Thursday, October 23, 2008

MANA PERGI SKIM TAKAFUL MERDEKA UMNO KELANTAN?

Ada mengatakan Skim insuran Takaful Kifaalah kini kehabisan wang.

Memanglah gunung sekalipun kalau dicangkul setiap hari, lama-lama boleh runtuh juga.
Usaha perlu dilakukan bagi menjamin tabung atau kantong skim ini terus buncit!

Cuma Kijang mahu tanya, apa jadi dengan Skim Takaful Merdeka tanjaan UMNO Kelantan?
Sunyi dan sepi. Apakah ia masih beroperasi dan katanya sekarang orang UMNO meninggal pun tidak dapat apa dah. Nasib baik dapatlah skim Kifalah kalau mereka warga tua.

Mana pergi taukeh Skim Takaful Merdeka, Tan Sri Annuar Musa? Kenapa akhbar tidak tanya beliau apa jadi dengannya?

Sebelum pilihan raya umum lalu ramai orang UMNO dan keluarganya mendaftar dan kini statusnya diragui.

Kerajaan negeri Kelantan hari ini pula mengatakan Takaful Kifalah kini mengalami kerugian disebabkan lebihan bayaran pampasan sebanyak RM8.495 juta menerusi Skim insuran Takaful Kifaalah bagi warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata kerugian itu berpunca apabila unjuran kematian bagi warga emas meningkat sebanyak dua peratus.

"Sebelum skim itu diperkenalkan kita telah membuat kajian pada 2007 dan 2008 bahawa unjuran kematian adalah dua peratus.

"Bagaimanapun ajal dan maut di tangan Tuhan, disebabkan itu unjuran kematian pada dua tahun itu meningkat kepada empat peratus, iaitu peningkatan sebanyak dua peratus," katanya ketika menjawab soalan Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Gaal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu.

Takaful Kifaalah ialah skim takaful untuk warga emas di mana jika seseorang warga tua meninggal dunia, pewaris mereka akan mendapat RM2,500 iaitu RM500 pada hari kematian dan bakinya RM2,000 selepas itu.

Sejak dilancarkan 7 Feb tahun lepas, seramai 7,299 warga tua telah meninggal dunia dan sehingga kini 96,921 orang berdaftar di bawah skim itu dari seluruh negeri dan daripada jumlah itu 139,000 adalah warga emas.

Husam berkata sebanyak RM15.751 juta telah dibayar kepada pewaris melalui Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala RM2.496 juta belum dibayar kepada ADUN dan pewaris dan jumlah keseluruhan yang harus dibayar ialah RM18.247 juta.

Beliau berkata daripada RM18.247 juta itu, RM8.495 juta ditanggung oleh kerajaan negeri.

Oleh kerana tidak lagi mampu menampung jumlah kerugian pembayaran tuntutan itu, katanya kerajaan negeri bercadang mengkaji semula jumlah pampasan yang akan diberikan kepada golongan warga tua yang diberikan.

Bagaimanapun skim itu akan tetap diteruskan cuma bayaran pampasan akan dikaji semula mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri, tambah beliau.

Apapun, janganlah skim yang baik dan memanfaat kepada seluruh rakyat Kelantan dihentikan.
Benar ia modal politik tetapi jika untungnya kepada rakyat, apa salahnya.
Teruskanlah berbuat kenaikan.

JANGAN BIARKAN KARPAL SEMAKIN KURANG AJAR

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh digantung selama dua hari bermula hari ini kerana menggunakan perkataan kurang ajar kepada Speaker Dewan Rakyat.

Beliau menuduh dan mencabar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kononnya beliau `bersikap tidak serius dan main-main’ semasa persidangan.

Karpal juga mempertikaikan semua keputusan yang dibuat Pandikar Amin selama ini dan akhirnya akur dengan keputusan itu dan dibawa keluar oleh Bentara kira-kira pukul 11.35 pagi ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya perkara itu dibincangkan, namun Pandikar Amin tetap dengan keputusannya mengikut Perkara 44 (3) kerana Karpal menggunakan perkataan kurang ajar kepada Speaker.

Karpal ini semakin naik minyak sejak kerajaan melewat-lewatkan bentuk tindakan terhadapnya kerana ‘menghina’ Sultan dan perbuatan lain.

Awal Mei lalu, Karpal dilaporkan mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Karpal mempertahankan kenyataannya itu dan enggan meminta maaf walaupun dikritik pelbagai pihak kerana berpendapat bahawa kenyataan tersebut bersabit isu perundangan.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal, namun Peguam Negara pada 5 Jun lalu mengarahkan siasatan lanjut dijalankan.

Buruk sungguh perangai Karpal kerana setahu Kijang dialah orang pertama yang menggelarkan Speaker sebagai’kurang ajar’. Yang lain selalunya dihalau keluar dewan kerana tindakan mereka yang bersifat ‘melawan’ dan ‘tidak mematuhi arahan Speaker’.

Tetapi lain sekali dengan Karpal. Mulutnya kini kurang ajar apabila berani berkata ‘kurang ajar’ kepada Speaker.
Sewajarnya tindakan mengajar Karpal dijalankan segera kerana banyak pihak menyuarakan kekesalan mereka terhadap sikap berlengah pihak-pihak tertentu dalam mengambil tindakan terhadap Karpal.

Pada 23 September lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut tindakan lanjut ke atas Pengerusi DAP itu berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury disegerakan.

Kesemua NGO berkenaan rata-ratanya mahukan kes itu digerakkan dan mempersoalkan kenapa ia didiamkan sedangkan melibatkan maruah raja Melayu yang sangat mulia kedudukannya dalam masyarakat Melayu.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, rakyat perlu mengetahui apakah penghujung kepada siri laporan polis yang dibuat pelbagai pihak ke atas Karpal dan mengapa tiada tindakan diambil sehingga kini.

Sebelum itu pada 18 September lalu, dua buah NGO iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), mempersoalkan kenapa masih tiada tindakan diambil terhadap Karpal berhubung isu tersebut.

Pada 24 September pula, pemimpin politik terus meminta tindakan segera dikenakan terhadap Karpal berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Naib Ketua UMNO Bahagian Gombak, Said Anwar Said Ahmad berkata, tindak-tanduk Karpal itu seperti mencabar institusi raja berperlembagaan di negara ini dan dilihat boleh menggugat kestabilan serta keamanan negara.

Said Anwar kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil meskipun isu tersebut sudah berlalu selama empat bulan.

"Bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail turut dikenakan tindakan apabila mengeluarkan kenyataan kontroversi yang dikatakan berbaur perkauman tetapi apa yang berlaku kepada Karpal adalah sebaliknya,'' katanya.

Pada 6 Oktober lepas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pejabat Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung status siasatan kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Perdana Menteri berkata, beliau setakat ini tidak memiliki maklumat terkini berhubung kes itu dan akan meminta penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara.

Jadi tunggu apa lagi pejabat Peguam Negera?

Kijang pun turut sama hairan kerana sehingga kini, tiada sebarang tindakan lanjut berhubung siasatan berkenaan dan memang patut jika ditimbulkan persoalan mengapa ia mengambil masa yang terlalu lama.