Monday, August 8, 2016

Menari Gelek Kerana Mentah Politik Atau Memang ‘Gelenyar?’


’Gelenyar’ tak habis-habis.

 Inikah pemimpin puteri ketika ini dan wanita Malaysia masa hadapan?

Kenapa UMNO Bahagian Kota Bharu membenarkan pembukaan mesyuarat Puteri UMNO Bahagian itu dengan acara sebegini?

Kalau kata gelenyar (gatal) tidak berkesudahan di kalangan Puteri UMNO, mereka marah. Akan ada pemimpin UMNO akan melenting.

Memang sekali fikir tidak wajar ‘mengkritik’ atau ‘mencemuh’ Puteri UMNO sedemikian.

Namun tidakkah ada cara lain untuk acara Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Kota Bharu Khamis lalu?

Apakah begitu sekali ‘pendek akal’ kalangan Puteri UMNO sehingga tiada cara lain merasmikan pembukaan mesyuarat mereka?


Kalangan penyokong UMNO, netizen dan mereka yang mahukan cara lain menyokong kritikan tetapi apa pula yang akan dilakukan oleh pembangkang, khususnya PAS Kelantan selepas ia diviralkan?

Tergelek-gelek di hadapan tetamu lekai pada majlis rasmi dan terbuka. Memalukan!

Apakah Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu diberitahu mengenai acara ini?

Rakaman yang tersebar itu menunjukkan empat penari wanita berpakaian menutup aurat dan bertudung tetapi mempersembahkan tarian gelek sebagai pembuka acara tersebut.

Antara tetamu yang hadir adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Ab Rahman serta semua pimpinan UMNO Bahagian.

 Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata mesyuarat perwakilan seharusnya diisi dengan nilai yang baik, bukannya dengan perkara yang boleh memudaratkan perjuangan.

“Tidak salah kalau memperkenalkan budaya warisan seperti zapin dan silat tetapi bukan dengan tarian gelek atau perkara yang boleh memudaratkan perjuangan kita,” katanya menerusi FB.

Puteri Umno Kota Bharu memohon maaf secara terbuka selepas rakaman tarian gelek pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Khamis lalu menjadi viral.

Dalam satu kenyataan, Puteri UMNO Kota Bharu berkata mereka akur dan merasa amat kesal atas kesilapan tersebut.

“Kami juga sedar masih baru dalam politik dan banyak lagi yang perlu dipelajari. Insiden ini memberikan pengajaran yang amat berharga kepada kami, walaupun pahit.

“Kami akan mengambil iktibar atas keterlanjuran ini,” kata kenyataan yang disiarkan di laman FB Puteri UMNO Kota Bharu dua hari lalu.

Ekoran itu, Puteri UMNO Kota Bharu berharap isu itu tidak akan terus berlarutan dan semua pihak dapat memberi peluang kepada mereka.