Thursday, October 29, 2015

Pengurusan Bencana Banjir DiTambah Baik, RKB Dijangka Siap Sepenuhnya Jun 2016


Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri MustapaMohamed berkata tumpuan sekarang adalah untuk membina rumah yang belum siap.

Ini berikutan kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu yang melambatkan pembinaan rumah tersebut terutama pemilikan tanah untuk tapak rumah.

"Janji asal sebelum akhir tahun ini (kesemua rumah siap), kita tidak menyangka bahawa isu tanah begitu rumit sekali dan sekarang ini soal tanah untuk pembinaan rumah tersebut di semua jajahan terbabit sudah selesai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, malam tadi.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan individu.

Beliau berkata setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 142 RKB manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat pra pembinaan.

Katanya pada peringkat awal, dianggarkan 1,827 rumah musnah akibat banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, bagaimanapun selepas semakan dibuat, hanya 1,759 rumah musnah dan layak dibina semula dengan RKB.

Banjir di Kuala Krai tahun lalu.
Sementara menunggu RKB siap, mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit.

Mengenai 127 keluarga yang masih tinggal di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang, Mustapa berkata daripada jumlah itu, hanya 94 keluarga adalah mangsa banjir manakala 33 keluarga lagi bukan mangsa banjir.

Beliau berkata pihak PLKN membenarkan 94 keluarga itu tinggal di kem tersebut hingga Mac depan sebelum berpindah mendiami RKB manakala 33 keluarga bukan mangsa banjir diarah kembali ke rumah masing-masing.

Sementara itu 12 keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di dalam khemah di Bandar Utama Gua Musang dijangka mendiami RKB selewat-lewatnya Mac depan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Kelantan menambah baik semua aspek pengurusan banjir sebagai langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusinya Datuk Faudzi Che Mamat berkata penambahbaikan itu dipersetujui bersama melalui mesyuarat pengurusan bencana negeri dan daerah dengan mengambil kira pengalaman banjir tahun lalu.

"Tahun ini kami tambah 86 lagi pusat pemindahan menjadikan jumlahnya 773 berbanding 687 pusat pemindahan pada tahun lepas dan mampu memuatkan 220,290 orang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Faudzi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata 175 pangkalan hadapan iaitu tempat menyimpan barang keperluan asas, diwujudkan tahun ini berbanding 170 tahun lepas termasuk tambahan empat mini depo di Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.

Katanya kekuatan anggota penyelamat turut ditambah kepada 4,269 orang berbading 3,260 tahun lepas selain tambahan aset menyelamat termasuk 108 lori, pacuan empat roda (189), bot (205), enjin sangkut (144) dan jaket keselamatan (2,966 helai).

Beliau berkata 142 lokasi pendaratan helikopter disediakan dengan tambahan 33 lokasi baharu di seluruh negeri itu.

Faudzi berkata jawatankuasa itu juga mempersiapkan 1,786 petugas di Pusat kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyelarasan keperluan mangsa banjir di setiap jajahan.

"Semua agensi telah dan sedang melakukan pelbagai persediaan termasuk simulasi bantuan kepada mangsa banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kursus pengendalian bot oleh pihak polis kepada 500 peserta," katanya.

Katanya solat hajat juga turut dilakukan dua kali sebulan di setiap masjid dan surau seluruh negeri ini bagi memohon perlindungan daripada bencana banjir.

"Kami harap dengan persediaan dan kerjasama semua pihak ini pengurusan bencana banjir tahun ini akan berjalan lancar," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri itu dapat membuat persiapan awal bagi menghadapi musim banjir tahun ini selain mengikut arahan pihak berkuasa apabila diarah berpindah.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan memantau kegiatan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menggunakan akaun bank peribadi bagi menerima sumbangan bantuan kepada mangsa banjir.

Pada majlis itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menyerahkan tugas pengurusan bencana kepaepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).