Tuesday, September 21, 2010

PAS DAPAT SUMBANGAN RM4b DARIPADA I'DA WORLD?

Banyak tu. Kantong PAS sudah buncit dan pastinya tidak akan kering.

Apa tidaknya. Sebuah syarikat tempatan mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan kelmarin.

Ia dibuat atas alasan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan yang mundur di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif I'DA World Group Sdn Bhd (I'DA World), Abdul Rahim Abdul Wahab (gambar kiri), menjelaskan sumbangan itu bukan membalas ganjaran diberikan Kerajaan Kelantan kepada syarikat itu membangunkan projek di Tumpat, Kelantan, yang bernilai lebih RM300 bilion.

Sumbangan I'DA World ini tidak ada kena mengena dengan projek diperoleh syarikat daripada kerajaan negeri yang bernilai lebih RM300 bilion.

Ia lebih kepada membantu membangunkan beberapa jajahan di negeri ini seperti pekan Rantau Panjang, yang kelihatan mundur dan memerlukan bantuan untuk pembangunan, katanya.
Beliau memberitahu pemberita selepas majlis pelancaran projek dan makan malam I'DA World yang dihadiri lebih 200 tetamu di Hotel Renaissance di Kota Bharu, malam kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kenamaan selaku wakil kerajaan negeri hadir pada majlis itu.

Sempena majlis itu, I'DA World turut menyampaikan surat pelantikan kepada lebih 100 kontraktor yang dipilih untuk melaksanakan dengan projek yang dibangunkan firma terbabit.

Sejurus penyampaian surat pelantikan kontraktor itu selesai, Abdul Rahim membuat kejutan apabila mempamerkan replika cek memaparkan nilai RM4 bilion atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selepas pengacara majlis membuat pengumuman mengenai sumbangan firma itu kepada Kerajaan Pas Kelantan.

Berdasarkan taklimat yang disampaikan pada majlis itu, I'DA World dengan modal berbayar RM1 juta mendakwa mempunyai aset lebih AS$2 trilion.

Firma itu bercadang membangunkan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) di Tumpat, dengan anggaran kos pembangunan RM313.71 bilion, selain beberapa projek membabitkan empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan membabitkan kos keseluruhannya RM1 trilion.

Antara projek yang mahu dilaksanakan termasuk pembinaan lebuh raya Link Timur-Barat (EWL) yang turut dilengkapi dengan saluran minyak dari Tumpat ke Yan, Kedah; landasan kereta api berkembar dan beberapa terowong pintas melalui Banjaran Titiwangsa.
.

TUANKU ISMAIL FAIL PETISYEN LANTIKAN SULTAN KELANTAN TIDAK SAH

Param (dari kiri) bersama Abdul Rashid, Tengku Abdul Aziz dan Tengku Merjan pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Tuanku Ismail Petra memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan semalam, bagi mendapatkan pengisytiharan pelantikan anakandanya Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Peguam mewakili Tuanku Ismail Petra, Datuk Param Cumaraswamy, berkata pihaknya memohon mahkamah untuk campur tangan dan mengisytiharkan Tuanku Ismail Petra masih menjadi Sultan Kelantan yang sah.

Katanya, Tengku Muhammad Faris Petra ketika menjadi Pemangku Raja tidak mempunyai kuasa meminda perlembagaan negeri atau berkuasa melantik anggota Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Dalam petisyen ini, Tuanku Ismail Petra tidak menerima dan mengiktiraf pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru, katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Param mrnjelaskan, petisyen tersebut bagi menentukan sama ada Tuanku Muhammad Faris mempunyai kuasa untuk meminda atau menambah Perkara 23A, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Jelas beliau, di bawah Artikel 3(2) Bahagian Yang Kedua menyatakan perlembagaan itu boleh dipinda oleh Sultan dengan persetujuan dan penyertaan Majlis Penasihat Raja.

“Tuanku Ismail tidak menerima dan mengiktiraf pemasyhuran Tengku Muhammad Faris.

“Tuanku masih Sultan Kelantan yang sah dan telah mengarahkan kami untuk memfailkan petisyen ini malah Tuanku sendiri menandatangani petisyen ini semalam (kelmarin),” katanya di Kelab Taman Tasik Perdana.

Media sebelum ini melaporkan kemelut Istana Kelantan berakhir apabila Pemangku Raja, Tuanku Muhammad Faris Petra, 41, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ke-29 pada 13 September lalu, menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak lebih setahun lalu.

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad sebelum ini menegaskan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana dibuat berdasarkan perlembagaan negeri.

Tuanku Ismail Petra sebelum ini sudah memfailkan dua petisyen di mahkamah sama masing-masing pada 5 Mei dan 22 Jun lalu bagi mencabar Tuanku Muhammad Faris Petra ketika menjadi Pemangku Raja sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Sementara itu, Param berkata, Mahkamah Persekutuan menetapkan 25 Oktober depan untuk mendengar hujahan daripada peguam kedua-dua pihak bagi memutuskan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan kes berkenaan.

Kita berharap panel penuh hakim di Mahkamah Persekutuan akan membincangkan isu berkenaan yang mungkin memberi impak kepada negeri lain yang mempunyai Sultan.

Seluruh isu ini juga akan menjadi ujian kepada sistem kehakiman, katanya.

BN SOKONG USUL KEBAJIKAN BEKAS SULTAN KELANTAN

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menyokong pindaan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan berhubung isu Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra yang akan dibuat pada persidangan khas 27 September ini.

Ketua Pembangkang yang juga ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata pindaan itu mesti disokong kerana membabitkan kebajikan bekas Sultan Kelantan.

"Apa tidaknya, kita tetap menyokong persidangan berkait isu Sultan Kelantan, kerana ia adalah raja kita," katanya pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Padang Upih, Ketereh, kelmarin.

Md Alwi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kok Lanas berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian wakil rakyat BN berhubung isu berkenaan.

Rabu lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias dilapor berkata, kerajaan negeri akan mengadakan sidang DUN khas dalam tempoh terdekat bagi meminda Undang-Undang Perlembagaan Tubuh kerajaan negeri.

Pindaan itu bertujuan menggunakan wang daripada Peruntukan Wang Yang Disatukan untuk disalur sebagai elaun seumur hidup kepada bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Enam wakil BN ialah Datuk Noor Zahidi Omar (Pengkalan Kubor), Datuk Ab Aziz Derashid (Kuala Balah), Mohd Adhan Kechik (Bukit Panau), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) dan Mat Yusoff Abd Ghani (Nenggiri).

Bagaimanapun, Md Alwi berkata setakat ini mereka belum menerima notis rasmi mengenai persidangan khas itu.

PENYOKONG KELANTAN MAHU SATHIANATHAN DIPECAT?

Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan meluahkan rasa kecewa dan berang dengan aksi pasukannya yang gagal mengutip mata penuh sekalipun mengikat KL Plus 3-1 sehingga minit akhir dalam satu perlawanan Piala Malaysia, di Kota Bharu, malam semalam.

Bagi jurulatih itu, sikap lalai anak buahnya sehingga membolehkan KL Plus menyumbat dua gol untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-90 dan 91 perlawanan sukar diterima.

"Saya tidak salahkan seorang dua pemain tetapi semua. Kita sudah menang tetapi bagi semula (kemenangan itu) kepada pelawat sehingga akhirnya kita seri.

"Pemain ghairah mahu menyumbat gol yang banyak tanpa pedulikan keadaan di barisan pertahanan sendiri sehingga mereka (KL Plus) menyumbat dua gol di minit terakhir perlawanan dan ini sepatutnya tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dua pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu.

Keputusan malam tadi itu meletakkan Kelantan di tangga kedua dalam Kumpulan A, di bawah Negeri Sembilan selepas hanya mengutip empat mata menerusi tiga perlawanan.

Kelantan sebelum ini tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan dan menang tipis 1-0 ke atas PKNS Selangor.

Selepas tamatnya perlawanan malam tadi, ramai penyokong Kelantan yang kecewa telah berkumpul di hadapan stadium meminta agar Sathianathan dipecat sebagai jurulatih.

Mengulas lanjut, Sathianathan bagaimanapun berkata beliau tidak bercadang merehatkan mana-mana pemain pada perlawanan akan datang, sebaliknya menuntut mereka mempamerkan aksi berbisa selepas ini.

Sementara itu pengurus pasukan KL Plus, Husni Md Yusof menyifatkan keputusan itu sangat bermakna buat pasukannya.

"Inilah bola sepak, keadaan boleh berubah walaupun pada minit-minit terakhir dan syabas kepada pemain kami yang telah bersungguh-sungguh bagi mengelakkan tewas ditempat lawan," katanya.

Kejayaan mengikat Kelantan malam tadi bagaimanapun tidak mengubah kedudukan KL Plus yang kekal di tempat keempat Kumpulan A dengan dua mata.

SULTAN JOHOR KUNJUNGI SULTAN KELANTAN

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari Isnin berangkat mengunjungi Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 Sept lepas.

Baginda yang diiringi oleh lapan orang pemimpin kerajaan Johor tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa Kota Bharu dengan pesawat peribadi dari Bangkok, Thailand pada pukul 1.10 petang.

Ketibaan rombongan Diraja itu disambut oleh Tuanku Muhammad Faris Petra, Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob serta beberapa barisan pemimpin kerajaan negeri.

Sejurus berangkat tiba, Sultan Ibrahim dan Tuanku Muhammad Faris Petra bersama-sama dengan pemimpin yang lain, berdoa sebelum berangkat ke Istana Kota Lama di Kota Bharu untuk majlis santapan tengah hari.

Tuanku Muhammmad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada Isnin lepas bagi menggantikan ayahanda baginda Tuanku Ismail Petra ibni Almaryum Sultan Yahya Petra.