Wednesday, October 26, 2016

Kerana Guruh Di Langir, Peruntukkan RM1 Juta Disediakan Untuk Hudud.....


Belum pun  pindaan Akta 355 dibentangkan di Dewan Rakyat, Kerajaan PAS Kelantan sudah membuat langkah persediaan awal bagi merealisasikan Kanun Jenayah Syariah II dapat dilaksanakan di negeri itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  yang sebelum ini berjaya membawa usul itu masih menunggu untuk mendapat ruang membentangkannya sebagai usul persendirian.

Bagaimanapun, kerajaan Kelantan nampaknya tidak sabar untuk menunjukan kepada rakyat Kelantan betapa ia benar-benar berharap Akta 355 dapat dibentang dan diluluskan sudah mendahului Dewan Rakyat.

Jelas ia begitu yakin bahawa Akta 355 itu akan dapat dipinda dan dilaksanakan tahun hadapan sesuai dengan tempoh Bajet yang dicadangkan semalam.

Pada pembentangan Bajet 2017 yang bertemakan 'Kelantan Sejahtera untuk Islam' semalam, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi membangunkan prasana material perlaksanan kanun itu.


Selain itu sebanyak RM1.3 juta pula diperuntukkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan iaitu sebuah jabatan baru yang dipecahkan daipada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan usaha ini dilakukan untuk merealisasikan apa yang diharapkan oleh PAS, khususnya PAS Kelantan dalam Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) itu.

“Ini usaha pertama pertama yang dilaksanakan seumpama ini di Malaysia dan insya-ALLAH selepas ini bakal menyaksikan pengasingan bahagian penguatkuasaan Udang-Undang Syariah daripada Jaheik untuk dijadikan jabatan baru,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu membuktikan bahawa usaha Kerajaan Kelantan dalam memartabatkan perundangan syariah di negeri ini bukanlah satu retorik atau momokan kosong.

Bagaimanapun, tidak diketahui selama mana peruntukan itu akan hanya tercatat sebagai cadangan perbelanjaan kerana Akta 355 sehingga kini masih kabur bila akan dibentang, dibahas atau akan diluluskan.

Dibimbangi ia akan hanya menjadi suatu peruntukan berupa ‘harapan; semata-mata. Jangan kerana mendengar guruh di langit, kerajaan Kelantan sudah berangan...

Terdahulu, Ahmad mengumumkan bajet defisit RM42.65 juta, menurun seba­nyak RM2.96 juta atau 0.46 peratus berbanding tahun lalu.

Kerajaan ne­geri menganggarkan perolehan hasil berjumlah RM636.98 juta manakala perbelanjaan me­ngurus tahun depan dijangka RM679.63 juta.

Katanya, anggaran perbe­lan­jaan pembangunan pada tahun depan adalah berjumlah RM281.61 juta iaitu sebanyak RM191.61 juta dibiayai oleh kerajaan negeri manakala RM90 juta daripada sumber pinjaman.

“Anggaran hasil pada 2017 sebanyak RM636.98 juta menunjukkan peningkatan berbanding 2016 iaitu RM593.80 juta. Namun, kenaikan berkenaan masih tidak dapat menampung kenaikan belanja mengurus,” katanya.

Menurutnya, bajet tersebut menjangkakan perolehan da­ri­pada hasil cukai sebanyak RM176.67 juta, hasil bukan cukai (RM308.02 juta) dan terimaan buku hasil (RM149.29 juta).


Katanya, hasil hutan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan RM177.20 juta atau 27.81 peratus, meningkat RM4.25 juta yang meliputi royalti kayu-kayan (30 juta), bayaran jabatan hutan (RM22 juta), permit lesen perhutanan (RM1.5 juta) dan premium perhutanan (RM70 juta).

Hasil tanah katanya, menjadi penyumbang kedua terbesar iaitu RM157.91 juta atau 24.79 peratus yang meliputi cukai tanah (RM46.54 juta), premium tanah (RM55 juta), bayaran pendaftaran (RM7.07 juta) dan notis serta denda lewat bayaran cukai (RM6.73 juta).

“Sektor perlombongan menyumbang sebanyak RM70 juta, hasil air, RM13 juta dan terimaan daripada agensi kerajaan berjumlah RM112.48 juta,” katanya.

Tambah Ahmad, anggaran perbelanjaan mengurus 2017 berjumlah RM679.63 juta meningkat RM40.22 juta atau 6.39 peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM639.41 juta.

“Dari jumlah tersebut, seba­nyak RM359.52 juta untuk pem­berian dan kenaan tetap, RM194.16 juta (Emolumen), RM109.25 juta (perkhidmatan dan bekalan), RM14.49 juta (aset) dan RM2.21 juta bagi lain-lain perbelanjaan,” katanya.

Ahmad berkata, bagi memperkasakan pembangunan Islam, kerajaan negeri memper­untukkan RM44.06 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) untuk melaksanan pelbagai program keagamaan.

Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan seba­nyak RM53.71 juta kepada semua Pejabat Tanah dan Jajahan serta Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing, Gua Musang bagi me­nguruskan pelbagai pembangunan.

“Kita juga merancang untuk melaksanakan pembangunan Ru­mah Mampu Milik Kelantan (RMMK) sebanyak 2,136 unit pada tahun depan dan memperuntukan sebanyak RM1.2 juta untuk perkhidmatan bekalan air luar bandar,” katanya.

Ahmad yang juga Exco Pentabiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan berkata, kerajaan negeri meneliti secara terperinci anggaran belanjawan bagi memastikan peruntukan yang disediakan adalah merupakan keperluan sebenar jabatan dan mengambil kira kenaikan kos-kos pengurusan.

“Perbelanjaan mengurus pada 2017 amat munasabah dan memenuhi keperluan sebenara setiap jabatan.

"Oleh itu setiap anggota perkhidmatan awam perlu bersedia dan menyumbang ke arah peningkatan prestasi serta produktiviti kerja dalam usaha memenuhi kehendah rakyat selaku pelanggan utama kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, antara lain, Bajet 2017 akan berpaksikan kepada beberapa perkara termasuk mempergiatkan aktiviti dakwah dan bina insan bagi melahirkan rakyat bermotivasi tinggi, dinamik, berbakat serta mengamal nilai-nilai hidup Islam.

Selain itu katanya, kerajaan akan merancakkan aktiviti ekonomi rakyat dengan membuka lebih banyak peluang dalam bidang bidang yang bersesuaian dengan bakat dan persekitaran rakyat.