengundi termasuk yang sedang menunaikan fardhu haji.

Daripada jumlah anggota polis terbabit, 22 orang bertugas di luar daerah, katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat mengundi di Dewan Latihan Ibupejabat Polis Daerah Gua Musang hari ini.

Beliau berkata undi anggota terbabit akan diperoleh selewat-lewatnya esok sebelum disimpan di IPD berkenaan sehingga pengiraan undi pada Khamis ini, iaitu hari mengundi.

LADANG RAKYAT - TANAH WARISAN ORANG ASLI TERGADAI

Gambar daripada semuthitam

Dulunya, hutan sekeliling kampung adalah tempat Anjung a/l Singang memburu landak, memungut buah perah dan petai mahupun menangkap ikan kelah di anak sungai yang jernih airnya.

Hutan itu, yang ibarat syurga bagi Anjung, 40, dan lebih 40 penduduk kampung Orang Asli suku Temiar di Pos Hendrope, kini menanti musnah dek angkara pembangunan yang dilakukan atas nama Ladang Rakyat.

"Mereka (kerajaan PAS Kelantan) kata nak buat ladang rakyat sebab nak bantu Orang Asli dan bagi RM200 sebulan, tetapi bukan semua kita yang terlibat, hanya seorang dua yang terpilih, yang lain semua orang luar.

"Begitukah mahu bantu rakyat, tanah kami tergadai, kawasan kami diceroboh akhir sekali kebajikan kami terabai," katanya.

Katanya selama ini mereka amat dahagakan pembangunan dan selalu mengharapkan kerajaan PAS Kelantan turun padang untuk meninjau sendiri permasalahan mereka dengan lebih dekat.

Namun ia hanya tinggal harapan kerana pemimpin yang dipilih tidak pernah menjenguk muka, jauh sekali mengambil berat tentang permasalahan yang mereka hadapi ekoran pencerobohan hutan di kawasan tanah warisan mereka.

"Sudahlah tanah kami diceroboh, kebajikan kami juga tidak dijaga. Bekalan air dan elektrik yang kami dapatkan sekarang pun semuanya sebab bantuan kerajaan Pusat," katanya.

Bagi Kamal a/l Alek, 25, dari Pos Balar pula, perit sekali baginya membayangkan tiada lagi rimbunan buluh dan sumber hutan lain akibat berleluasanya kegiatan pembalakan di kawasan Lojing.

"Habis bukit-bukit diratakan, pokok-pokok hijau ditebang diganti dengan ladang kelapa sawit. Pokok-pokok buluh yang tumbuh meliar pun dipotong.

"Kalau habis pokok buluh selepas ini, kami nak (tarian) sewang pakai apa? Takkan nak guna kelapa sawit untuk buat sewang," katanya.

Menurutnya sejak ladang rakyat diperkenalkan, banyak tanah adat, tanah tradisi dan tanah kubur diteroka dengan rakus oleh "orang luar" bagi tujuan pembalakan dan ladang rakyat.

"Apabila kami tanya kenapa tanah kami diceroboh, pembalak bagi tahu mereka dah membelinya daripada kerajaan negeri. Habis...hak kami yang selama ini yang berpuluh tahun duduk di situ mana?

"Jadi kami berharap sangat kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat membantu memperjuangkan hak Orang Asli daripada terus teraniaya," katanya semasa lawatan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Tengku Razaleigh Hamzah di Pos Balar baru-baru ini.

Katanya kebanyakan pekerja ladang rakyat terdiri daripada rakyat asing dan ini sekaligus menutup peluang pekerjaan kepada Orang Asli terutama kalangan belia.

Sementara itu, bagi penghulu Pos Balar Long Busu, 80, sudah sampai masanya penerokaan hutan secara berluasa itu dihentikan segera oleh kerajaan PAS Kelantan.

Malah, katanya mereka wajar diberikan hak pemilikan tanah untuk mengekalkan tanah warisan serta tanah adat mereka sekaligus membolehkan mereka mewariskannya kepada generasi akan datang.

"Kita duduk di sini telah lama sejak zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman lagi. Selama ini aman...nak cari buah hutan pun senang untuk makan.

"Tetapi keadaan sekarang sudah jauh berbeza. Kalau berterusan tanah kami diganggu, lebih baik kami masuk hutan terus, anak-anak tidak payah sekolah, kami pun tidak payah undi sesiapa," katanya.

Pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Khamis ini menyaksikan pertandingan antara calon BN Abdul Aziz Yusoff dan Dr Zulkefli Mohamed dari PAS. Kawasan pilihan raya itu mempunyai 1,889 pengundi Orang Asli iaitu di Pos Balar, Pos Hendrop, Pos Bihai, Pos Hau dan Pos Brooke.

BLOG BANTU BN DALAMM KEMPEN GALAS, BATU SAPI

Berita yang disiarkan melalui laman web dan blog kebanyakannya menjurus kepada membantu Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata berita yang membantu ke arah memupuk semangat 1Malaysia bagi mencapai kesatuan dan menentukan suara rakyat lebih menggalakkan biarpun terdapat juga berita yang membantu parti pembangkang.

"Tidak kurang pandangan pembangkang dalam blog dan laman-laman web dengan menggunakan kata-kata pedas, malah pembohongan pun ada.

"Tetapi saya melihat pandangan umum dalam internet, lebih menjurus kepada apa yang BN kemukakan (berbanding) daripada pihak yang mengatakan yang bukan-bukan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bagi pilihan paya kecil Parlimen Batu Sapi di Sandakan, hari ini.

Pusat media itu, yang dikendalikan oleh 20 petugas Jabatan Penerangan, menjadi pusat rujukan petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil itu dengan kemudahan yang disediakan seperti 10 unit komputer dan perkhidmatan internet tanpa wayar (WiFi).

Terdahulu, Rais melawat warga tua kaum Cina di Bandar Ramai-Ramai di sini dan menyampaikan sumbangan hamper makanan kepada 22 warga tua.

PARAS AIR SUNGAI GOLOK PADA PARAS BAHAYA

Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang kini dilaporkan berada di paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.

Menurut Pegawai Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, Shaari Harun, paras air di Jenob pada 11 pagi tadi berada pada paras 23.80 meter berbanding para bahaya 23.50 meter, dengan air dilaporkan semakin naik.

Di Rantau Panjang, bacaannya ialah 8.75 meter yang menghampiri paras bahaya 9 meter, katanya.

"Sehubungan itu penduduk diminta bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir kerana air Sungai Golok mungkin melimpah pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada Bernama.

Shaari berkata, paras air sungai utama lain masih di paras biasa namun airnya semakin meningkat secara perlahan-lahan berikutan hujan masih turun.

Katanya, ekoran hujan lebat, beberapa kawasan rendah seperti Pasir Tumboh, Penambang, Kubang Bemban, Berek 12 dan Pasir Hor mengalami banjir kilat sedalam 0.5 meter.

Namun tiada penduduk yang diarahkan berpindah setakat ini.

Shaari berkata, pihaknya telah mula membuka Bilik Gerakan Banjir mulai awal pagi tadi bagi memantau keadaan.

Katanya hujan yang sesekali lebat dijangka terus melanda Kelantan sehingga esok.

RM23.5J UNTUK KESIHATAN DI KELANTAN

Kerajaan pusat telah memperuntukkan RM23.5 juta untuk menaiktaraf peralatan perubatan di seluruh Kelantan sepanjang tahun ini.

Sebanyak RM7.04 juta daripada jumlah peruntukan itu diguna untuk perolehan 24 ambulans, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk peruntukan sebanyak RM231 juta untuk pembangunan fizikal yang diberikan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

"Kelantan mempunyai 121 ambulans yang mana pembeliannya dibuat secara kontrak dan hari ini kita menyerahkan tujuh ambulans baru manakala 17 lagi akan menyusul selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan perubatan terdiri daripada 10 mesin thermal fog, tiga motosikal dan sebuah mesin ultrasound, yang keseluruhannya bernilai RM90,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri di Hospital Gua Musang di Gua Musang.

SPR - TAWARAN RM200-RM250 KEPADA PENGUNDI LUAR ADALAH RASUAH

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar sudah menegaskan bahawa tindakan yang dibuat oleh PAS untuk membayar secara tunai untuk menampung perbelanjaan balik mengundi kepada 1557 orang pengundi DUN Galas yang berada di luar seperti di Selangor dan juga di Johor adalah rasuah.

Ia melanggar Seksyen 10 Akta Pilihan Raya 1954

Menurut Datuk Wan Ahmad walaupun jika PAS memenangi Pilihan Raya itu nanti namun mereka akan pasti berhadapan dengan tindakan pihak Barisan Nasional yang mungkin tidak berpuas hati.

BN mungkin akan mengemukakan bantahan ataupun petisyen pilihan raya dan sekira ini berlaku maka pilihan raya yang diadakan kini akan menjadi sia-sia apabila keputusan siapa yang layak menjadi wakil rakyat di DUN Galas terpaksa ditentukan oleh pihak mahkamah dan bukannya oleh rakyat atau pengundi.

Nah! PAS kalau dah kemaruk sangat nak menangpun janganlah meludah ke sebarang arah, kalau meludah ke kiri, ke kanan, ke depan, ke belakang tak apalah jua...tetapi kalau dah terludah ke atas memanglah akan jatuh ke atas muka sendiri.

Dulu kalau pihak BN yang terbuat begitu bukan main riuh lagi pihak DAP/PKR/PAS ini menyalak, tetapi bila dah sampai giliran mereka yang melakukannya gajah di depan matapun sudah tak nampak...

PAS CUBA TIPU WARGA EMAS

Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas mula dicemari dengan taktik kotor Pas apabila parti itu cuba mempengaruhi pengundi warga emas di sesetengah kawasan dengan mendakwa undi Pas masuk syurga.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman ketika pihaknya mengadakan kempen rumah ke rumah di beberapa buah kampung sejak enam hari lalu.

Ekoran itu beliau berkata, Wanita UMNO terpaksa memberi penjelasan kepada kumpulan pengundi terbabit bahawa penentuan syurga atau neraka merupakan hak Allah dan bukannya Pas.

''Saya tidak sangka yang Pas masih lagi memainkan isu pangkah Pas masuk syurga terutama di kalangan pengundi-pengundi warga emas. Kami terpaksa memberi penjelasan supaya mereka sedar kempen yang dijalankan oleh jentera Pas itu tidak benar.

''Akhirnya mereka faham penentuan syurga dan neraka adalah hak Allah. Apa yang kami lakukan ini bukan setakat berkempen malah turut memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai perbezaan antara Islam dan Pas," katanya kepada Mingguan Malaysia kelmarin.

Hamidah berkata, beliau dan anggota Wanita Wanita lain perlu membuat penjelasan itu supaya para pengundi mereka dapat gambaran yang jelas mengenai Pas.

''Islam dan Pas merupakan dua perkara berbeza. Islam adalah agama paling suci manakala Pas hanya sekadar sebuah parti politik yang berusaha meraih sokongan rakyat.

''Kami terpaksa melakukan peranan ini kerana kami tidak mahu penduduk di sini terutama warga emas terus terpengaruh dengan dakyah-dakyah Pas yang tidak berasas," katanya lagi.

Beliau berkata, hakikatnya, Pas kini tidak lagi memperjuangkan penubuhan negara Islam seperti mana sebelum ini apabila parti tersebut membuat keputusan untuk bersahabat dengan DAP.

''Inilah antara perkara-perkara utama yang kita maklumkan kepada pengundi-pengundi di sini. Biar mereka tahu siapakah Pas yang sebenar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, strategi kempen Wanita UMNO kali ini lebih menjurus kepada usaha mendampingi rakyat secara kumpulan-kumpulan kecil.

''Kebiasaannya bilangan penduduk bagi setiap kumpulan adalah antara 20 hingga 30 orang. Di dalam kumpulan ini kita akan menerangkan faedah serta kebaikan yang diperolehi sekiranya mereka menyokong calon Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

SK LANGGAR TERIMA ANUGERAH KHAS PM

Mohd Fatmi Che Salleh menyampaikan replika cek RM10,000 kepada Zunaidah Mamat di Kota Bharu, baru-baru ini.

Kemunculan Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar sebagai juara bola sepak bawah 10 tahun, The Red Warriors 2010 melayakkan sekolah itu menerima Anugerah Khas Perdana Menteri sebanyak RM10,000 baru-baru ini.

Pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Jabatan Pelajaran negeri mendedahkan 11 pemain sekolah itu kepada sukan bola sepak dari peringkat umur muda.

Kelayakan turut merangkumi penilaian terhadap lima anugerah bagi tahun lalu iaitu Anugerah Pra-Sekolah Lima Bintang, Juara Pengurusan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan dan Naib Johan Kitchen/Edible Garden Peringkat Kebangsaan.

Turut dinilai kejayaan sekolah yang sama muncul Johan Menulis Cereka Kategori Murid Bahasa Inggeris dan Pelantikan Pusat Latihan Gimnastik Kementerian Pelajaran.

Replika Cek Anugerah Khas Perdana Menteri tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh dalam satu majlis di sekolah itu.

Sementara itu, Guru Besar SK Langgar, Zunaidah Mamat semasa berucap di majlis itu berkata, selain anugerah khas, seramai 179 murid sekolah berkenaan juga terpilih menerima wang ihsan.
''Murid-murid yang datang daripada keluarga berpendapatan bawah RM1,500 sebulan menerima sumbangan sebanyak RM200 setiap seorang," katanya.

Tambahnya lagi, murid dari tahun satu hingga enam yang tidak mendapat bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) disenaraikan menerima bantuan berkenaan.

Melalui bantuan tersebut katanya, diharapkan ia membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa terbabit.