Friday, May 29, 2009

YANG TAK SERUPA DAN TAK SAMA

Kijang ikut hambali1.blogspot.com memaparkan sebuah tulisan menarik mengenai prinsip demokrasi tetap subur.

Blog hambali1.blgspot.com mengajak penjenguk dan pelayar memahami apa yang ditulis melalui blog www.jaranganakmelayu1.blogspot.com

Ia sesuatu yang menarik untuk didalami dan difahami, khususnya dalam menyelami apa sebenarnya berlaku di Perak dan Terengganu.

Tulisan ini mungkin jawapan kepada penulisan lain dalam blog lain tetap mempunyai tajuk yang sama.

Baca apa yang terdapat dalam www.jaranganakmelayu1. blogspot.com (28 May 2009)

Prinsip Asas Raja Berpelembagaam dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di Negeri-negeri di Malaysia ialah apabila parti politik yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan dan salah seorang ADUN daripada parti memerintah akan dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan menjadi Menteri Besar.

Contohnya di Perak, keputusan PRU 12, BN 28 kerusi dan PR 31 kerusi. PR telah membentuk kerajaan Perak. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah melantik salah seorang ADUN PR daripada PAS iaitu YB. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Apabila 3 ADUN dari parti memerintah (2 Adun PKR dan seorang dari DAP) telahpun mengisytiharkan keluar parti masing-masing untuk menyokong BN dan menjadi calon bebas, BN telah bertukar menjadi parti majoriti dalam DUN Perak selaras dengan kenyataan Pengerusi BN Perak merangkap TPM (ketika itu), YAB Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan di Putrajaya bahawa BN sudah mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan di Perak.
Pada 5 Feb. 2009 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan telah mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Ketua Parti BN sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.

Dengan merujuk kepada Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan meyatakan bahawa ‘Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah dia mempersembahkan letak jawatan …’

Dalam situasi yang berlaku di Perak hari ini, hakikat dan realitinya parti yang Nizar wakili hanya mendapat sokongan minoriti akibat daripada tiga ADUN PR keluar parti. Soal tidak meletak jawatan adalah bercanggah dengan Fasal di atas dan bukannya perlu ada usul undi tidak percaya berkait dengan hilangnya majoriti itu.

Soal tiga ADUN berpaling tadah kepada parti lawan itu adalah merupakan SEBAB UTAMA yang perlu dibincangkan di dalam kotak hilangnya sokongan majoriti terhadap Parti Memerintah. Perlu DITEGASKAN di sini bahawa ini adalah soal Parti Pemerintah lawan Parti Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukanlah isu Nizar lawan Dr Zamry.

Akan tetapi kerana Nizar enggan meletakkan jawatan yang menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan tidak berkesudahan. Nizar dan Zambry sebenarnya tidak perlu naik turun mahkamah kerana ianya jelas dinyatakan di dalam Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bahawa dia wajib meletakkan jawatan.

Apakah kemelut di Terengganu berada dalam kondisi yang sama? Mungkin, kalaulah kumpulan 10 ADUN BN ini keluar parti daripada BN dan menyokong Parti Pembangkang iaitu PAS di Dewan Undangan Negeri maka barulah situasi tersebut akan sama dengan Perak. Di dalam hal ini MB Terengganu perlulah meletakkan jawatan selaras dengan Fasal 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang menyebut ‘ … hendaklah dia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’.

Isu Terengganu jelas dan nyata “Tidak Serupa dan Tidak Sama” langsung dengan isu di Perak kerana 10 ADUN ini belum lagi mengishtiharkan keluar parti dan setakat ini tidak pernah menyokong parti pembangkang sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Undangan Negeri.

(Catatan : DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS 8 kerusi. Kalau benar 10 ADUN ini keluar daripada BN dan menyatakan sokongan kepada PAS bermakna telah mendapat majoriti dan YAB Dato’ Ahmad bin Said hendaklah meletakkan jawatan. Dalam hal ini, ADUN PAS mungkin ‘boleh’ menyokong tindakan 10 ADUN ini bagi menubuhkan sebuah kerajaan dan DYMM Sultan akan bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar. Nota: sepuluh ADUN BN yg sekiranya menjadi ADUN bebas masih tidak berpeluang jadi MB kerana tidak berparti, sebaliknya salah seorang daripada ADUN Pas akan dilantik menjadi MB baru berasaskan kepada Prinsip Demokrasi Berpelembagaan ADUN daripada parti akan dipilih.)

Dakwaan telah mendapat majoriti sokongan serta mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada YAB Menteri Besar masih TIDAK memenuhi prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan untuk menukar MB di mana mereka masih lagi berada di dalam parti yang sama iaitu 24 kerusi BN dan 8 kerusi PAS. Perbalahan mereka ini bolehlah diibaratkan sebagai “ribut dalam cawan’ atau ‘carik-carik bulu ayam’.

Walaubagaimana pun, tindakan 10 orang ADUN ini juga boleh dianggap sebagai menentang keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO di mana pada 27 Mac 2008 Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepenuhnya menyokong Ahmad, calon lantikan istana sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman. Ia juga boleh dianggap sebagai menentang dan mencabar keputusan DYMM Tuanku Sultan melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said secara teratur mengikut Fasa 12 (2) Undang-Undang Bagi Diri Terengganu di mana Duli Yang Maha Mulia bolehlah bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar.

Ini selaras dengan apa yang telah ditegaskan oleh YB DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu di dalam Malaysiakini.com pada 21 Mei 2009 sebagaimana berkata "Berdasarkan perkara-perkara pokok seperti kesetiaan kepada raja, dan kedudukan wakil rakyat BN yang perlu memikul tanggungjawab dan amanah yang tinggi, sentiasalah bermusyawarah sesama kita untuk menyelesaikan sesuatu (masalah) tanpa dibincangkan di khalayak ramai," katanya.

Persoalannya, adakah kumpulan 10 ADUN ini terus tidak akur dalam situasi sekarang? Kalau tidak berani atau kena akur dengan mana-mana pihak untuk terus menyokong YAB Dato’ Ahmad bin Said selaku Menteri Besar, isytiharkan sahaja kepada rakyat bahawa mereka terus taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Menteri Besar dan mintalah rakyat di bawah mereka juga memberi sokongan dan taat setia kepada MB Terengganu ini dan seterusnya kepada Parti UMNO dan Barisan Nasional.

Atau kalau mereka tetap dengan prinsip, pegangan dan pendirian asal untuk menolak MB dan semua 10 ADUN berkenaan terus ‘keras keng’ dengan prinsip, pegangan serta pendirian mereka itu, isytiharkan bahawa mereka akan keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti PAS. Habis cerita dan keadaannya tidaklah tergantung dan menjadi tanda tanya serta mengelirukan rakyat bawahan. Dan kalau ini dijelaskan, YAB Menteri Besar perlulah menerima hakikat ini. Dalam hal ini soal maruah dan prinsip MB TIDAK TIMBUL sama sekali kerana ianya telah termaktub di dalam Prinsip Demokrasi Berpalimen Raja Berpelembagaan selaras dengan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Tidak sama seperti situasinya di Perak, kalau benar dakwaan kumpulan 10 ADUN bahawa mereka sudah hilang keyakinan dan sokongan kepada MB, bermakna walau apapun tuduhan, tohmahan, tafsiran, tanggapan, labelan kepada mereka, sama ada kumpulan budak jahat, kumpulan penderhaka, kumpulan buruk, kumpulan busuk, kumpulan tidak kenang budi, kumpulan pengkhianat atau apa sahaja labelnya, pokoknya mereka masih lagi dalam Kerajaan Barisan Nasional dan soal sudah hilang keyakinan dan hilang kepercayaan kepada MB tidak timbul sama sekali kecuali mereka keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti Pembangkang.

Tak perlulah bersusah-susah untuk mencari sebab musabab, punca dan premis-premisnya kerana hakikat dan penonjolan mereka adalah kepada isu sebenar atau isu pokok yakni mereka masih lagi berada di dalam Parti Barisan Nasional dan perbuatan mereka ini tidak mengurangkan dan menjejaskan majoriti ADUN BN di Dewan Undangan Negeri di mana DYMM Tuanku Sultan telah melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka ini ialah memberikan sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya kepada MB yang mengetuai Kerajaan Negeri (Parti Barisan Nasional) terutamanya di dalam Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan selari dengan 1Malaysia.

POLIS BODYGUARD PARTI?

Kijang membaca sebuah posting menarik memperkatakan apa akhbar Cina perkatakan mengenai kerja polis.

Kijang mahu pelayar dan penjenguk baca da kemudian nilai sendiri.

APA AKHBAR CINA TULIS TENTANG KERJA POLIS ?
dari blog bypass308.blogspot.com

Kami menerima laporan MEDIA PRESS kami dari Perak dengan beberapa petikan dari sebuah artikel kolumnis sebuah akhbar berbahasa Cina yang wajar untuk renungan dan pertimbangan kita, khususnya ketika kekalutan politik masa kini.

Baik buruk intipatinya, anda nilai sendiri kerana siaran semula artikel ini tanpa prejudis.

Ikuti terjemahan yang walaupun ala kadar tetapi kami yakin ia tidak lari dari maksud asal penulisnya tanpa ada sebarang tokok tambah. Harap baca sampai habis dan luangkan masa untuk komen pro dan kontra artikel ini.

Jika anda ingin tahu nama akhbar atau melihat keratan asal, sila emel kami. Wasalam - FAUZI IRWAN SHAH.


"Pada 27 Mei, muka surat 2 akhbar kami, melaporkan 3 kes jenayah rogol. Wanita kini tidak kira tua muda, tidak kira di rumah atau luar, berdepan pelbagai ancaman jenayah.

Pada hari yang sama, muka surat 30, melaporkan kumpulan polis dan FRU menahan pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokong yang sedang lancarkan mogok lapar.

Gerakan polis menangkap si baju hitam, si memekik slogan, perhimpunan pasang lilin, malah nyala lilin sambut hari jadi. Sampaikan pekerja pasang khemah pun disapu.

Tangkap dan lepas, dah lepas tangkap lagi. Seolah sudah menjadi rutin kerja polis.
Persoalannya ialah kenapa yang ditangkap semua muka selamba dan tersenyum saja, tiada riak takut? Dan mereka menjadi objek tumpuan akhbar?

Rakyat sangka keselamatan kian terjejas akibat kurangnya tenaga polis, tak cukup anggota polis. Tapi manalah tahu, begitu ramai polis datang "memeriahkan" Perak, sertai permainan politik bersama penyokong PR.

Perhimpunan kurang lebih 10 orang, tapi hantar 100 anggota buat kawalan. Mogok lapar yang bersifat negatif tu pula, polis kerah 200 anggota dan anggota FRU, campur lagi lima atau enam trak polis.

Begitu sekali jadinya, kalau bukan kerana bimbangkan rakyat,tentu polis kurang yakin pada diri, hinggakan penguatkuasaan yang "terlebih".

Akibat dari "terlebih" kuatkuasaan, menjejaskan imej BN, dari yang baik menjadi sebaliknya.

Langkah yang membazir sumber tenaga manusia itu membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat yang pada masa ini merasakan keselamatan diri terancam.

Rompakan di merata tempat, di ibu kota sahaja dari januari hingga april, kes ragut dan rompakan masing-masing meningkat 99% dan 80%, ia merupakan 31% daripada keseluruhan kes jenayah. Rompakan berkumpalan tanpa senjata meningkat 80.5%, dari 1029 kes meningkat kepada 2254 kes. Fakta angka ini membimbangkan, menggambarkan tahap keselamatan merosot.

Sikap kesungguhan sebagaimana tanngkap si baju hitam atau mengheret mereka yang terlibat perhimpunan lilin, kalau polis boleh gunakan sikap seperti itu untuk tangkap perompak dan peragut, tentu sekali polis akan beroleh pujian dan tepukan gemuruh seluruh rakyat negara ini.

Tuan polis, ayuhlah tangkap penjenayah bersenjata. Tak kiralah mat rempit ke samsing jalan raya, tak kira juga penjenayah gila seks atau perompak, tak kira penculik atau pembunuh, mereka inilah yang wajar dikejar dan tangkap.

Anda hanya sesuai sebagai penjaga kepada rakyat, tidak sesuai jadi body guard parti."

PERANG HALUS PRO-MUQABALAH VS 'ERDOGAN' DALAM HARAKAH

Malaysiakini, 28 May 2009-05-29

Media rasmi PAS turut terseret dalam perang halus antara dua aliran besar - pro-muqabalah dan "kumpulan Erdogan" - menjelang pemilihan jawatan kanan di muktamar, minggu depan.

Walaupun berkempen melalui Harakah dilarang oleh jawatankuasa pemilihan parti, artikel beberapa penulis termasuk pemimpin PAS berjaya menyampai mesej tersirat untuk menegakkan aliran masing-masing.

Dalam edisi terbaru, organ parti itu menerbitkan tulisan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang memuji sikap terbuka bekas presidennya Datuk Fadzil Noor terhadap pemimpin aliran-aliran berbeza dalam parti.

ADUN Batu Buruk itu, yang dianggap bersama aliran pro-Pakatan Rakyat yang mempertikaikan sikap pro-muqabalah, secara senyap dan tidak langsung menepis amaran Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berhubung "musuh dalam selimut".

"Tidak ada sedikit pun sikap prejudis serta keraguan beliau (Fadzil) apabila menerima ahli-ahli dari pelbagai latar belakang ini," kata Dr Syed Azman dalam artikelnya 'Permata berharga dalam perjuangan PAS' yang disiarkan sebagai satu rencana khas.

"Tidak pernah saya mendengar ungkapan 'musuh dalam selimut' daripada almarhum (Fadzil), malah beliau mengungguli ciri kepimpinan yang sentiasa 'berjiwa besar' dan tidak mudah melatah."

Dr Syed Azman - mempertahankan jawatannya sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS - memulakan artikelnya itu mengenai perasaannya sewaktu hadir di seminar sehari kepemimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS, Gombak pada 23 Mei lalu.

Secara sengaja atau tidak, maksud "musuh dalam selimut" menjadi popular baru-baru ini apabila Dr Haron menggesa mekanisme pemilihan PAS diperketatkan kerana bimbang wujud pemimpin yang ditaja musuh parti itu, termasuk Umno atau negara asing.

Tokoh ulama PAS itu turut menyatakan rasa bimbangnya apabila pemimpin yang bertanding mendapat promosi melalui media termasuk di Harakah.

"Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar seperti Harakah dan (mingguan politik) Siasah atau media-media lain.

"Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti," kata bekas pensyarah agama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Walaupun Dr Haron tidak menyatakan sasarannya kepada "kumpulan Erdogan" yang berminat merampas jawatan timbalan presiden - kini disandang Nasharuddin Mat Isa, seorang pemimpin yang dianggap mewakili aliran pro-muqabalah - beberapa peserta beranggapan pengamal perubatan alternatif itu menyindir pihak-pihak tertentu.

Dalam edisi terbaru Harakah, Dr Haron menafikan laporan Malaysiakini, Sabtu lalu, yang memetik sumber-sumber peserta seminar kepemimpinan ulama yang tidak selesa dengan pembentangannya.

Datuk Husam Musa, pencabar utama Nasharuddin dalam muktamar 5 Jun ini, sendiri menyifatkan pandangan Dr Haron itu tentang bahaya pemimpin tajaan musuh tidak mewakili parti tetapi lebih bersifat peribadi.

Sementara bakal ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan turut menyebut kemungkinan wujud "musuh dalam selimut" sewaktu mengupas isu semasa tentang kedudukan profesional dan ulama yang disebut-sebut sedang bergeser sekarang.

Walaupun tidak ditujukan dengan jelas kepada sesiapa dan cuba meyakinkan bahawa tiada masalah antara ulama dan profesional, timbalan ketua Pemuda PAS itu menulis, musuh dalam selimut itu "akan lakukan apa sahaja untuk mengalih salah satu daripada tungku ini dari posisinya agar PAS tumbang atau paling tidak senget dan tidak seimbang."

Artikelnya 'Kekuatan tiga tungku yang tidak boleh dipisahkan' yang mengulas kedudukan dan peranan aktivis, profesional dan ulama dalam parti tidak menampilkan pendirian politiknya yang jelas.

Bagaimanapun Nasrudin, seorang ustaz yang menang tanpa bertanding bagi ketua sayap utama itu, sebelum ini pernah mengkritik Husam secara terbuka apabila ingin mencabar Nasharuddin dengan alasan arah tuju PAS kini masih kabur.

Kenyataan Husam itu jelas merujuk pendiran dan sikap Nasharuddin yang pernah terlibat dalam rundingan sulit dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, waktu itu perdana menteri, selepas pilihanraya umum Mac 2008.

Seorang lagi naib presiden PAS Mohamad Sabu turut bersaing bersama Husam untuk mengalahkan Nasharuddin.

Sementara penulis kolum akhbar itu Abdul Shukur Harun dengan jelas menyampaikan mesej bahawa pendekatan beberapa pemimpin PAS yang ingin berunding dengan Umno boleh membawa akibat buruk merosotnya pengaruh PAS yang kini memuncak.

Dengan membandingkan nasib yang dialami Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia - dulu benar-benar dikagumi pemimpin PAS selepas ia melonjak dalam pilihanraya 2004 - bekas editor kanan Harakah itu menggesa PAS agar berhati-hati dengan pemimpin dan parti yang dipertikaikan secara meluas oleh rakyat seperti Golkar.

Suharto, yang mengepalai Golkar, diberikan pujian melambung oleh dua pemimpin kanan PKS - ketua Dewan Syura PKS, Hilmy Aminuddin dan setiausaha agung PKS, Anis Matta - pada satu majlis November tahun lalu.

Walaupun berniat untuk menggalakkan perdamaian, puji-pujian kepada bekas presiden Indonesia itu dianggap umum sebagai usaha memaafkan Suharto yang authoritarian dan memulihkan nama baiknya yang memerintah secara keras sepanjang 32 tahun.

"Kekalan PKS ini disebabkan sikap memberi kenyataan media tanpa berhati-hati, silap mengatur strategi, mulai kurang memberikan perhatian kepada rakyat biasa," coret Abdul Shukur dalam 'Pelajari kekalahan PKS di Indonesia' dalam edisi awal minggu ini.

"Semuanya terjadi apabila sesetengah pemimpin PKS memuji bekas presiden Suharto yang semua orang tahu mengenai pemerintahan kuku besi serta tindakan tiraninya.

"Selanjutnya ada sesetengah pemimpin PKS mahu pula mengadakan hubungan baik dengan parti Suharto, Golkar yang kini dipimpin oleh Jusuf Kalla (calon presiden bagi pemilihan, Julai ini)."

Artikel dari kolum 'Cetusan Idea' itu kini turut dimuatkan di laman web Harakahdaily.net.

Dua lagi edisi Harakah akan menemui ahli PAS termasuk lebih 1,000 perwakilan yang akan mengundi Husam dan Nasharuddin di muktamarnya di Shah Alam, Jumaat minggu depan.

Tidak pasti sama ada akan wujud lagi mesej tersembunyi mana-mana aliran atau calon dalam akhbar politik dwi-mingguan yang berpengaruh luas itu.