Friday, October 7, 2016

Bantahan Orang Asli – Dipergunakan Atau Kerajaan PAS Kelantan ‘Tidak Peduli’...


Mana yang benar -  Orang Asli dipergunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang politik dan parti politik atau Kerajaan Negeri Kelantan mengabaikan hak tanah dan wilayah adat masyarakat berkenaan.

Selain itu, benarkah bantahan lebih 200 penduduk Orang Asli ke atas aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang adalah berpunca daripada salah faham?

Pada ketika Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata isu itu boleh diselesaikan, Timbalannya  Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik supaya tidak menggunakan isu berkaitan masyarakat Orang Asli untuk kepentingan tertentu.

Mohd Amar berkata NGO yang mewakili masyarakat Orang Asli di kawasan itu juga diharap dapat hadir ke Kompleks Kota Darul Naim bagi berbincang dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Kumpulan Orang Asli itu menggesa semua aktiviti pembalakan di hutan kekal berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan kerana mendakwa aktiviti itu merosakkan alam sekitar dan memupus hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Konflik antara pembalak dan Orang Asli tercetus akhir bulan lepas kerana mereka membantah aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Balah.

Laporan Malaysia Dateline semalam, menyebut kemuncak pergelutan antara syarikat pembalak dengan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan sehingga berlaku tembakan, 28 September lalu dilihat akibat pengabaian kerajaan negeri terhadap hak tanah dan wilayah adat masyarakat berkenaan.


Memetik sumber Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, isu berkaitan kawasan rayau atau saka masih gagal ditangani ketika Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi alasan kononnya operasi syarikat pembalakan di kawasan itu adalah berlesen.

“Bila kita sebut tentang kawasan rayau, di sinilah peranan kerajaan negeri. Kita (JAKOA) cuma boleh maklumkan berkenaan kawasan rayau tapi hak milik adalah kerajaan negeri,” ujar sumber berkenaan yang mahu dikenali sebagai Razak ketika dihubungi Malaysia Dateline.


Ditanya tentang peranan yang wajar diambil bagi mengelak ancaman berterusan aktiviti pembalakan terhadap masyarakat Orang Asli, beliau mengakui hal tersebut sama sekali bukan dalam pertimbangan kerajaan negeri.

“Terus terang, kawasan rayau ini tidak pernah pun diambil berat oleh kerajaan negeri sebab tidak ada dalam undang-undang. Pejabat Menteri Besar tidak peduli walaupun memorandum dan bantahan pernah dibuat.

“Sebabnya, kerajaan negeri sudah ada perjanjian dengan syarikat balak tersebut. Banyak kelompangan dalam aspek berkaitan undang-undang berhubung hak Orang Asli,” ujarnya.

Sumber itu menjelaskan, tuntutan Orang Asli juga berdepan cabaran besar apabila Akta 134 tidak mengandungi istilah kawasan rayau walaupun wilayah itu turun-temurun didiami Orang Asli.

“Ancaman pembalakan kepada Orang Asli ini memang banyak. Sungai mereka bergantung tercemar, hasil hutan berkurangan, tanah-tanah yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan Orang Asli juga musnah,” tegasnya.

Menurutnya pihak JAKOA telah menyatakan pendirian supaya dalam pengurusan hutan termasuk di negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan mesti mengambil kira kepentingan masyarakat setempat khususnya yang melibatkan kawasan tadahan air dan aktiviti sosioekonomi setempat seperti bercucuk tanam dan mencari hasil hutan.


Hal itu, ujarnya, antara rumusan daripada mesyuarat JAKOA bersama pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, syarikat serta wakil komuniti Kampung Kuala Bering, Gua Musang pada 5 Mei lalu yang kemudiannya dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam surat bertarikh 28 Jun yang ditunjukkan kepada Malaysia Dateline itu, turut dimaklumkan bahawa pihak syarikat telah menggantung semua operasi pembalakan ekoran bantahan penduduk tempatan.

“Sebarang perancangan, permohonan, kelulusan, pengeluaran permit, perjanjian, hasil, keluasan kawasan untuk pembalakan dan penguatkuasaan hutan adalah di bawah seliaan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri,” dipetik daripada surat ditandatangani Ketua Pengarah JAKOA, Mohd Jamalludin Kasbi.

Untuk rekod, Perkara 7(3) Akta 134 memberi kuasa kepada kerajaan negeri membatalkan, meminda dan mengubah mana-mana pengisytiharan mengenai rizab Orang Asli yang dibuat di bawah Seksyen 3(1).

Mohd Amar kelmarin  menegaskan,  isu berkaitan pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Gua Musang tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia berkaitan pentadbiran kerajaan negeri semata-mata.

“Saya harap mereka yang terlibat dalam isu ini betul-betul nak membantu Orang Asli, bukan untuk mengambil kesempatan. Jangan gunakan Orang Asli untuk ‘mileage’ tertentu. Itu harapan kitalah. Tak kira siapa-siapapun termasuk parti-parti politik, NGO pun jangan ambil kesempatan atas isu menggunakan Orang Asli sebagai batu loncatan untuk dapat nama dan kredit,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Anggota Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim semalam.


Ahmad ketika mempertahankan keputusan kerajaan negeripula menganggap bantahan Orang Asli  ke atas aktiviti pembalakan di Gua Musang itu berpunca daripada salah faham dan boleh diselesaikan.

Menurutnya, mereka perlu memahami bahawa aktiviti pembalakan merupakan  sumber hasil kerajaan negeri dan mereka tidak boleh mendesak agar aktiviti itu dihentikan tanpa alasan kukuh.

"Lagi pun,segala aktiviti pembalakan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Perhutanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing di Pos Brooke semalam.

Ahmad mengulas mengenai tindakan penduduk Orang Asli yang berhimpun dan membina sekatan di laluan keluar-masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei, Pos Bering sejak 26 September lepas.

Pada Isnin lepas kerajaan negeri mengarahkan syarikat pembalakan agar menangguhkan operasi berkaitan pembalakan di kawasan terbabit sehingga semua isu yang timbul dapat diselesaikan.

Beliau bertegas,  kerajaan negeri tidak akan menghentikan selama-lamanya aktiviti pembalakan atas sebab salah faham kumpulan penduduk tertentu yang tinggal di kawasan Hulu Kelantan.

Ini kerana  jika aktiviti pembalakan dihentikan, ia akan menjejaskan sumber hasil kerajaan negeri dan merencatkan faedah yang dinikmati rakyat.

Lagipun tindakan Orang Asli itu akibat hasutan pihak tertentu, malah  perbuatan itu tidak harus berlaku kerana ia tidak memberi sebarang faedah.