Saturday, December 10, 2016

SPRM Siasat Lebih Tiga Kes Libatkan Jutaan Ringgit Di Kelantan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang menyiasat lebih tiga kes rasuah berprofil tinggi di negeri ini yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarahnya Datuk Moh Samsudin Yusof berkata siasatan yang masih di peringkat awal itu melibatkan organisasi, individu dan pegawai kanan kerajaan.

"Kes itu membabitkan kesalahan mengganggu hasil kerajaan, merencatkan hasil kerajaan, merugikan kerajaan dan pembangunan yang tidak mengikut peraturan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri 2016 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, hari ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merasmikan majlis berkenaan.

Pada 16 Disember 2015, SPRM menegaskan agensi itu masih menjalankan siasatan ke atas dakwaan salah laku rasuah pembalakan bernilai RM5 juta di Kelantan.

SPRM menyebut, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan tersebut.


Sinar Online pernah melaporkan seorang pengundi muda dari Kelantan, Mohd Afiq Ayob berasa kecewa apabila SPRM didakwa tidak menyiasat laporannya mengenai isu rasuah pembalakan bernilai RM5 juta di negeri itu.

Kemudian, pada 14 Julai 2016 lalu, Moh Shamsudin berkata sejak Januari hingga Jun lepas, SPRM Kelantan membuat tangkapan ke atas 11 individu berkaitan kes rasuah.
    
Katanya dalam tempoh sama juga sebanyak 114 laporan kes rasuah diterima sama ada melalui pegawai yang bertugas atau melalui surat.    

Daripada jumlah itu, 22 kertas siasatan dibuka, 30 kes dirujuk kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan dalaman dan selebihnya masih dalam tindakan kerana kekurangan bukti.

Berkaitan tiga kes rasuah berprofil tinggi itu, Moh Samsudin hari ini meminta mereka yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan tampil untuk membantu siasatan.

Beliau juga berkata sejak Januari hingga Jumaat, pihaknya telah membuka 31 kertas siasatan berhubung aduan kes rasuah oleh pelbagai pihak di negeri ini.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 kes sudah selasai siasatan manakala baki 12 kes lagi belum disiasat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menggunakan seni budaya negeri ini seperti dikir barat dan wayang kulit, bagi menyampaikan mesej berkaitan kempen kesedaran anti rasuah kepada masyarakat.


Beliau juga meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan individu melaporkan kegiatan rasuah supaya tindakan segera dapat diambil.